Dalam era fesyen yang semakin mementingkan kelestarian, UNIQLO turut komited untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik. Melalui inisiatif RE.UNIQLO, jenama ini berusaha mengurangkan pembaziran serta mempromosikan penggunaan semula dan kitar semula demi memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti.
ELLE diterbangkan ke negara kelahiran UNIQLO, Jepun untuk menemu bual dan memahami dengan lebih mendalam inisiatif di sebalik RE.UNIQLO bersama Koji Yanai.
Temu bual bersama Koji Yanai, Pegawai Eksekutif Kanan Kumpulan Fast Retailing Co. Ltd, syarikat induk UNIQLO
Pendapat anda tentang ‘greenwashing’ dan bagaimana anda memastikan bahawa UNIQLO tidak terlibat dalam amalan tersebut?
Saya percaya ini adalah isu yang sangat sensitif bagi setiap jenama, termasuk UNIQLO dan Fast Retailing sendiri. Kami benar-benar berusaha memberi sumbangan kepada komuniti dan juga kepada bumi, tapi kadang kala inisiatif kami di salah tafsir oleh pelanggan atau media sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Kami sentiasa berusaha mengelakkan salah faham sedemikian. Tetapi jika anda merasakan kami terlibat dalam greenwashing, sila maklumkan kepada saya. Kami bersedia memberikan penjelasan sebaik mungkin untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.
Bagaimana inisiatif UNIQLO mempengaruhi tingkah laku pelanggan dan adakah anda melihat perubahan ketara?
Sebenarnya kami tidak melihat perubahan yang ketara, tetapi dari tahun ke tahun pelanggan semakin berubah, terutama dalam aspek kelestarian. Bukan sahaja di negara Barat, malah di negara ASEAN. Ramai pelanggan kini memberi maklum balas dan permintaan berkaitan kelestarian, dan ini menunjukkan betapa pentingnya isu ini. Sebagai jenama pakaian, kami perlu memberi perhatian kepada permintaan tersebut. Sebab itu perbualan seperti ini penting kerana ia membolehkan kami menjelaskan usaha serta hala tuju kelestarian kami. Kami berharap dapat menambah lebih banyak peluang seperti ini agar semua orang dapat memahami inisiatif kami dengan lebih baik.
Tidak semua pelanggan sanggup membayar harga yang datang bersama produk lestari. Adakah ini berlaku di UNIQLO dan cara anda mengimbangi keuntungan dengan impak positif?
Kami sering berdepan cabaran mengimbangi kos dan keuntungan, terutama apabila menggunakan bahan kitar semula atau bahan lestari dalam penghasilan pakaian. Namun, dalam beberapa kes seperti poliester kitar semula, kami berjaya mencapai keseimbangan yang baik antara kos dan kualiti. Saya percaya teknologi akan terus berkembang, dan kita akan menemui lebih banyak bahan lestari yang sesuai dari segi kos serta kualiti. Sebab itu kami terus menjalankan penyelidikan dan bekerjasama dengan rakan kejasama seperti Toray dan pengeluar fabrik lain untuk mencari bahan mentah yang lebih baik. Walaupun situasinya mencabar, kami optimis bahawa pasukan kami akan dapat menemukan penyelesaian pada masa hadapan.

Pengeluaran pakaian baharu biasanya menghasilkan banyak sisa am, bagaimana anda menanganinya dalam semua rantaian bekalan pengeluaran?
Kami melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan sisa am di setiap peringkat rantaian bekalan, daripada memperoleh bahan mentah, pengeluaran di kilang, hingga pengedaran ke kedai. Projek Ariake membantu kami memahami keperluan pelanggan dengan tepat. Melalui projek ini, maklum balas pelanggan dikumpul dan dianalisis setiap hari, lalu disalurkan kepada pengurusan rantaian bekalan. Dengan maklumat ini, pengeluaran dapat diselaraskan dengan permintaan sebenar, memastikan tiada pembaziran dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

