
Pada tahun 2026, FRED meraikan dua pencapaian penting: ulang tahun ke-60 gelang ikonik Force 10 serta ulang tahun ke-90 Maison ini. Diperkenalkan pada tahun 1966, rekaan yang menampilkan kabel marin dan pengunci tersendiri ini diinspirasikan daripada dunia pelayaran, dengan namanya diambil daripada Beaufort scale yang digunakan untuk mengukur kekuatan ribut di laut. Seiring waktu, Force 10 berkembang menjadi simbol kekuatan, cinta dan kebebasan.
Bagi memperingati detik ini, FRED memperkenalkan 17 rekaan High Jewelry baharu yang mentafsir semula kod Force 10 melalui ketukangan luar biasa, termasuk potongan eksklusif FRED Hero Cut. Tegas, moden dan penuh karakter, Force 10 kekal sebagai ikon dalam dunia barang kemas yang melangkaui trend semasa.
A Bold New Scale

Sejak diperkenalkan, Force 10 sentiasa menjadi simbol kekuatan karakter dan emosi si pemakai. Kini, ia tampil dalam versi lebih berani. Force 10 XL dihasilkan dalam emas putih atau emas kuning dengan pengunci bersaiz XL yang diserlahkan melalui tatahan berlian pavé.
Ia dipadankan dengan tiga kabel yang boleh ditukar ganti, memberi fleksibiliti gaya mengikut mood. Salah satunya menampilkan barisan berlian potongan brilliant dalam saiz ekstra besar, diperkenalkan buat pertama kalinya. Disusun satu persatu seperti alunan cahaya yang semakin memuncak, seiring dengan skala rekaannya yang dramatik. Sebagai imbangan, kabel kedua dalam keluli atau emas kuning mengimbau kembali estetika dua tona ikonik Force 10. Hasilnya? Sebuah rekaan rantai yang mudah beralih antara gaya sporty chic dan keanggunan mewah.
The New Hero

Dicipta pada tahun 2022 dan diperakui oleh Gemological Institute of America, FRED Hero Cut mencerminkan keberanian kreatif serta kepakaran ketukangan maison ini. Diinspirasikan daripada bentuk layar kapal dan perisainya, potongan eksklusif ini mempertingkatkan kilauan berlian dengan sinaran yang cukup luar biasa.
Koleksi FRED Force 10 Hero Cut menampilkan rantai jenis tali leher yang boleh diubah menjadi coker bersama pengunci interchangeable, cincin dan anting-anting tunggal. Set kedua pula menampilkan pengunci bersaiz besar yang sepenuhnya bertatahkan berlian pada rantai leher dan cincin gaya signet, masing-masing dihiasi sebutir berlian FRED Hero Cut. Direka sebagai koleksi genderless, rekaan ini turut dilengkapi sepasang anting-anting yang mengulangi siluet pengunci, serta stud dengan berlian FRED Hero Cut seberat 0.5 karat.
The Jazz Age

Mengambil inspirasi daripada semangat pembebasan era 1920-an – zaman yang dipengaruhi muzik jazz, gerakan dinamik dan kebebasan baharu – rekaan ini mentafsir semula pengunci ikonik Force 10 sebagai tassel yang mengalir dihiasi juntai berlian. Dipengaruhi gaya Art Deco, ia menekankan pergerakan dan keanjalan, selari dengan fesyen era tersebut yang memberi kebebasan kepada tubuh untuk bergerak. Dalam variasi High Jewelry yang ditawarkan dalam emas putih dan emas kuning, setiap helaian seolah-olah menangkap kilauan pesta era Roaring Twenties. Rantai dan helaian tassel dihiasi bar kecil bertatahkan berlian potongan brilliant, manakala sebutir berlian bulat di tengah pengunci pavé menambah lagi sinaran pada keseluruhan rekaan.
Alami sendiri keindahan rekaan terbaharu di butik FRED, SEIBU The Exchange TRX.

