
Apabila bercakap tentang fesyen, Malaysia kini semakin menyerlah sebagai kuasa kreatif yang sedang mewarnai peta fesyen dunia. Dan tiba saatnya untuk Rizman Ruzaini menyinar!
Bermula dengan busana pertama buat Ziana Zain, duo pereka ini mencipta sejarah apabila Naomi Campbell sendiri memperagakan rekaan mereka di Dubai Fashion Week. Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil bersama dengan pasukan hebat seramai 100 tenaga kreatif, artisan dan kru telah mencurahkan sepenuh tenaga dan dedikasi dalam membina legasi Rizman Ruzaini.
20 tahun dalam industri, mereka terus menumpukan perhatian terhadap siluet, mutu kerja, penggunaan bahan berkualiti tinggi serta kemasan unggul. Hasil eksklusif mereka bukan sahaja mudah dikenali, malah boleh dikatakan cukup bersedia untuk menembusi pasaran global. Mereka setanding dengan jenama antarabangsa yang lain.

Bagi memperkukuh legasi ini, Rizman Ruzaini mengumumkan kolaborasi kreatif bersama Modinity Group daripada Indonesia. Usaha strategik ini bukan sekadar menyatukan dua kuasa besar fesyen serantau, malah mencetuskan satu visi bersama dalam meraikan keunikan identiti Asia Tenggara. Jelas, kerjasama ini bakal membina jambatan jenama ini ke pentas antarabangsa. Siapa tahu, mungkin destinasi seterusnya bakal membawa mereka ke PFW?
Langah pertama merupakan pelancaran butik flagship terbaharu di Shangri-La Kuala Lumpur. Dan ini hanyalah permulaan! Dalam masa yang singkat, jenama ini bakal mengorak langkah ke lokasi utama seperti Pavilion Kuala Lumpur, Suria KLCC dan pada skala antarabangsa di Indonesia dan juga di Dubai.

“Kerjasama ini lebih daripada tentang fesyen — ia adalah tentang merapatkan komuniti, memperkuat suara serantau dan membentuk masa depan gaya Asia Tenggara,” kata Linda Anggrea, Pengasas dan CEO Modinity Group.
Apa yang pasti, pembukaan butik-butik ini menandakan lahirnya sebuah era baharu buat mereka. Koleksi pakaian ready-to-wear, RR by Rizman Ruzaini bakal dipertontonkan di pentas berprestij KL Fashion Week 2025 pada minggu hadapan. Rekaan baharu dibentuk hasil kolaborasi silang budaya dan diberikan nama ‘Rebirth Vol 1: Gratitude’ bagi musim luruh/dingin 2025.
Kami tidak sabar menyaksikan jenama anak Malaysia ini terus mekar, menakluki pentas fesyen antarabangsa. Kami akan terus menyokong setiap langkah Rizman Ruzaini dalam mengukir nama di puncak kejayaan dengan penuh rasa bangga.

