Langgan

H&M dan Stella McCartney Menghidupkan Semula Kolaborasi Mereka. Ini Yang Anda Perlu Tahu

Koleksi yang terasa segar dan cukup relevan untuk masa kini.
2 minit untuk membaca
Published: May 5, 2026
Stella McCartney
Gambar: H&M

Dua dekad selepas kolaborasi pertama mereka pada November 2005, H&M dan Stella McCartney kembali bersatu menerusi sebuah koleksi yang terasa segar dan cukup relevan untuk masa kini. Kemunculan semula ini sudah lama dinantikan bukan sahaja kerana nilai nostalgianya tetapi juga kerana mesej yang dibawanya hari ini: pendekatan fesyen yang lebih sedar, bertanggungjawab dan progresif tanpa sesekali mengorbankan gaya.

Di terasnya, koleksi ini berpegang pada falsafah Stella McCartney tentang gaya yang lestari dan pakaian yang direka untuk melangkaui musim. Basics yang dipertingkatkan sesuai digayakan kini dan untuk tahun-tahun mendatang. Pemilihan material turut diberi perhatian dengan beberapa produk diperakui di bawah Responsible Wool Standard (RWS), memastikan gentian bulu diperoleh daripada ladang yang mematuhi piawaian kebajikan haiwan dan pengurusan tanah yang ketat.

Stella McCartney
Gambar: H&M

“Saya melihat koleksi ini sebagai satu perjalanan merentas sejarah fesyen saya. Ia menggabungkan klasik masa kini dengan beberapa kegemaran lama yang mencerminkan langkah awal saya dalam dunia fesyen serta evolusi identiti rekaan saya. Ia playful, kuat, berkilau, menggembirakan dan sofistikated,” kata pereka fesyen kelahiran England itu.

Refleksi ini terserlah dalam keseluruhan koleksi. Ia menampilkan siluet ikonik yang sinonim dengan Stella McCartney daripada kemeja oversized, kot trench yang labuh hingga tailoring yang tajam diperkaya dengan sentuhan daripada arkib awalnya. Hasilnya, hadir cetakan berhias, slogan tees dan helaian yang membangkitkan nostalgia, namun masih terasa segar dan relevan dalam konteks masa kini.

Terdapat satu keselesaan dalam cara semua elemen ini digabungkan. Gaun dan atasan rajut rib hadir dengan rantai Falabella McCartney di bahagian leher, manakala sehelai gaun putih panjang tampil menonjol dengan lengan ala cape yang bersambung ke labuh, membentuk siluet yang mengalir dan hampir bersifat arca. 

Stella McCartney

Suasana menjadi lebih ekspresif dengan pilihan partywear berkilauan, helaian denim santai serta rekaan mesh dengan cetakan ceri daripada arkib. Sebuah mini tee putih bertatahkan stud dengan tulisan “Rock Royalty” pula memberikan sentuhan nostalgia yang bersahaja.

Aksesori turut memainkan peranan penting menampilkan enam gaya beg daripada beg bahu kompak sehingga tote bersaiz besar. Elemen rantai Falabella turut diterapkan pada barang kemas seperti rantai leher dan anting-anting yang diperbuat daripada logam kitar semula dalam tona campuran, serta pada loafers yang memberikan sentuhan moden pada siluet klasik.

Koleksi Stella McCartney x H&M tersedia secara dalam talian dan di cawangan utama Lot 10 mulai 7 Mei.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down