Bergerak antara benua sejak kecil, Caelan Moriarty membesar dalam dunia yang sentiasa berubah dan itulah yang membentuk jiwanya sebagai seorang artis. Berdarah campuran Jepun, Ireland dan Amerika, perjalanan hidupnya merentas Virginia, Hawaii dan Tokyo menjadikan perubahan bukan sesuatu yang asing, tetapi satu keperluan. Dari situlah lahir seorang penyanyi yang tidak gentar berevolusi, baik dalam muzik mahupun identitinya sendiri.
Langkah awal CAELAN ke dunia hiburan bermula seawal zaman sekolah menengah apabila beliau mula menceburi bidang peragaan. Peluang itu kemudiannya membuka pintu kepada uji bakat sebuah kumpulan idola baharu dan pada tahun 2018, CAELAN membuat debut sebagai ahli termuda kumpulan Jepun-Amerika, INTERSECTION. Bersama tiga anggota lain termasuk mikah, CAELAN mula membina asas kerjaya yang memperkenalkannya kepada industri muzik serantau.

Namun, perjalanan CAELAN tidak pernah linear. Pada tahun 2021, dia mencabar dirinya sekali lagi dengan menyertai rancangan realiti survival idola China, 'Chuang 2021'. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam barisan debut akhir, CAELAN muncul sebagai kegemaran peminat. Satu pencapaian yang melonjakkan pengaruh dan pengikutnya dalam kalangan audience China. Lebih penting, pengalaman itu memberinya keyakinan untuk melakar haluan sendiri.
Kini berpangkalan di Beijing, CAELAN memilih untuk bergerak sebagai artis solo, mengawal arah muzik dan visinya secara lebih peribadi. Single solo pertamanya, 'Forever With You', menjadi titik mula baharu dan bukan sekadar lagu yang ditulis bersama, malah karya visualnya turut direka sendiri oleh CAELAN. Ia diikuti dengan rilisan seperti 'MISSION (Like Us)' dan 'Guilty Pleasure', yang memperlihatkan sisi lebih berani dan matang dalam ekspresi muziknya.
Hari ini, CAELAN terus bergerak aktif merentas kota dan benua, seiring dengan peluang dan projek baharu yang muncul. Terbaharu, beliau dilihat melangkah di pentas peragaan Minggu Fesyen Lelaki Paris untuk pereka berpangkalan di London, Feng Chen Wang. Dalam persinggahan singkatnya di Singapura, CAELAN meluangkan masa bersama ELLE Singapore untuk berkongsi tentang muziknya, sumber inspirasi kreatif, serta hala tuju yang ingin diterokainya dalam fasa seterusnya sebagai seorang penyanyi.
Pengarang Digital NAVIN PILLAY
Penulis YASMINE LOH
Videografi SHERMAN SEE-THO
