
Filem cereka tempatan melalui satu transisi penuh warna dengan kehadiran pembikin filem generasi baru yang menyuntik sesuatu yang berbeza dalam persembahan filem cereka yang bercita rasa dan memiliki standard yang tinggi penghasilannya.
Melihat kembali pasaran filem tempatan di era 2000 ketika Yasmin Ahmad memberi pendekatan tersendiri dalam penceritaan dan idea yang radikal - ia bergerak sebagai penanda aras baru untuk pembikin filem tempatan mengorak langkah besar tanpa perlu terikat dengan ilham serupa.
Maka dengan itu sehingga hari ini Sepet, Mukhsin, Gubra, Talentime dan Muallaf diraikan serta menjadi inspirasi kepada pembikin filem juga penulis skrip dan lakon layar secara am. Menerusi pendekatan berbeza dalam kata bual yang lebih realistik dan lakonan yang bersahaja menolak ilham dan cara konvensional filem era 90-an.

Tahun 2016 menjadi titik tolak baru pembikinan cereka yang datang dengan idea baru dan berani. Interchange (Dain Said), Redha (Tunku Mona Riza) dan Ola Bola (Chiu Keng Guan) memberi tenaga baru untuk sinema tempatan bergerak dalam radar berbeza.
Keterujaan ini berterusan dengan datangnya nama-nama belakang tabir pembikinan filem iklan seperti Nadiah Hamzah dan Quek Shio yang menghasilkan filem Motif dan Guang - dua lagi filem yang meneroka cara baru dalam penghasilan filem cereka.
"Guang" mengangkat isu autisme sebagai idea menggerakkan asas cerita kekeluargaan yang ditulis dengan penuh emosi. "Prebet Sapu" (Muzzamer Rahman) dan "One Two Jaga" (Namron) menggugah kisah kepincangan dan sisi gelap kehidupan di Kuala Lumpur.
Portal filem Asian Movie Pulse mengangkat "Roh" (Emir Ezwan) dalam senarai Best Asian Film 2020 - filem ini memberi satu pendekatan segar dalam penghasilan filem-filem seram yang berakar pada penceritaan, arahan seni dan lakonan yang cukup menyerlah. Emir Ezwan juag dikhabarkan bakal mengarahkan sebuah lagi filem terbaru berjudul "Sabung".
Tahun 2023 menyaksikan dua cerita yang cukup besar pemikiran, idea dan penceritaannya. Adik Abang (Jin Ong) dan Tiger Stripes (Amanda Nell Eu) menjadi naskhah cukup penting dalam pembikinan filem pengarah tempatan. Kedua-duanya sudah mencipta momen manis di festival filem luar negara.

Pemikiran Baru Pengarah VS Pemikiran Lama Penonton
Filem-filem ini mungkin bukan naskhah pecah panggung tetapi apa yang sudah dihasilkan adalah satu peralihan yang meletakkan standard filem tempatan ke satu arah lebih baik. Mungkin ramai yang tidak faham pabila usai menonton Tiger Stripes dan Mencari Ramlee tetapi sebetulnya apa yang Amanda dan Megat hasilkan bukan sesuatu yang baru di pasaran filem global.
Majoriti penonton kita sahaja sebenarnya yang tidak terbuka untuk beradaptasi dengan sesuatu yang berbeza. Kita masih mahukan aksi, hantu dan cinta. Tidak ada salahnya tetapi tidak salah juga kan sesekali sebagai penonton kita membuka hati dan menjadi lebih kritis dalam mencari alternatif dengan menonton filem yang datang dengan pendekatan berbeza.
Saya percaya jika filem mampu dilihat sebagai satu jambatan menghubungkan kematangan fikiran dan cara kita melihat dunia, kita mampu menjadi lebih terbuka dengan idea dan cara baru penghasilan sesebuah filem yang tidak terikat pendekatan serupa.
Maka pengarah-pengarah yang sudah saya sebutkan di awal tadi mampu evolve dan terus berkarya dalam dimensi berbeza setiap kali menghasilkan filem baru. Namun jika filem masih dilihat sebagai medium hiburan sahaja sebetulnya agak sukar untuk filem tempatan bertumbuh membentuk satu industri yang kreatif dan kritis.
Maka ruang untuk pengarah kita berkarya dengan cara berbeza juga menjadi terhad kerana pelabur filem juga mahukan keuntungan. Dan yang masih menguntungkan sehingga hari ini tetap hantu dan gangsterisme dalam filem. Saran saya didiklah diri kita untuk terbuka dan mencabar diri memahami sesuatu yang di luar kebiasaan kita sebagai penonton.
Filem Cereka Tempatan Era Baru Pilihan ELLE
Tiger Stripes (2023)
Fly by Night (2018)
Prebet Sapu (2018)
Guang (2019)
Imaginur (2022)
One Two Jaga (2018)
Abang Adik (2023)
Rain Town (2023)
Roh (2020)
Motif (2019)
Mencari Ramlee (2025)

