Langgan

Ulasan Filem: Sentimental Value

Satira kekeluargaan yang menyentuh emosi.
2 minit untuk membaca
Published: December 10, 2025
Sentimental Value arahan Joachim Trier

Kali terakhir Joachim Trier menghasilkan filem menerusi cereka "The Worst Person in the Word" dia mencipta satu era baru dunia perfileman yang saya sifatkan cukup organik dengan segala perasaan, perwatakan bersahaja yang mewakili generasi milenial sehingga sekarang.

Apa yang dia tinggalkan adalah sebuah satira pada cerminan generasi carefree yang melalui hidup dengan teras to live for the moment. sebuah gambaran realiti wanita-wanita masa kini yang tidak mahu keterikatan pada komitmen, ruang dan masa.

Tahun ini Trier sekali lagi memberi sesuatu yang cukup manis buat penggemar layar global dengan penghasilan filem "Sentimental Value" yang dibuka tayangannya awal tahun ini di Festival Filem Cannes dan membawa pulang tempat kedua Anugerah Grand Prix.

Digerakkan naratif perhubungan seorang bapa dengan dua anak perempuan yang melalui satu transisi kehidupan yang kompleks. Berbalut dengan rasa kecewa, dendam dan keresahan - filem ini membawa satu transisi besar love hate relationship antara Nora dan ayahnya, Gustav.

Filem ini digerakkan oleh empat karakter penting. Selain Nora lakonan Renate Reinsvedan Gustav (Stellan Skarsgård) ia dilengkapkan dengan dua watak yang benar-benar menghidupkan alur ceritanya iaitu Rachel Kemp lakonan Elle Fanning aktres Hollywood dan Agnes lakonan Inga Ibsdotter sebagai adik Nora.

Konflik bermula pabila ibu Nora dan Agnes meninggal dunia dan mengembalikan Gustav ke hidup mereka berdua. Nora seorang pemain pentas teater dan Gustav pengarah filem prolifik yang tidak seiring pandangan dan Nora menyimpan dendam kerana Gustav meninggalkan mereka dua beradik dan ibu mereka pada usia remaja.

Dendam dan amarah Nora terhadap Gustav dilakonkan sebaiknya perwatakan penuh emosi Renate Reinsve. Tiada hal yang berlebihan dalam lakonannya - semua diberi justifikasi sebaiknya dalam mentafsir keresahan Nora dalam melalui hari-harinya.

Gambar: Kasper Tuxen

Nilai Sentimental

Filem ini semakin menarik di bahagian akhir pabila Trier memberi fokus pada perhubungan Nora bersama adiknya Agnes dalam satu babak panjang yang cukup menyentuh emosi. Kata bual ditutur semula jadi, lagak bagai bukan lakonan dengan bahasa tubuh bersahaja. Menonton adegan ini memberi satu gambaran realiti satu perhubungan yang begitu organik.

Dinamik lakonan, penceritaan dan visual seiring melengkapi kehendak teks filem ini. Saya menyenangi cara Trier melunaskan resah perwatakan yang ditulis tanpa terlalu mencuba untuk 'membersihkan' konflik perhubungan keluarga ini dengan cara harfiah tetapi diterjermah baik dengan perwatakan

"Sentimental Value" sebuah persembahan sederhana tetapi kuat jiwa kemanusiaan. Dalam kebisingan dunia perfileman dengan ceritera seram, monster dan hal-hal yang cukup disturbing, "Sentimental Value" hadir sebagai naskhah yang cukup menyentuh dan penuh empati.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down