Langgan

Behind The Seams: Palet Warna Sebagai Penggerak Utama Justin Yap

Koleksi yang menghidupkan palet rona neutral, hitam, beri dan hijau dalam keharmonian tekstur, sambil mengekalkan kehalusan pertukangan yang unggul.
3 minit untuk membaca
Published: June 25, 2025
justin yap

Berpengalaman luas dalam dunia fesyen, Justin Yap dikenali sebagai figura yang mengangkat seni rekaan ke tahap tertinggi menerusi komitmennya terhadap ketelitian potongan. Setiap helaian ciptaannya memperkasakan si pemakai dengan keyakinan dan keanggunan tersendiri melalui siluet yang tepat. Labelnya sering mencuri tumpuan di pentas peragaan dan kali ini, penulis berkesempatan menyelami pemikiran kreatifnya saat mempersiapkan koleksi bagi Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur.

Sudah berapa lama anda menceburkan diri dalam bidang fesyen?

Saya menamatkan pengajian dari sekolah fesyen pada tahun 2006, jadi sudah 19 tahun saya memulakan perjalanan sebagai seorang pereka fesyen.

Apakah kelebihan terbesar sepanjang penglibatan anda di MBFWKL selama ini?

Mercedes-Benz melambangkan prestij, dan setiap perkara yang mereka lakukan direalisasikan dengan penuh kecemerlangan. Tetamu yang mereka undang terdiri daripada nama-nama besar – bakal klien yang memahami dan menghargai seni fesyen. Tambahan pula, bekerjasama dengan pasukan MBFWKL sentiasa menjadi pengalaman yang menyenangkan. Adrian, penerbit acara, merupakan sahabat baik saya sejak sekian lama, dan saya amat menghargai kepercayaan serta sokongan yang diberikannya sehingga kini.

justin yap

Inspirasi di sebalik koleksi baharu ini?

Sejujurnya, saya bermula tanpa konsep yang jelas. Saya bergerak secara terbalik, bermula dengan palet warna yang merangkumi rona neutral dan hitam ke rona beri dan hijau. Saya percaya koleksi harus mencerminkan estetik jenama, dan bagi saya, ia bermula dengan warna. Dari situ, saya memilih fabrik dengan tumpuan pada tekstur. Perkataan seperti kontras, hibrid dan juxtaposition terlintas di fikiran. Saya gabungkan elemen sleek dan bertekstur – tweed bersama labuci, campuran linen bertekstur, acetate mewah yang menyerupai satin dan sudah tentu, motif oriental moden dalam jacquard yang menjadi identiti saya.

Bagaimana anda menterjemah idea itu kepada rekaan sebenar? 

Memahami fabrik adalah kunci utama. Musim ini, material menjadi inspirasi kepada siluet. Tailoring memainkan peranan besar, kini saya obses dengan struktur bahu yang tajam dan potongan yang tepat. Ini bukan sekadar fasa, tetapi suara baharu untuk jenama. Perincian hibrid turut muncul pada bahagian lapel, di mana saya gabungkan gaya shawl dan peak, serta menambah potongan leher pada jaket bomber dengan sentuhan kimono. Hasil koleksi merupakan 28 rekaan yang boleh digayakan secara mix-and-match untuk lelaki dan wanita.

Proses anda dalam mencari fabrik atau material? 

Saya gemar menggabungkan elemen yang sudah biasa dengan sesuatu yang baharu. Tahun ini, saya berpeluang melawat dua buah bandar di China dan menemui pembekal fabrik yang sangat mengagumkan. Warna dan tekstur fabriknya just speaks to me.

Anda sering bereksperimen dengan tekstur dan corak fabrik. Apa material kegemaran?

Saya gemar akan material berstruktur seperti jacquard. Fabrik ini kompleks, jenis benang dan komposisi yang berbeza menghasilkan kesan visual yang berbeza. Saya sering melapiskannya untuk membentuk dan mengekalkan strukturnya, seperti membina struktur bangunan menggunakan rangka besi. Saya juga menyukai fabrik yang mengalir lembut bak cecair, seperti sutera dan triacetate. Namun, ia datang dengan harga tinggi, jadi saya akan gunakannya secara strategik.

Maksud siluet ‘sharp’ bagi anda?

Minimalisme adalah yang paling sukar untuk disempurnakan. Jika tidak dihasilkan dengan penuh ketelitian, ia bukanlah sharp. Kehalusan pertukangan adalah segalanya, potongan yang terletak sempurna pada tubuh dan jahitan yang dilicinkan kemas hingga tiada sebarang kedutan. Siluet sharp seharusnya menyerlahkan bentuk tubuh manusia, memberi rasa kekuatan. Ia adalah perasaan ketika anda melangkah ke dalam bilik dan menarik perhatian serta-merta.

Tiga perkataan untuk menggambarkan koleksi ini?

Koleksi tahun lalu adalah ‘sharp, animalic and opulent’. Tahun ini, saya gambarkan sebagai ‘poetical, truthful and eternal’.

Adakah anda mementingkan tentang wearability, mengimbangi antara praktikaliti dan kreativiti?

Sentiasa. Saya tidak percaya dalam menghasilkan ‘showpieces’ hanya untuk pentas peragaan. Apa yang dilihat di pentas haruslah sedia untuk dunia sebenar. Pentas peragaan saya adalah cerminan kepada real way.

Kejutan atau cabaran semasa proses penghasilan?

Sudah tentu, masa merupakan kekangan utama. Daripada pencarian fabrik hingga ke pengeluaran, garis masanya sangat padat. Kami hanya mempunyai beberapa bulan sahaja untuk menyatukan kesemuanya. Ia memang mencabar, tetapi saya berbangga dengan hasilnya.

Pelajaran terbaik sepanjang proses penghasilan?

Saya sering menonton semula pertunjukan lalu sebagai cara untuk bermuhasabah dan memperbaik. Itu cara saya untuk kekal berpijak di bumi nyata dan mengelakkan rasa terlalu selesa. Saya juga memerhati pelanggan dengan teliti – apa yang mereka beli, apa yang mereka tertarik. Reka bentuk adalah minat, tetapi ia juga merupakan business. It has to sell.

Bagaimana anda mahu penonton rasa ketika melihat koleksi anda di MBFWKL?

Saya mahu mereka berasa terhubung. Melihat rekaan dan berkata, “Saya boleh pakai ini” atau “Saya suka itu dalam warna lain”. Pada masa yang sama, saya mahu mereka terus nampak rekaan itu “So Justin. Signature sangat penting bagi saya.

Bagi anda, bagaimana industri fesyen Malaysia boleh berkembang atau diperbaiki sebagai hab fesyen?

Saya percaya kita memerlukan lebih banyak platform yang menyokong bakat muda dan mengetengahkan kehalusan kerja tangan lokal. Banyak potensi luar biasa di sini, tetapi kita perlu melabur dalam infrastruktur, pendidikan dan juga pendedahan global. Fesyen adalah budaya, ia boleh menjadi antara eksport terkuat kita jika kita benar-benar menghargainya.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down