Langgan

Keindahan Warisan Dari Mata Generasi Baharu

Sudah tiba masanya kita meraikan semula fabrik dan rekaan tradisi yang sudah dimodenkan.
4 minit untuk membaca
Published: November 30, 2025
Warisan Moden

“Saya percaya jenama Eropah dan Jepun masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, tetapi jangan lupakan jenama lokal. Cuba gabungkan kesemuanya untuk mencipta gaya yang hanya anda miliki. Saya harap anda berani menyusun gaya yang benar-benar unik kepada diri anda dan mempersembahkannya kepada dunia,” kata Motofumi ‘Poggy’ Kogi dalam sebuah temu bual bersamanya.

Ketika temu bual itu berlangsung, saya hanya mampu mendengar lenggok suaranya tanpa memahami sepatah pun kata yang diucapkan. Namun sebaik mengetahui terjemahannya, kata-kata itu seolah-olah berputar kembali dalam fikiran. Ia mungkin boleh ditafsir dalam pelbagai cara. Tetapi bagi saya, makna tersiratnya jelas untuk berani menyuntik identiti dan budaya sendiri dalam cara kita bergaya, agar ia menjadi personal statement yang unik dan autentik, bukan sekadar fesyen biasa. Ayat terakhirnya yang mengajak kita untuk mempersembahkan gaya itu kepada dunia turut meninggalkan kesan yang agak mendalam pada diri. Kerana benar, jika bukan kita sendiri yang menggayakan keindahan warisan kita kepada dunia, siapa lagi?

Dalam dunia yang dihujani fesyen antarabangsa dan trend mikro yang muncul silih berganti di TikTok, mungkin sudah tiba masanya untuk kita berhenti menjadi pengikut setia arus gaya ini dan mula meraikan keunikan fesyen kita sendiri. Setiap minggu, ada sahaja estetik baharu yang tular tanpa henti, namun di mana letaknya identiti kita sendiri dalam lautan gaya moden ini? Daripada terus mengejar apa yang dianggap ‘in’ ini, mengapa tidak kita pula yang menentukan arah gaya itu, menzahirkan sesuatu yang tulen dan autentik hingga menjadi ikutan orang luar?

uzair shoid
Daripada pentas peragaan Uzair Shoid

Setiap budaya memiliki pakaian tradisi yang pernah menjadi lambang identiti. Kimono di Jepun, cheongsam di China dan sut di Barat. Namun, ketiga-tiganya tidak terhenti di masa lalu; sebaliknya, terus berevolusi dan disesuaikan dengan gaya hidup moden. Kenzo, Yohji Yamamoto dan Issey Miyake mengolah kimono dalam bentuk avant-garde yang futuristik, sementara Guo Pei mengangkat cheongsam sebagai simbol kekuatan dan keanggunan wanita Asia. Sut Barat pula terus berevolusi – daripada Giorgio Armani yang memperhalus seni sut yang sofistikated untuk wanita dan lelaki, Ralph Lauren dengan gaya American classic tailoring yang abadi, hingga Saint Laurent yang mencipta sut slim-fit dengan gaya androgynous, setiap satu mendefinisikan semula makna kuasa dengan gaya segar. Jadi, jika budaya lain mampu mengangkat warisan mereka tanpa kehilangan identiti, mengapa tidak kita? Malah, tidak dapat dinafikan ramai daripada kita menjadikan fesyen budaya lain sebagai rujukan.

Di Malaysia, percubaan memodenkan pakaian atau fabrik warisan pada awalnya menimbulkan perbualan hangat. Ketika Behati mula muncul dengan rekaan berinspirasikan baju Melayu dan songket dalam potongan avant-garde, reaksi di media sosial bercampur: ada yang memuji keberaniannya, ada yang menuding ‘cultural appropriation’. Namun, adakah memodenkan warisan bermakna kita tidak menghormatinya? Atau adakah ketakutan itu datang daripada cara kita melihat tradisi sebagai sesuatu yang statik dan suci, yang tidak boleh disentuh atau diubah?

Jika kita berpegang kepada idea bahawa tradisi mesti kekal seperti dahulu, maka lambat laun, ia hanya akan menjadi artifak, disimpan rapi di muzium. Hanya sekadar dapat dilihat pada mata kasar namun tidak lagi dihidupkan. Saya percaya, warisan hanya benar-benar hidup apabila ia terus berkembang dan masih diterima. Sama seperti bahasa yang berubah dengan masa, fesyen juga perlu berevolusi agar terus relevan. Memodenkan warisan bukan bererti menghapuskan nilai asalnya, tetapi memperluasnya, membawa naratif lama ke konteks baharu.

Dan selepas Behati membuka jalan, seolah-olah satu gelombang baharu mula berhembus dalam arena fesyen tempatan secara perlahan-lahan. Di pentas KLFW 2025, kebangkitan itu nyata jelas. Satu demi satu jenama tampil mempersembahkan tafsiran moden terhadap pakaian dan fabrik warisan dengan berani. Mereka sepertinya bukan sahaja mereka bentuk pakaian, bahkan sedang membina jambatan antara generasi lalu dan generasi kini.

Ada yang mengolah songket menjadi potongan ethereal yang dreamy seperti Uzair Shoid, ada pula yang memadukan songket dengan siluet streetwear penuh karakter seperti Huntilanak. Tidak lupa juga kepada koleksi Hasz Hishaam, Zachrin Jaafars, Sofia Iman dan Fiziwoo. Setiap koleksi terasa seperti pernyataan yang lantang, berani dan sarat dengan identiti asli, direka khas untuk tumpuan dunia. Melalui cara pereka-pereka ini menyusun rekaan, bermain dengan tekstur dan memberi ruang kepada fabrik itu ‘bernafas’, mereka berjaya membuktikan bahawa warisan boleh tampil kontemporari tanpa kehilangan jiwa.

behati
Daripada pentas peragaan Behati
hasz hishaam
Daripada pentas peragaan Hasz Hishaam
Warisan Moden
Daripada pentas peragaan Sofia Iman
Warisan Moden
Daripada pentas peragaan Zachrin Jaafars

Dahulunya, warisan tekstil tempatan sering dipinggirkan kerana persepsi bahawa ia ‘terlalu formal’ atau ‘tidak praktikal’ untuk dipakai setiap hari. Akan tetapi siapa yang menetapkan sempadan itu? Adakah ia wujud secara objektif, atau adakah kita sendiri yang membataskan potensi warisan kita? Apabila kita melihat songket atau batik hanya sebagai busana rasmi, kita sebenarnya menghadkan potensinya. Padahal, dengan rekaan dan styling yang tepat, ia boleh menjadi pakaian harian yang versatil – seperti skirt sarong dipadankan dengan kemeja putih longgar, atau kemeja batik disarung bersama seluar denim. Warisan hanya kelihatan jauh apabila kita sendiri yang menjauh daripadanya.

Kini, masa depan fesyen Malaysia tampak lebih menjanjikan –  di mana warisan dan rekaan moden tidak lagi dipandang sebagai dua dunia berasingan, sebaliknya bersatu membentuk kesinambungan yang harmoni. Pereka tempatan berani bereksperimen, manakala peminat fesyen tempatan turut berani menggayakannya dengan penuh keyakinan. Bayangkan suatu hari nanti di jalanan Kuala Lumpur, potongan moden yang diperbuat daripada fabrik songket, sulaman, batik atau anyaman bergerak bebas sebagai gaya kasual harian. Tiada lagi rasa janggal, tiada lagi rasa ‘pelik’ kerana ketika itu, warisan telah sepenuhnya bersinar sebagai sebahagian daripada identiti moden.

Fesyen bukan sekadar tentang rupa, ia tentang rasa bangga, rasa milik dan rasa ingin mengekspresikan diri. Seperti yang diingatkan Poggy, “jangan lupakan jenama lokal.” Keunikan sebenar itu tercipta apabila kita menyulam unsur antarabangsa dengan identiti sendiri. Apabila kita memodenkan pakaian tradisi, kita bukan sekadar tidak memadamkan warisan di masa silam, sebaliknya menyambung legasinya. Kita mengubahnya menjadi sesuatu yang boleh hidup bersama kita di bandar, di media sosial, di pentas peragaan dan juga dalam kehidupan seharian. Kerana pada akhirnya, warisan bukan untuk disimpan di dalam almari kaca muzium. Ia untuk dipakai, dihidupkan semula dan dibawa ke hadapan dengan gaya yang berani, autentik dan penuh jiwa.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down