Yandy Laurens menemukan satu formula terbaik dalam meramu kisah pendewasaan dalam cinta. Setelah "Jatuh Cinta di Film-Film" yang ditayangkan tahun lalu, dia tampil sekali lagi dalam cereka penuh emosi dalam sudut pandang menerusi "Sore Istri Dari Masa Depan". Diangkat daripada web serial ke layar perak dengan pendekatan baru.
Menampilkan dua nama besar dalam lapangan perfileman Indonesia - Sheila Dara dan Dion Wiyoko yang mengemudi Sore Istri Dari Masa Depan sebagai satira character driven. Filem ini awal ditayangkan di Indonesia Julai lalu dengan kejayaan besar menarik 3 Juta penonton sehingga jadual tamat tayang.
Membawa kisah Jonathan (Dion Wiyoko) seorang juru gambar dalam latar Croatia mengembara dalam menyudahkan impian dan cita-citanya dalam melunaskan pameran solo yang dihajatkan. Dalam tenang dan indahnya pengalaman visual yang dipersembahkan Yandy di filem ini, menghadirkan watak Sore yang menjadikan jalan ceritanya semakin kompleks dan celaru.
Namun kecelaruan itu dipersembahkan dalam lakon layar begitu kemas. Yang diusik adalah kesabaran dan ketelitian penonton. Yandy tidak menulis senario filem ini dengan naratif linear tetapi ia disusun dalam tiga babak yang berbolak balik pada tunggak cerita yang serupa mengikut konsep relung masa.
Tiga babak yang dipaparkan bermula dengan kisah Jonathan diikuti Sore dan babak akhir Waktu (yang juga menjadi watak utama filem ini) - kisah cinta tiga segi yang cukup unik kerana orang ketiga dalam filem ini bukanlah karakter nyata tetapi adalah masa yang menjadi bahan bahas Yandy di filem ini.

Dan mengapa lingkaran Artik itu dipilih sebagai lokasi juga adalah kerana ia adalah destinasi yang tidak memiliki detik waktu yang lazim. Ia berubah ekstrem - sebuah perlambangan pada rasa, pemikiran dan emosi manusia. Di sini Yandy mengungkap persoalan what if - andai waktu mampu diputar semula mampukah takdir turut bertukar?
Sore Istri Dari Masa Depan sebuah premis filem yang cukup menarik jika dihayati dengan terperinci. Kita dibawa pada pengenalan watak Jonathan sebelum, semasa dan setelah mengenal Sore (tanpa mengikut turutan). Setiap satunya didepani idea Sore mahu menyelamatkan Jonathan daripada mati akibat serangan jantung bersulam konflik dalaman Jo dengan ayahnya.
Sheila Dara membawakan watak Sore dengan cemerlang. Emosi, kata bual dan gerak tubuhnya terjaga tanpa terlalu berlebihan. Kefahamannya tentang perwatakan dialih sebaiknya ke layar dengan memberi satu impak pada besar pada penonton. Dion juga begitu, chemistry yang ada pada kedua-dua meraka menjadikan filem ini tidak lekang fokus saat menontonnya.
Skripnya puitis seiring dengan pengalaman visual yang dihidangkan. Usai menonton filem ini, Yandy membuat saya faham yang hidup ini sudah tertulis. Sekuat mana sekali pun kita mahu mengubah takdir jalannya takkan sama seperti apa yang kita harapkan. Namun jika jika mampu berdamai dengan takdir, magis dan manisnya hidup itu akan tetap hadir.
Penutup filem ini membuktikan hal ini dan ia ditutup dengan saat indah. Saat Sore merelakan takdir hidupnya berlanjut, dia menemukan kembali manis dan magisnya kehidupan yang dicari. Dalam universe yang baru sebuah utopia tercipta.
Visual yang stunning dengan runut bunyi yang kemas melatari setiap babak dan bingkai cerita. Tidak ada momen yang kosong di filem ini atau yang sengaja diisi kerana mahu memanjangkan durasi ceritanya. Setiap satu disusun pada kehendak babak dan perwatakan yang seiring.
Setelah "Jatuh Cinta Seperti di Film-Film" saya ada keraguan jika Yandy mampu menghasilkan filem sebagus itu. Nyata saya salah dan "Sore Istri Dari Masa Depan" terus meluaskan landskap kreatif seorang Yandy Laurens. Filem Indonesia terbaik yang saya tonton tahun ini.




