Bintang muda dari Jepun, Miyu Yamashita, muncul juara Maybank Championship 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC). Kemenangan itu hadir selepas pertarungan mendebarkan dalam pusingan playoff menentang Hannah Green dari Australia dan Hye-Jin Choi dari Korea Selatan. Kemenangan Yamashita mengingatkan peminat golf kepada aksi dramatik sembilan lubang playoff yang menentukan juara edisi sulung kejohanan pada tahun 2023.

Bermain dalam musim sulungnya di LPGA Tour, Yamashita menamatkan saingan dengan catatan cemerlang dan layak ke pusingan playoff. Choi yang memulakan hari terakhir dengan kelebihan empat pukulan hampir meraih kemenangan pertamanya di LPGA, namun terlepas peluang apabila gagal menamatkan dengan birdie di lubang ke-18.
Pertarungan Bertaraf Dunia
Edisi kali ini menyajikan aksi penuh drama dan kehebatan pemain bertaraf dunia. Jeeno Thitikul, pemain No.1 dunia dari Thailand, menamatkan saingan di tangga keempat dengan catatan 17 bawah par 271. Sementara itu, juara bertahan dari China, Ruoning Yin, menutup kejohanan dengan 14 bawah par 274 selepas permainan konsisten selama empat hari.

Setiap pusingan penuh dengan detik mendebarkan daripada pukulan penyelamat yang luar biasa hingga rentetan birdie yang memukau penonton. Semangat kesukanan dan kemahiran tinggi para pemain menjadikan kejohanan ini antara yang paling berwarna dalam kalendar golf Asia tahun ini.
Sorotan Pemain Malaysia
Di tanah air sendiri, tumpuan turut terarah kepada pemain muda berbakat besar, Mirabel Ting. Menamatkan pusingan pertama dengan catatan 67 bawah par, Ting mencuri perhatian LPGA yang menamakannya sebagai ‘player to watch’. Beliau menutup kejohanan di kedudukan T49 (tiga bawah par 285) iaitu prestasi yang cukup membanggakan dan sekaligus melayakkannya menyertai Epson Tour, laluan khas tajaan Maybank untuk pemain rantau ASEAN menuju LPGA Tour.

Pemain tempatan lain juga tidak kurang hebatnya. Kelly Tan, Genevieve Ling, Ashley Lau, dan Liyana Durisic masing-masing menunjukkan permainan konsisten, menunjukkan kematangan serta keyakinan pemain Malaysia di pentas dunia.


Bakat ASEAN Bersinar
Selain pemain tempatan, kejohanan ini turut menjadi pentas penting buat bintang-bintang ASEAN. Cholcheva Wongras dari Thailand muncul pemain ASEAN terbaik dengan kedudukan T64 (even-par 288), manakala rakan senegara Namo Luangnitikul dan Achiraya Sriwong turut menampilkan potensi besar di kedudukan T67 dan T71.

Maybank Championship bukan sekadar pertandingan. Ia juga menjadi platform bagi bakat serantau menimba pengalaman dan bersaing dengan pemain terbaik dunia.
