Langgan

H&M Umumkan Kolaborasi Bersama ELIE SAAB: Dunia Glamour Couture Bakal Bertemu High Street

Apabila couture menjadi lebih versatil.
2 minit untuk membaca
Published: September 4, 2026

Gaun penuh sulaman, kilauan sequin, renda halus dan siluet dramatik. Selama bertahun-tahun, pereka kelahiran Beirut ini telah membina sebuah dunia yang sinonim dengan kemewahan dan momen-momen paling ikonik di karpet merah. Kini, dunia tersebut bakal mengambil bentuk baharu.

H&M secara rasmi mengumumkan ELIE SAAB sebagai kolaborator pereka terbaharunya, menyatukan dua dunia fesyen yang cukup berbeza tetapi sama-sama berpengaruh: kehalusan haute couture dan aksesibiliti high street.

Apabila Dunia ELIE SAAB Bertemu H&M

Bagi peminat fesyen, pengumuman ini pastinya mencetuskan persoalan yang cukup menarik. Bagaimanakah estetika ELIE SAAB yang selama ini sinonim dengan gaun couture akan diterjemahkan untuk koleksi bersama H&M?

Koleksi ELIE SAAB x H&M bakal merangkumi pakaian wanita, lelaki serta pelbagai aksesori termasuk kasut. Mengambil inspirasi daripada visi kontemporari dan kod rekaan ikonik rumah fesyen tersebut, antara yang boleh dinantikan termasuk gaun berhias, helaian berkilauan, tailoring berstruktur serta perincian seperti renda halus, sequin bergradasi dan signature monogram.

Dengan kata lain, ini bukan sekadar tentang meletakkan nama seorang pereka terkenal pada pakaian high street. Ia adalah tentang membawa identiti visual ELIE SAAB yang dibina melalui ketelitian, kemewahan dan seni pertukangan ke dalam sebuah koleksi yang menjanjikan lebih banyak pilihan untuk dinikmati.

Menterjemah Kod Couture Ke Gaya Moden

Kolaborasi pereka sentiasa menjadi antara momen yang paling dinantikan dalam kalendar fesyen H&M. Namun, pemilihan ELIE SAAB kali ini terasa cukup menarik kerana kontras yang dibawanya. Di satu sisi ialah dunia couture yang penuh dengan perincian dan fantasi. Di sisi lain pula ialah pendekatan H&M yang membawa fesyen kepada khalayak yang lebih luas.

Pertemuan kedua-duanya membuka ruang untuk satu persoalan baharu: bolehkah kemewahan couture diterjemahkan ke dalam cara kita berpakaian hari ini? Daripada gaun berhias untuk malam istimewa kepada helaian berkilauan yang boleh menjadi pusat perhatian, ELIE SAAB x H&M nampaknya mahu membuktikan bahawa glamour tidak semestinya hanya hidup di atas karpet merah.

Seperti yang dinyatakan oleh Ann-Sofie Johansson, Penasihat Kreatif dan Ketua Reka Bentuk Pakaian Wanita H&M, kolaborasi ini bakal membawa sebuah koleksi yang magis, penuh perincian dan glamour. Dan berdasarkan DNA kedua-dua nama ini, satu perkara sudah pasti—ELIE SAAB x H&M bukanlah kolaborasi untuk mereka yang mahu bermain selamat.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down