Langgan

Underconsumption Core : Ajar Hidup Lebih Cermat, Tak Membazirkan Wang

'-Core' yang sudah dua tiga bulan tular di TikTok ini mungkin wajar diteruskan... kerana mengajar kita untuk hidup bersederhana.
3 minit untuk membaca
Published: September 24, 2024

Trend underconsumption core sudah lama bersebar luas. Tular di TikTok dari dua tiga bulan yang lalu dan diperbincangkan di kalangan pencinta-pencinta fesyen serta kecantikan hampir segenap dunia. Mengapa kami mahu bercakap lagi fasal underconsumption core? Kerana kami suka trend ini dan merasakan ia patut diteruskan!

consumption core
Daripada TikTok Dominique Jonae

Ingat lagi zaman pandemik empat tahun yang sudah, pernah tular sekejap fasal Cate Blanchett ‘ulang tayang’ pakaiannya ketika menghadiri Venice Film Festival dan BFI Film Festival – ketika itu, dia mengenakan rekaan Alexander McQueen dan usai acara tersebut, dia mendermakan dress itu untuk tujuan kebajikan. Jelas penata gaya peribadi Cate, Elizabeth Stewart, “It is chic to repeat.” 

Pujian dihamburkan kepada Cate kerana tidak malu mengulang tayang. Baginya, tiada kepantangan atau keharusan pun untuk sentiasa sarung pakaian baharu bilang kali adanya acara tertentu. Pakailah pakaian yang sama, sampai puas. Sampai rasa “dah cukup dah.” Sama juga dengan Simone Ashley baru-baru ini yang tidak segan memakai helaian arkib Prada musim bunga / panas 2011 ketika dia bertamu ke Minggu Fesyen Milan.

consumption core
Cate Blanchett ulang tayang Alexander McQueen di Venice Film Festival (sumber gambar daripada About Her)

Apakah hal-hal sebegini dipertimbangkan sebagai underconsumption atau kurang penggunaan? Ya. Kalau ikutkan, dari aspek konsepnya, ia sama. Trend ulang tayang atau guna semula pakaian untuk acara tertentu boleh dikategorikan sebagai underconsumption. Kerana ia umpama mencadangkan konsep ‘kurang penggunaan’ dan tidak perlu ‘berlebih-lebih’. Meminimumkan pilihan.

Menyambung bicara tentang underconsumption, di TikTok sudah tular semula -core baharu di kalangan anak-anak muda, yang mengetengahkan underconsumption core. Mereka mempengaruhi pengikut-pengikut dengan anjuran idea bahawa tiada salahnya kalau tidak berbelanja lebih, malah melunturkan idea shopping haul dan menyarankan jimat-cermatMereka tunjuk yang mereka tidak membeli apa-apa, sekadarkan pakai barang yang sama – contohnya baju yang sama, kasut yang sama, seluar yang sama, cuma bermain dengan konsep kerap tukar penataan gaya – dan hanya menggunakan produk-produk mekap yang memang sesedang-sedangnya digunakan.

consumption core
Daripada TikTok Dominique Jonae

Tidak, mereka bukan mahu membantah keras gaya hidup orang lain. Matlamat mereka adalah untuk menggalakkan gaya hidup berhemat-hemat. Dan ia bertunas ke rutin harian. Underconsumption core ini bersebar ke hal-hal seperti memandu kereta yang sama, masak makanan tengah hari atau makan malam sendiri di rumah dan seandainya mahu membabitkan diri dalam aktiviti-aktiviti tertentu pada hujung minggu pun, ia berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak perlu menghabiskan banyak wang. Hal yang ringkas bisa mempengaruhi cara kita berfikir : seperti, mengapa perlu kereta baharu sedangkan sudah ada kereta yang masih elok untuk dipandu dari poin A ke poin B? ; atau mengapa perlu ada kasut hitam yang baharu sedangkan kasut hitam yang sedia ada ini tapaknya masih belum haus lagi?

Di platform TikTok, pempengaruh seperti Dominique Jonae mendukung idea trend underconsumption core ini. Dia tidak malu menunjukkan gaya hidup serba sederhananya yang masih menggunakan produk mekap sama, masih memandu kereta lamanya dan memiliki hobi yang low cost. Jelas Dominique, tujuannya mendukung trend ini adalah mudah sahaja. Dia mahu menyampaikan mesej bahawa kitab oleh hidup gembira dan bahagia tanpa perlu membazir atau berbelanja lebih. 

consumption core
Daripada Instagram Dominique Jonae

Ramai yang menyatakan setuju kepada trend ini, kerana ia menghalakan mereka ke satu pandangan yang baharu dan segar. Minda mereka tidak lagi dibasuh oleh kandungan-kandungan yang sama sahaja. Ia malah mengajar mereka untuk declutter dan mengemaskini gaya hidup dengan mengurangkan penggunaan barang yang selama ini sama ada tidak pernah langsung digunakan atau tidak perlu pun digunakan. 

Namun, tidak kurang juga ada yang menyatakan pendapat sendiri tentang trend underconsumption core ini. Barangkali tidak senang dengan trend underconsumption core. Mereka menjelaskan bahawa trend ini hanyalah perkara normal seseorang manusia dan kurang bersetuju kerana menjadikan norma biasa dalam kehidupan sebagai trend. Tiada yang Istimewa pun tentang underconsumption core. 

Hmm. Pendapat anda pula bagaimana? Bagi kami, trend ini lebih condong kepada sesuatu yang positif. Maka, jika ia berunsurkan kepositifan, mengapa menegatifkan ia? 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down