
Sejak menubuhkan labelnya di Copenhagen pada tahun 2015, pereka Denmark Cecilie Bahnsen dikenali dengan visi kontemporari yang menggabungkan minimalisme Scandinavia dengan sentuhan couture yang cukup feminin. Kini, Cecilie membuka lembaran baharu menerusi kolaborasi pakaian pertamanya bersama UNIQLO. Direka untuk wanita dan kanak-kanak, koleksi ini menterjemahkan bahasa reka bentuknya ke dalam busana harian sambil mengekalkan kelembutan dan emosi yang menjadi asas jenamanya.
“Selepas siri kolaborasi UNIQLO bersama nama-nama kreatif terkemuka, kami berasa amat terhormat untuk menjadi sebahagian daripadanya. Sudah lama menjadi impian kami untuk bekerjasama dengan Mr. Yanai, Mr. Katsuta dan pasukan UNIQLO dalam menghasilkan koleksi timeless untuk wanita dan kanak-kanak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cecilie Bahnsen, Mie Ejdrup. Di bawah, ELLE berbual bersama Cecilie Bahnsen.

ELLE: Apakah yang mendorong Cecilie memilih kolaborasi bersama UNIQLO?
Cecilie: Saya sentiasa mengagumi jenama-jenama dari Jepun daripada etika reka bentuk yang teliti sehingga cara setiap helaian pakaian dihidupkan. Dunia LifeWear UNIQLO juga sangat selari dengan falsafah jenama Cecilie Bahnsen tentang busana harian. Bagaimana wanita bergerak, hidup dan mengekspresikan diri. Bagi saya, penting untuk membuka dunia ini kepada lebih ramai wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia agar memperluaskan rasa sisterhood yang kami bina.
E: Terdapat item UNIQLO yang Cecilie sendiri gemar pakai?
C: UNIQLO sentiasa menjadi pilihan saya untuk helaian asas harian. Keselesaan fabrik jersey mereka dan kelembutan siluet santai terasa sangat selari dengan cara gaun kami bergerak. Ada sesuatu yang menenangkan tentang konsistensi UNIQLO, sama ada di New York, Jepun atau Copenhagen, sensitiviti, estetika dan nilainya tetap sama. Antara item kegemaran saya ialah HEATTECH yang sering saya gunakan sebagai lapisan dalaman, serta Dry Color Crewneck T-shirt daripada koleksi lelaki mereka.

E: Motif floral menjadi identiti koleksi Cecilie Bahnsen. Mengapa bunga memainkan peranan penting dalam reka bentuk anda?
C: Bunga sentiasa menjadi sumber inspirasi yang berterusan buat diri saya dan juga kerja kreatif saya. Sama ada memetik bunga dalam perjalanan ke studio, membaca tentang cara ia tumbuh, menanamnya di rumah musim panas saya atau memenuhi ruang pejabat dengan bunga segar. Semuanya memberi ruang kreativiti yang besar kepada saya. Jika melihat tekstil bersejarah, terdapat begitu banyak kekayaan dan keindahan dalam cara motif floral ditafsirkan dari semasa ke semasa. Saya merasakan penting untuk membawa elemen itu ke masa kini dan menterjemahkannya menjadi sesuatu yang baharu. Untuk kolaborasi ini, kami mahu mencipta bunga yang unik khas untuk UNIQLO dan kami tertarik dengan idea siluet. Kami menterjemahkannya melalui motif grafik yang melengkapi palet warna koleksi ini dengan begitu indah.
E: Cecilie mempunyai bunga kegemaran?
C: Sukar untuk memilih hanya satu tetapi bunga kegemaran saya dari Denmark ialah Anemone. Ia merupakan bunga pertama yang muncul pada musim bunga dan melambangkan harapan baharu. Manakala bunga Jepun kegemaran saya pastinya Sakura. Kali pertama melihatnya terasa hampir surealis. Langit, air dan seluruh persekitaran diselubungi rona merah jambu yang begitu indah.
E: Ketika menghasilkan koleksi ini bersama UNIQLO, apakah aspek yang paling penting buat Cecilie?
C: Untuk koleksi ini, kami mahu bekerja dalam satu medium utama iaitu jersey dan meneroka sepenuhnya bahasa serta kepelbagaian fabrik tersebut. Daripada T-shirt floral yang boleh dilapis di bawah gaun sehinggalah jersey matelassé yang lebih ekspresif menampilkan tekstur, warna dan perspektif baharu terhadap gaya jersey. Siluet jersey yang longgar menterjemahkan reka bentuk feminin dan lembut kami ke dalam bentuk harian yang santai dengan rasa yang lebih fluid. Berfokus pada pergerakan dan keselesaan, setiap helaian direka untuk gaya harian yang elevated, diserikan dengan perincian romantik seperti cetakan dan ruffles yang sinonim dengan dunia Cecilie Bahnsen.
E: Item kegemaran Cecilie daripada koleksi ini?
C: Salah satunya ialah gaun T-shirt oversized dengan perincian ruffle. Ia seperti satu perincian senyap yang anda akan sedari sedikit demi sedikit, digabungkan dengan siluet gaun yang lebih berstruktur. Saya boleh bayangkan diri saya memakainya bersama kasut trainers atau sandal floral. Saya juga suka kerana ada versi yang sama untuk kanak-kanak dan saya sangat menyukai idea ibu dan anak memakai gaya yang sama serta berkongsi elemen visual tersebut. Gaya gingham dalam koleksi ini juga sangat penting bagi saya dari sudut fabrikasi. Ada kedalaman pada tekstur dan teknik yang jarang ditemui dalam fabrik jersey tetapi ia benar-benar mencerminkan pendekatan jenama kami terhadap fabrik.

E: Apakah emosi atau rasa keterhubungan yang Cecilie harapkan koleksi ini dapat bangkitkan?
C: Saya berharap apabila memakai koleksi ini, ada rasa feminin yang lembut tetapi juga kebebasan untuk mengekspresikan identiti, personaliti dan cara seseorang bergerak secara semula jadi dalam kehidupan seharian. Saya berharap orang akan menghargai perincian kecil dan kemasan teliti pada setiap helaian, seperti bunga sulaman kecil di bahagian dada atau ruffle yang membaluti tubuh dengan lembut. Lebih daripada itu, saya berharap akan wujud rasa keterhubungan dan koleksi ini terasa seperti lanjutan daripada dunia yang kami cipta. Koleksi ini direka untuk digabung, dilapis dan dipadankan supaya setiap wanita boleh menggayakannya dengan cara tersendiri, membentuk siluet mereka sendiri
E: Pada pendapat Cecilie, apakah elemen penting yang diperlukan untuk masa depan fesyen?
C: Pemahaman tentang identiti, nilai timeless dan kebolehgunaan adalah elemen yang akan menghasilkan helaian atau wardrobe yang boleh digunakan untuk jangka masa panjang.
Koleksi UNIQLO x Ceclie Bahsen tersedia dalam talian dan semua butik UNIQLO mulai 22 May 2026.






