
Membeli-belah secara dalam talian sememangnya mudah. Namun, pengalaman membeli-belah secara fizikal tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Rasa kepuasan apabila dapat meneliti setiap perincian kasut dengan lebih dekat, apatah lagi apabila berpeluang menyarungkannya sendiri sebelum membuat pilihan. Justeru, pembukaan butik terbaharu Sam Edelman di Suria KLCC ini cukup mengujakan, memberi peluang kepada para pencinta kasut di Kuala Lumpur untuk meneroka rekaan terkini jenama ini dengan lebih dekat.
Menandakan butik keempatnya di Malaysia, ruang seluas 1,241 kaki persegi ini menampilkan pelbagai rangkaian kasut yang memenuhi setiap cita rasa dan keperluan. Daripada rekaan klasik yang mudah digayakan untuk aktiviti harian hinggalah kepada siluet yang lebih menyerlah untuk melengkapkan penampilan istimewa, setiap pilihan menawarkan tarikan tersendiri. Kehadiran butik ini juga menandakan langkah seterusnya dalam perkembangan Sam Edelman di Malaysia, selepas menerima sambutan menggalakkan menerusi pop-up yang pernah dibuka di Suria KLCC.


“Sambutan positif terhadap pop-up kami di Suria KLCC memberikan keyakinan kepada kami untuk mewujudkan kehadiran tetap di sini,” ujar Puan Gina Goh, Pengarah Urusan Sam Edelman Asia Tenggara. "Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan yang penting bagi Sam Edelman dan pembukaan ini bukan sahaja memperkukuh rangkaian runcit kami, malah menempatkan jenama ini di salah satu destinasi beli-belah paling berpengaruh di negara ini," tambahnya.
Rekaan Eksklusif di Suria KLCC
Lebih menarik, butik ini turut menampilkan beberapa rekaan eksklusif yang tersedia untuk tempoh terhad. Antaranya termasuk kasut tumit tinggi Hazel, loafer Loraine dan Loraine Weave serta Mary Jane Michaela Mesh. Setiap rekaan hadir dengan karakter tersendiri, dilengkapi palet warna yang kaya dan versatil.

'She's a Lady', Koleksi Musim Ini
Selain rekaan eksklusif, butik ini turut menawarkan koleksi Musim Luruh/Dingin 2026 yang meraikan sisi feminin wanita menerusi tiga pendekatan gaya berbeza: maximalist, modern boho dan sharp tailoring. Setiap tema menawarkan karakter tersendiri, menggabungkan gaya moden yang versatil dengan keselesaan untuk digayakan sepanjang hari.
Antara rekaan yang mencuri perhatian ialah Emma Dazzle Ballet Flat, kasut runcing dengan perincian kristal yang menyuntik kilauan halus. Bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang lebih berani, Finch Feather tampil unik dengan sentuhan bulu lembut yang menambah tekstur dan gerakan pada setiap langkah. Presley Kitten Heel Sandal pula menawarkan gaya yang lebih bersahaja menerusi tali yang kemas dan tumit sederhana untuk penampilan elegan tanpa berlebihan. Sementara itu, Sutton Mary Jane menyerlah dengan kemasan baldu rona hijau avocado yang memberikan sentuhan vintaj dengan gaya lebih moden.


