Dunia fesyen dan kecantikan terus menawarkan inovasi yang menggabungkan reka bentuk, fungsi serta ekspresi diri. Minggu ini, ELLE menyenaraikan lima pelancaran terbaharu yang wajar berada dalam radar anda, daripada bagasi ikonik RIMOWA dalam rona baharu sehinggalah produk kecantikan yang meraikan kulit sebenar tanpa filter.
1. RIMOWA Original Kini Dalam Rona Ink Blue



RIMOWA memperkenalkan Original Ink Blue, rona terbaharu yang menyertai koleksi aluminium ikoniknya. Diinspirasikan daripada dakwat yang sejak sekian lama menjadi simbol kreativiti, ekspresi dan memori, warna biru gelap ini tampil dengan kemasan metalik yang menyerlahkan keindahan semula jadi aluminium.
Lebih daripada sekadar warna baharu, Ink Blue membawa keseimbangan antara warisan dan moden, menjadikannya teman perjalanan yang elegan buat mereka yang menghargai ketelitian reka bentuk serta fungsi premium.
2. Ferragamo Memperkenalkan Hug East-West


Koleksi beg Ferragamo Hug kini berkembang dengan siluet baharu, Hug East-West, bersempena koleksi Pre-Fall 2026. Direka dengan bentuk mendatar yang lebih panjang dan moden, Hug East-West mengekalkan identiti beg ikonik ini menerusi dua tali yang 'memeluk' bahagian hadapan dengan kemasan Gancini yang menjadi signature Ferragamo.
Dihasilkan daripada kulit anak lembu bertekstur halus, rekaan ini menawarkan estetika minimalis yang sofistikated, cukup versatil untuk digayakan dari siang ke malam.
3. MCM x ATEEZ with MINGI—FIX ON: Koleksi Untuk Generasi Muda


MCM bergabung bersama kumpulan K-pop popular ATEEZ, khususnya rapper dan penari utama MINGI, menerusi koleksi kapsul "FIX ON."
Mengangkat tema ekspresi diri, emosi dan identiti yang sentiasa berkembang, koleksi ini diterjemahkan melalui rekaan yang berani, kontemporari dan penuh karakter. Kolaborasi ini bukan sahaja menghubungkan dunia fesyen mewah dengan budaya pop global, malah memperlihatkan bagaimana generasi muda menggunakan fesyen sebagai medium untuk menceritakan identiti mereka.
4. The Ordinary Lancar Kempen Pore Playground



Dalam dunia media sosial yang dipenuhi filter dan editing, The Ordinary memperkenalkan kempen global Pore Playground bagi mengubah persepsi terhadap kulit yang mudah mengalami jerawat.
Kempen ini menekankan bahawa breakout adalah sesuatu yang normal dan sentiasa berubah mengikut keadaan kulit. Menerusi pendekatan yang lebih telus serta berasaskan sains, The Ordinary turut mengetengahkan beberapa formulasi utama seperti Salicylic Acid 2% Solution, Sulfur 10% Powder-to-Cream Concentrate, Niacinamide 10% + Zinc 1%, dan Aloe 2% + NAG 2% Solution bagi membantu menangani pelbagai jenis masalah jerawat dan kesan selepasnya.
5. Anastasia Beverly Hills Perkenalkan Kiss Theory Lip Balm


Bibir sihat dengan kilauan semula jadi terus menjadi trend kecantikan musim ini. Menyahut trend tersebut, Anastasia Beverly Hills melancarkan Kiss Theory Lip Balm, formula baharu yang menggabungkan keselesaan lip balm dengan warna intensif dan kemasan berkilat.
Teksturnya yang ringan dan melembapkan memberikan keselesaan sepanjang hari tanpa rasa melekit, manakala pilihan 14 rona membolehkan setiap individu mencari warna yang sesuai dengan personaliti masing-masing.
Gabungan hidrasi, warna dan kilauan menjadikan Kiss Theory Lip Balm pilihan sempurna untuk solekan harian yang ringkas tetapi tetap menyerlah.

