Fesyen Sienna Spiro yang diinspirasikan era 1960-an menjadi antara identiti paling menyerlah bagi penyanyi muda kelahiran London ini. Bukan sahaja mencuri perhatian menerusi lagu Die On This Hill dan keupayaan vokalnya yang penuh emosi, Sienna turut tampil dengan gaya retro yang cukup tersendiri setiap kali berada di pentas.

Ikon Lagenda, Inspirasi Sienna
Sering dikaitkan dengan pesona ikon lagenda seperti Amy Winehouse, Sienna tetap memiliki keunikan tersendiri. Sentuhan retro yang dibawanya bukan sekadar mengimbau masa lalu, tetapi menfokuskan bagaimana fesyen era 1960-an masih relevan dan mampu memikat generasi muda masa kini. Kebanyakan penampilannya memperlihatkan pilihan busana seperti mini dress berpotongan A-line, kasut but tinggi berplatform, serta corak geometri dan polka dot yang cukup sinonim dengan era 1960-an. Siluet pakaian klasik ini yang menonjolkan sisi feminin dengan sentuhan mod fashion dan elemen moden.

Sienna membuktikan bahawa gaya enam dekad lalu masih mampu menyerlah dalam industri fesyen kontemporari. Berbeza daripada kebanyakan penyanyi muda yang cenderung mengikuti trend seperti Y2K dan gaya edgy, Sienna memilih untuk menghidupkan kembali pesona fesyen klasik. Keunikan ini bukan sahaja membezakan penampilannya daripada artis seusia, malah menjadikan gaya retro sebagai identiti yang mudah dikenali.

Sienna turut mencuri perhatian di dalam sebuah temu bual. Sambil tertawa, beliau mendedahkan bahawa gaya rambut bouffant tinggi dan bervolum sering menjadi pelengkap penampilannya. Kata beliau penggunakan sambungan rambut yang agak berat sama sekali tidak menghalangnya daripada memberikan persembahan yang memukau di atas pentas. Semuanya demi menonjolkan identitinya yang mengangkat fesyen 60-an itu.

Bukan sekadar rambut, solekan Sienna juga cukup sinonim dengan estetika era 1960-an. Penggunaan eyeliner hitam tebal, gaya cat eye serta bulu mata panjang yang memberikan ilusi mata lebih besar menyerlahkan lagi pesona retronya. Sienna juga menginspirasikan Nancy Sinatra, Twiggy, Françoise Hardy dan Barbra Streisand sebagai inspirasi gayanya ketika ditemu bual bersama W Magazine. Menjadikan gaya rambut dan solekannya sebagai sebahagian daripada identiti visual Sienna yang tersendiri dan semuanya adalah pengaruh bapanya yang memperkenalkan muzik era 60-an sejak kecil.

(Gambar : Instagram @siennaspiro)
Mencari Identiti, Membina Pesona
Sudah tentu untuk mencari identiti dan membina pesona diri sendiri bukanlah suatu kerja yang mudah, Sienna turut berkongsi pengalamannya yang sukar menerima penampilan tubuh sendiri. Beliau mengambil masa untuk menemukan gaya yang membuatkannya selesa. “I get very overwhelmed by the way I feel, and I’ve always had a strong sense of justice, but didn’t really know how to express that,” responnya ketika ditemu bual oleh ELLE. Tetapi kini bagi beliau busana retro membantu dirinya lebih yakin serta memandang fesyen sebagai medium ekspresi diri, bukan sekadar mengikuti trend.

Pemilihan Sienna Spiro dalam memilih semula gaya vintage dan retro dilihat cukup relevan dengan minat generasi muda masa kini terhadap budaya thrifting. Penampilan Sienna seolah-olah membuka mata Gen Z untuk lebih berani bereksperimentasi dengan busana klasik, sekali gus membuktikan bahawa fesyen lama masih boleh digayakan mengikut cita rasa moden tanpa kehilangan keunikan dan pesona asalnya.
Dalam dunia fesyen kini, Sienna Spiro berjaya menonjolkan bahawa gaya klasik tidak pernah kehilangan tempatnya. Keberaniannya mengangkat semula estetika 1960-an bukan sekadar mencetuskan nostalgia, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka identiti fesyen masing-masing. Siapa sangka, pesona enam dekad lalu masih mampu mencuri perhatian di pentas muzik moden? Bagi Sienna, fesyen bukan tentang menjadi orang lain, tetapi tentang keberanian menjadi diri sendiri.

