Langgan

Temu Bual: Anna Sawai dalam Simfoni Batu Permata Cartier

Anna berkongsi hubungan peribadinya dengan Cartier buat kempen ni.
3 minit untuk membaca
Published: October 26, 2026
Gambar: Cartier

Menerusi koleksi High Jewellery Le Chœur des Pierres, Cartier meraikan keindahan batu permata dengan menggabungkan inspirasi daripada alam semula jadi dan kehalusan seni pertukangan. Setiap permata mempunyai karakter tersendiri, daripada warna dan bentuk hinggalah sejarah serta simboliknya. Keunikan inilah yang menjadi inspirasi di sebalik setiap rekaan lalu diterjemahkan melalui permainan cahaya dan dimensi yang mencipta komposisi begitu anngun. Menghidupkan koleksi ini ialah duta Cartier, Anna Sawai, yang mencerminkan gabungan semangat kontemporari dan keanggunan abadi maison ini.

“Perkara yang paling saya sukai tentang Le Chœur des Pierres ialah perasaan yang dibangkitkannya. Koleksi ini mempunyai kekuatan dan keanggunan tersendiri yang cukup menginspirasikan. Ia mengingatkan kita betapa indahnya gabungan seni dan ketelitian pertukangan dalam menghasilkan sesuatu yang benar-benar kekal sepanjang zaman.”

Selain menampilkan visual kempen, kami turut membawakan temu bual eksklusif bersama Anna yang berkongsi hubungan peribadinya dengan Cartier serta penghargaannya terhadap koleksi ini.

Gambar: Cartier
Le Chœur des Pierres membangkitkan rasa harmoni dan emosi. Sebagai seorang pelakon yang menghidupkan pelbagai kisah dan watak, apakah makna di sebalik konsep “simfoni batu permata” ini bagi anda dan apakah perasaan yang dicetuskan olehnya?


Sebagai seorang pelakon, saya sentiasa tertarik dengan idea bahawa setiap elemen mempunyai peranannya tersendiri dalam menyampaikan sesebuah cerita. Saya suka membayangkan setiap batu permata mempunyai karakter tersendiri dan apabila digabungkan, semuanya menghasilkan sesuatu yang lebih istimewa. Bagi saya, Le Chœur des Pierres menggambarkan keharmonian itu. Pelbagai karakter yang bersatu untuk mencipta sesuatu yang indah dan sarat dengan emosi.

Perjalanan anda telah membawa anda merentasi pelbagai budaya, namun anda tetap akrab dengan akar budaya Jepun. Dalam budaya Jepun, batu-batuan, sama ada dalam bentuk semula jadi mahupun yang telah dibentuk sering membawa makna yang mendalam, melambangkan alam semula jadi dan ketabahan. Bagaimanakah Le Chœur des Pierres meraikan keunikan setiap batu dengan cara yang dekat di hati anda?

Konsep ini sememangnya dekat dengan hati saya. Membesar dengan budaya Jepun membuatkan saya sangat menghargai seni pertukangan serta falsafah bahawa keindahan hadir apabila kita menghormati sifat semula jadi sesuatu bahan, bukannya cuba mengubahnya sepenuhnya. Itulah antara perkara pertama yang menarik perhatian saya tentang Le Chœur des Pierres. Setiap batu seolah-olah diraikan kerana karakter tersendiri, manakala tahap ketelitian seni di sebalik setiap ciptaan mengingatkan saya kepada semangat monozukuri, iaitu dedikasi terhadap mutu pertukangan, ketelitian dan kecemerlangan.

Gambar: Cartier
Apakah perasaan yang dibangkitkan oleh setiap rekaan ini dan bagaimana ia mencerminkan pemahaman anda sendiri tentang keindahan dan warisan?

Apa yang paling saya sukai ialah setiap batu seolah-olah mempunyai kisah tersendiri untuk diceritakan. Warna, bentuk dan teksturnya membangkitkan emosi yang berbeza, sekali gus menjadikan koleksi ini terasa begitu peribadi. Sebagai seorang pelakon, saya sentiasa tertarik dengan penceritaan dan emosi. Jadi, apabila menyarungkan barang kemas ini, saya seolah-olah membawa bersama nilai seni dan warisan yang terkandung di dalamnya.

Bagaimanakah anda menggambarkan hubungan anda dengan maison ini?

Apa yang sentiasa saya kagumi tentang Cartier ialah keseimbangan antara warisan dan kreativiti. Setiap ciptaan berteraskan mutu pertukangan yang luar biasa namun pada masa yang sama tetap mampu mengejutkan kita dengan sentuhan yang segar dan asli. Saya berasa begitu terinspirasi apabila dapat menyarungkan rekaan yang kekal relevan sepanjang zaman dan menganggapnya satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan maison ini.

Gambar: Cartier
Adakah anda mempunyai rekaan kegemaran daripada koleksi ini?

Sukar sekali untuk memilih, tetapi jika perlu, saya akan memilih rantai leher Panthère Tunya. Warna hijaunya begitu pekat dan menyerlah, dengan kehadiran yang cukup menawan namun tetap tampak anggun. Sebaik sahaja mencubanya, rekaan ini terus menarik perhatian saya. Ada sesuatu yang begitu istimewa tentangnya.

Barang kemas mewah Cartier terkenal dengan mutu pertukangannya yang luar biasa. Apakah yang paling mengagumkan anda tentang savoir faire di sebalik rekaan kegemaran anda, khususnya dalam menghidupkan motif harimau kumbang ikonik Maison ini?

Apa yang paling mengagumkan saya ialah ketelitian luar biasa pada setiap perincian. Apabila melihatnya dari dekat, kita benar-benar dapat menghargai ketepatan dalam setiap elemen daripada cara setiap batu dipotong dan dipasang sehinggalah bagaimana motif harimau kumbang disepadukan dengan begitu sempurna ke dalam rekaan. Ia berkarakter kuat namun pada masa yang sama tetap anggun. Mengetahui betapa tinggi nilai seni dan kepakaran yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu seperti ini menjadikan pengalaman menyarungkannya lebih bermakna.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down