
Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, koleksi IMPERIALE telah mewakili visi Chopard dalam memberi pentafsiran keanggunan dan kecemerlangan horologi. Tahun ini, koleksi ikonik ini menemukan babak baru dengan pengenalan komplikasi terkini iaitu IMPERIALE Four Seasons.
Dail pada edisi ini menjadi fokus pada penciptaan dan seni pertukangan halus. Bahagian atasnya dilengkapkan dengan perincian emas putih 18 karat beretika yang diukir membentuk siluet bunga teratai. Motif cukup ikonik ini turut dizahirkan pada bentuk mahkotanya.
Kelopak emas dengan kemasan satin mencipta kontras pada tekstur yang memukau manakala bahagian bawah dail menampilkan biasan marquetri mutiara yang dicat, menciptakan rona-rona semula jadi yang sentiasa berubah.

Di sebalik penciptaan yang indah ini menjadi nadinya adalah pergerakan L.U.C 96.31-L — sebuah kaliber mekanikal automatik yang dilengkapi dengan modul eksklusif Four Seasons. Terdiri daripada 227 komponen, ia menawarkan rizab kuasa selama 65 jam hasil daripada Teknologi Twin Chopard.
Ia juga dibangunkan sepenuhnya dan dipasang secara teliti sebagai satu bukti kepada integrasi dinamik dan kepakaran Chopard dalam penghasilan jam tangan berkualiti tinggi.
Didatangkan dengan empat tali jam kulit buaya yang boleh diganti yang mencerminkan palet warna musim berbeza. Ia membolehkan pengguna mengharmonikan jam tangan mereka dengan dunia di sekeliling. Dihasilkan dalam edisi terhad sebanyak 25 utas sahaja

