Bersama Faizal Hamid, Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara Shah Alam

Peranannya di dunia pendidikan fesyen umpama ‘bayangkara’ yang mengerti, malah mengenal siapa punya potensi dalam setiap aspek. Mengepal erat pengalaman bekerja di New York serta Paris di bawah naungan Calvin Klein, Donna Karan dan Christian Lacroix, Faizal Hamid pulang ke tanah air, menggalas tugas sebagai tenaga pengajar – sudah lebih dua dasawarsa menjadi pendidik industri ini. Faizal faham tentang semesta fesyen. Pengalamannya beriringan dengan kelahiran individu-individu yang menempa nama dalam dunia fesyen – usahawan fesyen, penulis fesyen, pengarang majalah, fashion buyer, pemasar fesyen dan sebagainya. “Oleh itu, latar belakang pendidikan fesyen, dedikasi, kemahuan menghadapi cabaran dan rintangan adalah kunci kejayaan dan pengiktirafan dalam bidang ini,” jelas Faizal.
ELLE: Sebagai tenaga pendidik bertauliah, apakah bentuk tegur ajar anda buat anak-anak muda?
Faizal Hamid: Individu-individu yang meminati industri kreatif begitu banyak atau ramai. Daripada pengurus pemasaran, ke ejen jualan pakaian, jurnalis, jurugambar, penata gaya, pelukis ilustrasi dan sebagainya. Mereka yang mahu berkecimpung dalam industri ini perlu mengenal pasti kepakaran serta kemampuan diri. Harus ada kesedaran intuitif atau bukan intuitif yang membantu dalam aspek pertimbangan. Pentingnya hal-hal sebegini kerana ia menentukan tataatur hidup dan masa hadapan.
Inilah antara fungsi sebenar tenaga pendidik. Kesempatan waktu yang ada dengan anak-anak muda bukan sekadarkan cuma menegaskan pencapaian gred tertentu. Namun, membuka mata mereka untuk melihat potensi diri dan menggugah mereka dengan realiti. Saya bertindak sebagai ‘penasihat’ secara tidak langsung, membimbing mereka untuk mendewasa dengan kesepakatan yang betul.
Bagaimana golongan pendidik beralih daripada metode pengajaran tradisional?
Harus ada kesedaran diri yang tinggi dan memahami apa yang benar-benar dekat dengan generasi baharu. Keep updating yourself. Golongan pendidik perlu mencerminkan diri sebagai kolaborator yang menyampaikan ilmu dan buka pandangan dunia mereka. Bukan bertegar dan meletakkan anak-anak muda ini dalam ‘kategori ini’ atau ‘kategori itu’. Apalagi saya dalam lapangan pendidikan fesyen, dedahan worldview atau pandangan dunia itu adalah untuk mereka kenal bahawa dunia ini maha luas. Dan membenarkan anak-anak muda melihat ada pelbagai haluan yang boleh menjadi pilihan mereka.
Kami sebagai pendidik tidak boleh lagi berpaksikan metode tradisional, harus akur dengan pendekatan yang berbeza. Struggle generasi kini tidak sama dengan generasi-generasi sebelumnya. Pendidik mencorakkan diri umpama forward thinkers, memberi ruang kepada anak-anak muda untuk berkreatif, malah berkongsi sudut pandangan mereka.

Cara anda memperkasakan minda anak-anak muda dalam pembentukan diri?
Berdialog dengan mereka. Mahupun secara formal atau kasual. Berlaku jujur kepada mereka dan interaksi secara individual itu penting. Tell them it is okay to make mistakes. Keindahan itu ada di balik ketidaksempurnaan. Bila kita melindungi minda anak-anak muda dengan hal yang benar, membingkaikan realiti dan memperbolehkan kesalahan agar bertukar menjadi kemajuan, ia adalah pengajaran hidup mereka untuk kenal kekuatan daya hidup serta membantu transformasi diri. Biar mereka cungkil apa yang terkandung dalam fikiran atau jiwa mereka.
Bidang anda adalah pendidikan fesyen dan ada anak-anak muda yang menaruh minat mendalam agar dapat menceburkan diri dalam bidang tersebut.
Bakat yang sealiran dengan minat dan seiringan dengan kegigihan. Pemahaman secara menyeluruh terhadap segala proses yang berkaitan dengan industri tersebut perlu ada. Mereka harus tahu selok-belok alam perniagaan dan pemasaran fesyen. Pementoran yang betul memberikan bimbingan, bukan sahaja mengembangkan kerjaya, bahkan terkait dengan persoalan tentang identiti dan tujuan sebenar. Pendidik seperti saya mampu membantu mereka membingkaikannya.
Pendidik menghubungkan pembelajaran kepada konteks dunia sebenar serta keprihatinan kemanusiaan yang lebih luas. Membantu anak-anak muda melihat pendidikan sebagai “alat” untuk memahami kehidupan, bukan sekadar batu loncatan ke alam pekerjaan.

Didikan anda bertumpu kepada bidang fesyen. Jadi, bagaimana mahu memajukan industri, terutamanya lapangan fesyen?
Penggiat industri (fesyen) perlu meneguhkan langkah untuk bersaing. Bersaing secara sihat, sentiasa saling bantu-membantu dan menyalurkan tenaga untuk bergabung menganjurkan sesuatu yang memperbaiki minda, daya kreativiti serta menyumbangkan ekonomi. Revolusi diri itu penting. Selalu ada rasa tidak puas dalam menambah ilmu, pada waktu yang sama sederap melangkah dengan aliran semasa demi kepentingan industri.
Realiti yang anda kongsi, malah pamer kepada anak-anak muda adalah berlandaskan kejujuran?
Ya. Bidang saya yakni bidang fesyen bukanlah berkiblatkan glamor seperti mana yang diduga oleh orang. Ia lebih daripada melakar rekaan gaun yang cantik. Di samping bakat, Kemahiran, pengetahuan luas serta kefahaman tentang pergerakan industri menjadi asset utama. Keampuhan penyelidikan, strategi perancangan, inspirasi serta kecekapan menjadi sandaran utama.


