Langgan

PEACE FOR ALL: Kuasa Sehelai Kemeja-T Untuk Dunia Yang Lebih Baik

ELLE terbang ke Singapura untuk meraikan impak positif PEACE FOR ALL.
2 minit untuk membaca
Published: October 29, 2026
Gambar ihsan UNIQLO

Setelah empat tahun melancarkan inisiatif kemeja-T amal hasil kolaborasi sukarela dari seluruh dunia, UNIQLO menganjurkan acara khas di Whitestone Gallery, Singapura untuk meraikan impak positifnya. Acara ini menampilkan sesi perbincangan dan pameran yang mengetengahkan sumbangan inisiatif tersebut dalam membantu komuniti yang terjejas akibat kemiskinan, diskriminasi, keganasan, konflik dan peperangan di seluruh dunia.

Sehingga kini, projek PEACE FOR ALL telah menampilkan 54 kolaborasi bersama pelbagai individu dan organisasi, termasuk artis, atlet, pereka fesyen dan ramai lagi. Setiap kolaborator menyumbang secara sukarela dengan menghasilkan rekaan grafik kemeja-T tersendiri, sekali gus menyampaikan mesej keamanan kepada dunia. Keseluruhan keuntungan daripada jualan kemeja-T ini disalurkan kepada tiga pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, iaitu UNHCR, Save the Children dan Plan International Inc., bagi menyokong usaha membantu golongan yang memerlukan.

Kemeja-T rekaan Roger Federer, gambar ihsan UNIQLO
Kemeja-T rekaan Kengo Kuma, gambar ihsan UNIQLO
Kemeja-T rekaan Dick Bruna, gambar ihsan UNIQLO

 “PEACE FOR ALL mengubah sehelai kemeja-T harian menjadi usaha bermakna untuk mencapai keamanan,” kata Yukihiro Nitta, Pegawai Eksekutif Kumpulan Fast Retailing yang bertanggungjawab dalam kelestarian. “Bersama rakan kolaborasi, pelanggan dan rakan kongsi, kami berhasrat memperluaskan impaknya serta membina gerakan berterusan ke arah perubahan positif. Tindakan kecil yang dilakukan oleh jutaan individu mampu mendorong perubahan yang bermakna,” tambahnya lagi.

Yukihiro Nitta, Pegawai Eksekutif Kumpulan Fast Retailing, gambar ihsan UNIQLO

Yaya, Rakan Kolaborasi Terbaharu Projek PEACE FOR ALL

Pelakon, model dan Duta Jenama UNIQLO Thailand, Urassaya ‘Yaya’ Sperbund turut diterbangkan ke acara ini sebagai kolaborator terbaharu projek PEACE FOR ALL. 

 “Saya berbesar hati kerana berpeluang menyertai PEACE FOR ALL dan gerakan bersama yang memperjuangkan keamanan. Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu di seluruh Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk menterjemahkan kebaikan kepada tindakan. Apabila seseorang berasa dihargai, disokong dan diberi peluang, harapan mampu berkembang menjadi perubahan positif,” kata Yaya.

Urassaya ‘Yaya’ Sperbund, gambar ihsan UNIQLO

Sepanjang mengusahakan kolaborasi ini, Yaya banyak memikirkan tentang makna ‘Peace’ atau keamanan buat dirinya. “Kebaikan, keselamatan dan perkembangan diri,” kongsinya. “Ia belum rasmi lagi, tapi anda semua akan dapat melihat rekaan kemeja-T itu tidak lama lagi!” kongsi Yaya kepada ELLE. 

Menyokong 24 Projek Di 17 Negara

Antara penerima sumbangan di Asia termasuklah projek yang berusaha membanteras perkahwinan bawah umur di Vietnam, program pembangunan kemahiran untuk golongan belia kurang berkemampuan di Thailand dan Filipina, serta inisiatif mencegah keganasan di sekolah-sekolah di Kemboja.

Elizabeth Teare, Pengurus Perkongsian Korporat dan Filantropi Save the Children Thailand, berkata, “Kanak-kanak dan golongan muda tidak kekurangan bakat atau cita-cita. Sebaliknya, mereka kekurangan peluang. PEACE FOR ALL membantu menyediakan ruang yang selamat, kemahiran dan sokongan yang diperlukan untuk mereka membentuk masa depan sendiri. Dengan peluang yang sewajarnya, golongan muda mampu menjadi pemangkin utama kepada perubahan positif dalam komuniti mereka.”

“Melalui kerjasama kami dengan inisiatif PEACE FOR ALL UNIQLO, kami juga memastikan hasil jualan setiap helai kemeja-T membantu menyediakan keselamatan, pendidikan dan perlindungan kepada kanak-kanak di seluruh dunia,” tambahnya lagi.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down