Dalam dunia horologi, di mana ketepatan dan estetika bersatu, jam tangan lebih daripada sekadar pembaca waktu. Ia adalah simbol artistri dan kemewahan bagi sang pemakai. Aura bintang Bollywood, Disha Patani sebagai wajah kempen jam tangan Calvin Klein di India, benar-benar menyerlahkan visi yang cuba diketengahkan oleh jenama ini.
"Ia sentiasa suatu kepuasan dan penghormatan untuk bekerjasama dengan pasukan Calvin Klein," kata Disha Patani. "Sudah lama saya menjadi peminat tegar kepada jenama ini, seolah-olah sudah sebati dalam ingatan. Setiap produk mereka terasa begitu dekat di hati, dan jam tangan musim ini benar-benar memikat – berani namun lembut, menyuntik keanggunan pada setiap penampilan," tambahnya lagi.
Ini menandakan kempen kolaborasi kali kedua antara Disha Patani dan Calvin Klein. "Kami cukup berbangga meneruskan kerjasama dengannya untuk kempen jam tangan musim baru kami. Dia menyatu padukan fesyen kontemporari dengan kecantikan klasik secara effortless sekali," kata Caterina Miduri, Pengurus Besar Global, Jam Tangan dan Perhiasan Calvin Klein, Movado Group, Inc. "Energi dan keyakinannya memberi nafas segar kepada koleksi jam tangan Musim Luruh 2024, dan kehadirannya dalam kempen ini mencerminkan dengan sempurna keberanian dan sensualiti yang terkandung dalam setiap rekaan jam tangan Calvin Klein."
Gaya, Mutu dan Keunggulan
Menerusi kempen ini, Disha memperagakan jam tangan keluaran terbaru Calvin Klein yang berestetika moden. Jam tangan CK Pulse menampilkan casing berinspirasikan reka bentuk geometri yang sleek dan dial minimalistik sinar mentari, bersama tali bracelet mesh yang digarap untuk menyerlahkan siluet kontemporari yang distinktif. Jam tangan The Twisted Bezel pula dihiasi teliti perhiasan kristal, serta dial jam dalam rona hijau emerald mewah memberi kontras yang menawan. Manakala jam tangan The Gleam pula memancarkan keanggunan dengan dial matahari kelabu lembut yang minimalis, sementara tekstur tepi syiling yang berulang menghiasi bezel emas mawar, menyusuri dengan halus setiap pautan gelangnya yang diukir, seolah-olah melukis jejak keindahan yang abadi.
Sebagai tambahan kepada koleksi ini, jenama ini juga merakam kempen perhiasan yang menampilkan koleksi terbaru Musim Luruh 2024. Koleksi Geometric Essentials mempersembahkan kecantikan minimalis yang dipadukan dengan kilauan tinggi. Dengan reka bentuk ruang negatif yang memikat, gelang, anting-anting, dan cincin dalam koleksi ini menyajikan penampilan yang mudah namun penuh gaya. Koleksi CK Wavy pula mencipta perhiasan yang mengalir lembut, diinspirasi oleh gerakan alam semula jadi. Gaya-gaya dalam koleksi ini menyatu dengan kesederhanaan yang abadi, melengkapi setiap penampilan, dari musim ke musim.