Langgan

Masa, Dicipta Semula Melalui Rasa Oleh Jaeger-LeCoultre

Dalam edisi terbaru 'Made of Makers' oleh Jaeger-LeCoultre, keju menjadi medium sebuah perjalanan deria yang unik.
4 minit untuk membaca
Published: April 18, 2026
Jaeger-LeCoultre
Fondue Poudre

Sekitar lima tahun lalu, Jaeger-LeCoultre mula meneroka satu persoalan yang pada mulanya kelihatan mudah: adakah pembuatan jam tangan itu seni atau sebuah kraf? Jawapannya ternyata jauh lebih kompleks daripada yang disangka.

“Kami cuba mencari definisi yang jelas tentang perbezaan antara kraf dan seni tetapi sebenarnya ia tidak begitu jelas,” jelas Matthieu le Voyer, Ketua Pegawai Pemasaran maison tersebut. “Tiada definisi formal tentang apa itu seni. Satu perkara yang sering muncul ialah konsep kegunaan fungsional. Seni biasanya sesuatu yang tidak mempunyai fungsi praktikal.”

Dalam era di mana kebanyakan orang memeriksa waktu melalui telefon pintar berbanding jam di pergelangan tangan, persoalan itu menjadi semakin menarik: bolehkah pembuatan jam mekanikal dianggap sebagai satu bentuk seni? Dari pemikiran inilah lahirnya Made of Makers, sebuah program yang meneroka persimpangan antara ketukangan, seni dan penciptaan semula yang klasik. Sejak itu, inisiatif ini telah mempertemukan dunia horologi dengan artis dan pencipta daripada pelbagai disiplin.

“Jika anda melihat sesuatu yang kini dianggap klasik, kemungkinan besar ia pernah menjadi sangat radikal pada zamannya,” kata Matthieu. “Jika kita ambil contoh Chanel, Gabrielle Chanel pada tahun 1920-an langsung tidak ‘klasik’. Dia memperkenalkan seluar untuk wanita, rambut pendek, mutiara dan garis rekaan yang bersih. Semua itu sangat revolusioner.” Logik yang sama turut berlaku dalam dunia jam tangan.

“Begitu juga dengan jam Reverso. Pada tahun 1930-an, Reverso sebenarnya jam sukan dengan dail hitam dan badan keluli, bukan emas. Ia merupakan satu langkah yang berani menyimpang daripada kebiasaan.”

Sejak diperkenalkan, Made of Makers telah melahirkan 19 kolaborasi merentas pelbagai bentuk seni. Walaupun tujuh seni utama lazimnya diklasifikasikan sebagai Fine Art, maison ini memperluas tatabahasa kreatifnya sendiri dengan memasukkan gastronomi sebagai seni.

Tema tahun ini, ‘The Valley of Inventions’, memberi penghormatan kepada Vallée de Joux, lembah yang menjadi nadi kelahiran pembuatan jam tangan mewah Switzerland serta asal-usul Jaeger-LeCoultre. Mengambil inspirasi daripada satu lagi ikon Switzerland, maison ini memilih keju sebagai bahan utama kolaborasi terbaharu mereka, mengikuti projek tahun lalu yang berpusatkan coklat.

Pencarian rakan kolaborasi akhirnya membawa mereka kepada chef Switzerland Gilles Varone yang restorannya terletak di tengah-tengah landskap tasik, hutan dan pegunungan yang mengingatkan kepada Vallée de Joux. Dalam suasana alam yang tenang itu, Gilles mencipta pengalaman gastronomi yang menyeluruh. Satu pendekatan yang mencerminkan kesabaran dan ketepatan, nilai yang juga menjadi teras pembuatan jam tangan Switzerland.

Jaeger-LeCoultre
Cef Gilles Varone

Konsep Kulinari

Keju, menurut Matthieu, merupakan bahan yang sering menimbulkan reaksi kuat. “Keju mungkin bahan yang paling ‘memecah pendapat’,” katanya. “Ada yang menganggapnya berbau kuat atau terlalu tajam rasanya.”

Namun daripada mengelakkan kerumitan itu, pasukan ini memilih untuk meraikannya. Mereka meminta Gilles mencipta pengalaman rasa yang berkembang secara beransur-ansur. Bermula dengan sesuatu yang mesra selera sebelum membawa pengunjung kepada sesuatu yang lebih berani. “Kami meminta Gilles mencipta satu perjalanan rasa yang bergerak daripada gigitan yang mudah diterima kepada gigitan yang lebih eksperimen,” jelas Matthieu.

Hasilnya ialah empat hidangan kecil, setiap satunya melambangkan savoir-faire dan tradisi kulinari Switzerland. Dua daripadanya diinspirasikan daripada hidangan klasik Switzerland: fondue dan quiche. Manakala selebihnya menafsir semula keju melalui teknik kontemporari serta padanan rasa yang lebih moden. Setiap hidangan dipadankan dengan minuman bagi membentuk apa yang digambarkan Matthieu sebagai “pengalaman kulinari 360 darjah.”

Para tetamu akan menikmati pengalaman ini buat pertama kali semasa Watches and Wonders 2026, di mana ia disajikan sebagai pembuka selera sebelum mereka menemui koleksi jam tangan terbaharu Jaeger-LeCoultre.

Temu Bual Bersama Gilles Varone

ELLE: Apabila Jaeger-LeCoultre menghubungi anda untuk kolaborasi ini, apakah reaksi pertama anda?

Gilles Varone: Pertama sekali, cara mereka mendekati saya sangat istimewa. Mereka menjemput saya datang ke sini. Apabila dijemput melawat infrastruktur, rasanya seperti disambut masuk ke dalam sebuah keluarga. Itulah yang kami rasakan. Nilai inilah yang sangat dekat dengan kerja saya dan restoran saya. Apabila kami menyambut tetamu, kami menyambut mereka seolah-olah mereka datang ke rumah kami sendiri. Saya mahu mereka berasa dialu-alukan dan selesa. Perasaan itu saya rasakan serta-merta di sini, dan itulah yang benar-benar mengubah segalanya.

Eclat de Quiche

E: Tema tahun ini ialah ‘The Valley of Inventions’ yang memberi penghormatan kepada wilayah Jura di Switzerland. Bagaimana landskap kampung halaman anda mempengaruhi empat ciptaan ini?

G: Switzerland negara yang kecil, tetapi setiap wilayahnya sangat berbeza. Wilayah saya dan Vallée de Joux agak serupa. Kami mempunyai gunung dan banyak bahan yang sama. Jadi kami menggunakan keju dari kampung halaman saya bersama keju dari sini, lalu mencampurkannya untuk menghasilkan gabungan rasa yang sempurna.

E: Bolehkah anda ceritakan proses mencipta perjalanan rasa daripada ringan hingga ke lebih intens melalui empat hidangan ini?

G: Cabaran utamanya adalah menjadikannya mudah diterima oleh semua orang di dunia. Di Switzerland, kami membesar dengan makan keju hampir setiap minggu. Tetapi di tempat lain, ada yang tidak biasa dengannya. Jadi cabarannya ialah menghasilkan beberapa hidangan yang lebih lembut dan sedikit manis, sementara yang lain lebih kuat dengan keseimbangan antara keasidan, kekayaan rasa dan intensiti keju. Begitulah kami membina perjalanan empat hidangan ini bersama padanan minuman.

Jaeger-LeCoultre
Ecrin de tartelette

E: Bagaimana proses kreatif anda ketika menghasilkan setiap hidangan?

G: Segalanya bermula dengan tradisi. Dalam gastronomi, sama seperti pembuatan jam, kita bermula dengan asas yang sama seperti orang lain. Tetapi kemudian kita perlu mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi tanpa mengubahnya terlalu jauh sehingga identiti asal bahan itu hilang. Jadi kami bertanya: bagaimana mengekalkan rasa keju yang sebenar tetapi menjadikannya mudah dinikmati? Bagi saya juga sangat penting untuk tetamu memahami dari mana bahan itu datang. Siapa pengeluarnya, siapa yang mengusahakannya. Ia bukan hanya tentang makanan. Ia tentang segala yang berlaku sebelum makanan itu sampai ke meja: para pengeluar, para pekerja, prosesnya. Ia adalah satu pengalaman yang menyeluruh.

E: Apakah reaksi yang anda harapkan daripada para tetamu apabila mereka mencuba ciptaan ini?

G: Perkara yang paling menggembirakan ialah apabila seseorang berkata: “Anda mengubah persepsi saya.” Mungkin sebelum ini mereka tidak menyukai keju, tetapi selepas pengalaman ini mereka mula menghargainya. Jadi saya berharap kami dapat mengejutkan mereka, mencabar mereka dan membuat mereka lebih ingin tahu.

Macaron Forestier

E: Di mana anda melihat persamaan antara seni kulinari anda dan pembuatan jam?

G: Ada banyak persamaan antara haute cuisine dan horologi. Di dapur, setiap orang bekerja pada komponen tertentu. Kemudian semuanya digabungkan dengan ketepatan untuk menghasilkan satu hidangan yang sempurna. Sama seperti pembuatan jam. Dan untuk mencipta hidangan baharu memerlukan masa. Sama seperti jam tangan yang tidak boleh dihasilkan dalam sehari atau seminggu. Ia mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun. Sebab itu kita perlu menghormati proses tersebut.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down