Pada bulan Julai tahun tahun ini, FRED mempersembahkan barang kemas mewah terbaharunya di dalam kemegahan emas restoran legenda Maxim’s di Rue Royale dan saya berpeluang berada di Paris untuk menyaksikannya. Diselimuti pesona Belle Époque, Maxim’s terkenal dengan seni hiasan Art Nouveau, mahakarya seni bina dan mercu tanda budaya. Pemilihan lokasi ini menjadi simbol yang cukup bermakna. Terletak betul-betul di hadapan butik asal FRED di Rue Royale, restoran ini terjalin erat dalam sejarah rumah barang kemas tersebut. Ia pernah menjadi persinggahan tetap datuk dan bapa kepada Pengarah Artistik Valérie Samuel dan di sinilah pada tahun 1977 jenama ini pertama kali memperkenalkan koleksi Soleil d’Or.

Hampir setengah abad kemudian, FRED kembali ke lokasi bersejarah ini untuk mempersembahkan 19 ciptaan baharu yang memberi penghormatan kepada identiti unik dan semangat bebas FRED. Koleksi ini berkembang dalam dua bab: ‘1936’ dan ‘Soleil d’Or Sunrise'. Masing-masing mencerminkan keberanian, kebebasan, warna, cahaya dan garis mengalir yang menjadi nadi estetik FRED. Bagi Valérie, momen ini adalah benar-benar detik full circle. Kami berbicara dengannya.

Koleksi ‘Soleil d’Or Sunrise’ dipersembahkan dengan cara yang begitu puitis. Apakah emosi atau rasa yang ingin dibangkitkan kepada wanita yang memakainya?
Pertama sekali, saya berharap ia membawa kegembiraan. Kegembiraan untuk mengenakan rantai leher Soleil d’Or Sunrise dengan rasa penuh keyakinan. Di FRED, falsafah kami adalah menawarkan perhiasan mewah yang boleh dipakai setiap hari, yang menemani setiap detik hidup pemiliknya. Saya mahu ia memberi keseronokan dan membuat mereka berasa lebih cantik, daripada segi dalaman dan juga luaran.
Dua bab baru koleksi hari ini memiliki jiwa tersendiri: ‘1936’ lambang keanggunan yang halus dan ‘Soleil d’Or Sunrise’ penuh glamor, bermain dengan sinar cahaya.

Mengapa penting untuk meneroka dua ekspresi berbeza ini?
Pada saya, ia adalah untuk meraikan dan mengangkat kelahiran, warisan dan aura FRED. Dua bab yang tidak saling bersaing, tetapi saling melengkapi, masing-masing dengan kod dan identiti tersendiri.
‘1936’ memberi penghormatan kepada tahun kelahiran FRED, diinspirasikan oleh arked Rue Royale, seni bina gerbangnya dan pengaruh seni akhir 1930-an. Ia juga mengungkap kecintaan Fred Samuel terhadap batu permata berwarna: zamrud, delima, nilam dan berlian. Serta mutiara Akoya yang diperkenalkannya di Paris pada era 1930-an.
Bab kedua meraikan aura FRED, memberi penghormatan kepada intensiti dan sinar ‘Soleil d’Or’, berlian kuning ikonik seberat lebih 100 karat. Koleksi sembilan rekaan ini memancarkan cahaya, merakamkan dua momen hari: matahari terbit yang hangat bersama keemasan daripada berlian kuning, emas kuning dan emas putih. Yang kedua, saat cahaya di kemuncak, dilambangkan hanya dengan berlian putih yang mempesona.
Berlian ‘Soleil d’Or’ asal pernah diperkenalkan di Maxim’s. Apa ertinya kembali ke sini?
Ia penuh emosi. Berada di hadapan butik asal kami, di tempat saya memulakan kerjaya bersama datuk dan bapa. Rasanya begitu semula jadi untuk membawa koleksi ini kembali ke Maxim’s, lokasi bersejarah yang mereka kunjungi dan tempat kami mendedahkan ‘Soleil d’Or’ buat pertama kali pada 1977. Ia memang detik lingkaran penuh.

Koleksi original Soleil d’Or Sunrise menampilkan rekaan transformasi yang bergerak seiring dengan pemakainya. Mengapa kepelbagaian begitu penting bagi anda?
Kepelbagaian adalah inti DNA kami. Datuk saya membayangkan perhiasan yang mampu dipakai dari pagi hingga malam, mengiringi perjalanan hidup pemakainya. Sejak 1960-an, dia telah mereka bentuk ciptaan transformasi seperti bros yang boleh menjadi tiara, subang yang boleh dipakai dengan pelbagai cara.
Dalam ‘Soleil d’Or Sunrise’ misalnya, subang boleh dipakai dalam empat gaya berbeza. Ia tentang kebebasan, kreativiti dan keselesaan. Transformasi harus mudah; anda boleh menukar batu, tetapan atau gaya tanpa memerlukan alat.
Dari semua ciptaan ini, adakah satu yang paling bermakna?
Sukar untuk memilih! Setiap rekaan seperti anak saya sendiri. Tetapi jika perlu, saya akan memilih rantai leher ‘Soleil d’Or Sunrise’, kerana ia menangkap sepenuhnya ekspresi matahari. Daripada koleksi ‘1936’, pilihan saya ialah rantai leher zamrud dengan kod geometri murni Art Deco. Di bawah cahaya, batu zamrud di tengah kelihatan begitu tulen. Kadangkala, reka bentuk paling ringkas adalah yang paling sukar untuk dicipta.

Apa yang anda harapkan para pengunjung rasai selepas pembentangan ini?
Saya mahu mereka merasakan tenaga dan kegembiraan dalam cahaya FRED.
Dan matahari pun mula muncul sekarang setelah hujan dari pagi. Sempurna!
Ya, kami menunggu saat ini sepanjang hari!

