
Saat pertama kali melangkah masuk ke bangunan Fast Retailing di Ariake terus terasa kagum. Bangunan besar di atas tapak seluas 36,309 meter persegi ini menjadi pusat utama kepada segala operasi kumpulan Fast Retailing di Jepun, nadi di sebalik empayar fesyen global ini. Di antara enam tingkat yang menempatkan pelbagai bahagian penting, satu tingkat dikhususkan sepenuhnya untuk UNIQLO City Tokyo, ruang inovasi yang menjadi sumber inspirasi dan tempat kelahiran idea untuk masa depan LifeWear.


UNIQLO City bukan sekadar ruang pejabat, ia ibarat sebuah bandar kecil yang hidup dalam sebuah bangunan. Terletak di tingkat paling atas dengan keluasan lebih 18,500 meter persegi, ruang ini dirancang untuk menyatukan setiap pasukan di bawah satu bumbung. Setiap sudutnya diatur seperti pelan bandar sebenar, lengkap dengan 'jalan utama' yang menghubungkan semua jabatan. Di sini, tiada dinding yang memisahkan. Hanya ruang terbuka yang menggalakkan pertembungan spontan, pertukaran idea dan kerjasama secara organik.
Di sepanjang 'jalan' itu, tersusun empat ruang utama: kafe, perpustakaan, bilik media digital dan dewan bandar (town hall). Ia adalah kawasan yang berfungsi sebagai tempat rehat dan inspirasi. Di kiri dan kanan jalan pula, terdapat ‘beranda hadapan’ yang membuka laluan ke ruang kerja setiap jabatan. Direka dengan konsep fleksibel, setiap jabatan ini mempunyai ruang mesyuarat, sudut rehat dan tempat menguji produk yang sentiasa hidup dengan kreativiti.



Lebih daripada sekadar reka bentuk menarik, UNIQLO City adalah simbol transformasi. Bukti nyata UNIQLO ke arah menjadi syarikat runcit berasaskan digital sepenuhnya. Di sinilah terhasil projek-projek besar seperti RE.UNIQLO, sistem logistik pintar dan reka bentuk berasaskan data yang memahami kehendak pelanggan global. Bangunan ini turut menempatkan studio kreatif atelier, makmal fabrik dan pusat penyelidikan (R&D) yang menghimpunkan pereka, juruteknik dan saintis dari seluruh dunia. Di bawah satu visi bersama, mereka mengubah cara pakaian direka, dihasilkan dan dijual, dengan nilai kelestarian sebagai teras utama.


Inilah semangat sebenar Ariake Project, inisiatif yang dilancarkan pada tahun 2017 oleh Fast Retailing. Prinsipnya mudah tetapi mendalam: “make what customers want, not what will become waste”. Dari ruang ini, lahirlah LifeWear, pakaian yang bukan sekadar indah pada pandangan, tetapi juga relevan, praktikal dan lestari. Ariake adalah masa depan UNIQLO, tempat di mana fesyen dan fungsi benar-benar bersatu.

