Langgan

This Is It, Hunty! Memahami Keanehan Dunia Huntilanak

Bayangkan fesyen avant-garde, aneh dan berunsur artistik. Huntilanak menolak rekaan konvensional dan membentuk bahasa fesyen yang tersendiri.
4 minit untuk membaca
Published: September 8, 2025
Huntilanak

Apa yang menarik perhatian penulis fesyen merupakan jaket dengan siluet wajah raksasa itu. Sekilas pandang, tampak aneh, sedikit mengganggu, tetapi it's a work of art! Berani, dramatik dan sebenarnya apabila diperhatikan, dihasilkan dengan ketelitian yang luar biasa. Menimbulkan rasa kagum dan ingin tahu tentang proses serta kemahiran teknikal yang diperlukan bagi menghasilkannya. Terutama ketelitian jahitan tangan dalam menyatukan setiap bahagian kecil untuk membentuk wajah raksasa. Saya yakin mesin jahit industri biasa tidak mampu menggabungkannya.

Tema isu bulan ini adalah ‘Art Meets Fashion’ dan sejujurnya, Huntilanak terus terlintas di fikiran. Nama Huntilanak merupakan gabungan perkataan ‘Hunty’ (slang untuk honey yang kerap digunakan oleh drag queens) dan ‘Kuntilanak’ (makhluk halus wanita daripada mitologi Melayu dan Indonesia). Pengasas dan pereka Huntilanak, Ryan Tan menyalurkan emosinya sambil menerapkan amalan upcycling dan menenun akar warisan ke dalam estetiknya. Bagi saya, inilah etika fesyen yang wajar dicontohi oleh generasi muda hari ini – menghargai budaya, berinovasi dan berfokus pada kelestarian.

Huntilanak baru sahaja mempersembahkan rekaan debut ‘Britney’ di Kuala Lumpur Fashion Week 2025 dan saya berkesempatan menyaksikannya secara langsung. Koleksi ini jelas menegaskan identiti unik yang dibawa Huntilanak. Mungkin tidak semua orang yang dapat menangkap visi kreatif ini pada pandangan pertama. Namun, temu bual ini membantu membawa kita lebih memahami konsep dan inspirasi Ryan, memberi gambaran tentang dunia Huntilanak.

Rumuskan Huntilanak dalam satu perkataan dan mengapa?

Mononoke. Ia adalah tajuk bagi anime Jepun yang saya sarankan. Kalau awak menontonnya, awak akan terus faham serta-merta. Ia menyeramkan, surreal dan indah dengan cara yang aneh… agak menakutkan, tapi penuh dengan warna dan simbolisme. Keseimbangan antara yang menghantui dan yang bertenaga, yang mengganggu dan yang memikat – itulah gambaran sempurna bagi Huntilanak.

Apa yang mendorong anda untuk menghasilkan karya berunsur artistik dan dramatik?

Saya tak pernah teruja dengan pakaian ‘biasa’. Saya mudah rasa bosan. Bila dah tahu cara untuk buat sesuatu, saya hilang minat dan mahu cari cabaran baru. Jadi, mereka bentuk dan menjual pakaian ‘wearable’ memang tak menarik minat. Saya perlukan rasa penemuan. Itulah yang menjadi pendorong – perkara yang tak diketahui dan sedikit mengarut.

Huntilanak

Apakah yang membuatkan pernyataan fesyen itu artistik bagi anda?

Apabila ia lahir dari tempat yang benar-benar tulen. Tak semestinya perlu berani atau bersifat konseptual, ia harus membawa tujuan.

Cara anda mengimbangi visi seni dengan praktikaliti? Adakah wearability mempengaruhi pilihan kreatif anda?

Saya masih perlu menjual, jadi ya, wearability sentiasa bermain di fikiran tapi bukanlah perkara utama yang memimpin proses itu. Fokus utama adalah cerita yang saya ingin sampaikan. Saya rasa ada keindahan dalam menghasilkan sesuatu yang liar namun masih boleh dipakai. Jadi saya cari cara untuk menyesuaikannya sambil tidak menjejaskan inti pati rekaan tersebut. Ia tentang mencari titik tengah, bukan melemahkannya.

Cabaran apabila membawa ciptaan berteraskan seni ini ke pasaran fesyen Malaysia?

Mereka masih terbiasa dengan fesyen yang kemas, cantik dan selamat. Apabila anda tampil dengan fabrik distressed, siluet yang menyerupai hantu atau jaket yang kelihatan seperti raksasa, mereka memberi pelbagai reaksi. Cabaran sebenar adalah untuk menggalakkan orang melihat fesyen sebagai lebih daripada sekadar pakaian. Ia boleh bersifat emosi, pelik atau sedikit tidak selesa – and that’s okay!

Huntilanak membawa kelainan ke dalam industri dan apa impak yang anda harapkan?

Saya mahu tunjukkan bahawa fesyen Asia Tenggara lebih daripada sekadar batik dan songket. Rantau kita penuh dengan kisah, tekstur, makhluk dan ritual – dan saya percaya masih banyak inspirasi yang sedang menanti untuk diterokai. Dengan Huntilanak, saya ingin melangkaui definisi biasa ‘pakaian tradisional’ dan membuktikan bahawa kita boleh cipta fesyen yang eksperimental, penuh emosi dan relevan di peringkat global – tanpa kehilangan akar budaya kita.

Apa maksud di sebalik koleksi terbaru ‘Britney’ dan cerita yang ingin disampaikan?

Sejujurnya, tiada konsep besar di sebalik nama Britney. Semasa kecil sehingga sekarang pun, saya selalu guna nama ‘Britney’ dalam permainan, emel, nama pengguna…semuanya. Jadi, menamakan koleksi ini sebagai Britney terasa sangat semula jadi dan mungkin itu hanya kehendak hati - saya cuma rasa kelakar haha. Saya tak pernah rasa perlu untuk padankan nama koleksi dengan makna yang mendalam atau konseptual. Tiada cerita rumit di sini dan I kind of like that. 

Apa yang mendorong anda untuk mempersembahkan songket pada koleksi Britney?

Saya telah menggunakan songket dalam kerja sejak sekian lama dan saya sentiasa menghargainya. Bukan sahaja kerana keindahannya, tapi juga kerana nilai budayanya yang mendalam. Keanggunan dan kemewahan pada songket serta-merta menarik perhatian. Untuk Britney, saya tidak mahu menggunakan songket hanya sebagai simbol warisan tradisional. Saya mahu twist, distress dan menolaknya ke arah lebih moden, malah dalam konteks yang tidak dijangka. Ini tentang membuktikan bahawa kain warisan tidak perlu kekal di masa lalu atau hanya dipakai untuk majlis rasmi. Ia boleh hidup, berkembang dan diolah semula supaya relevan dengan generasi baharu.

Rekaan yang paling menguji kemahiran atau imaginasi dan mengapa?

Oh, sudah tentu dua rekaan berhias kristal yang saya hasilkan bersama Silas Oo (@robotinpyjamas). Kedua-duanya menguji kemahiran dan imaginasi. Kami mencipta fabriknya dari awal dan perlu mencari cara untuk benamkan batu kristal terus ke dalam kain – satu teknik baharu bagi kami. Bukan sahaja menjadikannya cantik tapi juga memastikannya boleh bergerak, jatuh terletak dan tahan untuk dipakai.

What’s next’ untuk Huntilanak dan adakah seni (topeng raksasa) akan terus kekal?

Sejujurnya, saya sendiri pun tak pasti. Huntilanak adalah projek yang lahir daripada minat dan naluri, lebih didorong oleh emosi berbanding strategi. Sudah tentu saya mahu elemen seni, terutamanya topeng raksasa dan penceritaan kekal sebagai teras. Namun realitinya, tak semua mempunyai keistimewaan untuk terus mengutamakan seni sepenuhnya. Kelestarian, masa dan dana – semua itu memainkan peranan. Walaupun bentuk mungkin akan berubah, semangatnya akan sentiasa ada. Sama ada dalam rekaan teaterikal atau sesuatu yang boleh dipakai, unsur cerita rakyat, fantasi, dan emosi tetap akan disulamkan ke dalamnya. Kita hanya perlu lihat ke mana arahnya dan biarkan ia berkembang secara semula jadi.

Kredit gambar: Hariz Amsyar dan Danish Haikal

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down