
Prada dan Gentle Monster mengumumkan kolaborasi melalui koleksi kaca mata edisi terhad. Diinspirasikan oleh estetika yang unik kepada Prada dan visi menarik Gentle Monster, koleksi eksklusif tersebut mengembangkan bahasa reka bagi kedua-dua jenama serta menampilkan ekspresi baharu kaca mata.
Reka Bentuk yang Memberi Penghormatan kepada Dua Jenama

Menghimpunkan identiti kedua-dua jenama, koleksi ini menampilkan tiga rekaan kaca mata yang mengimbangi bentuk kemas dengan perincian halus. Siluet kanta yang tajam dipadankan dengan binaan bingkai berinspirasikan seni bina, menghasilkan dimensi yang berubah mengikut pantulan cahaya. Bahagian tangkai titanium pula menyerlahkan gabungan logo segi tiga ikonik Prada bersama elemen arca yang menjadi signature Gentle Monster, sekali gus mencipta profil yang moden dan sofistikated.

Keistimewaan koleksi ini turut diterjemahkan menerusi pilihan warna eksklusif yang dibangunkan khas untuk kolaborasi berkenaan, menawarkan interpretasi baharu terhadap aksesori harian dengan sentuhan mewah dan eksperimental.
Bintang yang Menghidupkan Visi
Duta Prada, Sakaguchi Kentaro membintangi kempen koleksi serta memberi penerangan kepada naratif yang ingin disampaikan. Berpusat kepada konsep sebuah buku, kempen ini meneroka konsep fiksyen berteraskan elemen tanah, api, air, udara dan emosi cinta. Penceritaan kempen bersama elemen-elemen ini mengaburkan garis diantara realiti dan imaginasi.
Pelancaran Koleksi & Pop-up Eksklusif

Sempena pelancaran koleksi, sebuah pengalaman pop-up eksklusif diadakan di butik utama Gentle Monster di Aoyama, Tokyo bermula 2 Julai. Koleksi ini ditawarkan buat masa yang terhad di beberapa pasaran terpilih di Asia. Antaranya adalah Jepun, Korea Selatan, China dan Hong Kong.

