
Jika ELLE's editorial girls perlu memilih satu aksesori yang kami langsung tidak boleh menolak; jawapannya sudah tentu sepasang kasut mewah. Sama ada kasut tumit tinggi atau flats, sepasang kasut mewah mampu meningkatkan keyakinan diri serta-merta. Manakala, pilihan kasut yang elegan, berkualiti tinggi dan selesa dapat mengubah cara kita berjalan. Seolah-olah sedang melangkah penuh aura sambil rambut melayang ditiup angin (seperti momen watak utama dalam filem).
Dan, jika ada satu informasi yang semua shoe addicts mesti peduli; Sam Edelman kini telah dibuka secara rasmi di Malaysia!
Jenama kasut ikonik dari Amerika ini akhirnya melancarkan butik pertamanya di The Gardens Mall, Kuala Lumpur. Mereka membawakan gaya mewah dengan harga yang mampu milik. Bukankah ini impian semua wanita? Kualiti setanding jenama mewah, namun harganya masih berpatutan. Cukup juga untuk membuat kita terfikir untuk membeli lebih daripada sepasang (terutamanya jika anda seorang yang susah untuk membuat pilihan).


Hakikatnya, Sam Edelman sebenarnya telah diasaskan pada tahun 1987 oleh pasangan suami isteri, Sam dan Libby Edelman. Mereka berdua berhasrat untuk mencipta kasut bergaya yang setaraf dengan pereka terkenal, namun masih boleh dimiliki ramai. Kini, jenama ini telah berdiri sebagai sebuah jenama gaya hidup mewah global, juga digemari oleh wanita di seluruh dunia. Mereka menghasilkan rekaan-rekaan elegan, versatil dan relevan, sesuai untuk memenuhi tuntutan gaya harian.
Jenama ini turut menampilkan nama-nama besar dalam kempen mereka. Antaranya termasuk Naomi Campbell, Kate Upton dan Kylie Jenner menerusi kempen musim bunga/panas 2024 bagi meraikan ulang tahun ke-20 mereka.

Sarungkan sepasang kasut Sam Edelman dan alami sendiri gabungan gaya mewah serta keselesaan sebenar di butik baharunya hujung minggu ini. Ruang dalamannya direka dengan sentuhan elegan yang hangat, mencipta suasana membeli-belah yang mesra, tenang dan penuh cita rasa. Bagi meneruskan perjalanan jenama ini di Malaysia, butik kedua bakal dilancarkan di Sunway Pyramid Disember ini.
