Langgan

ELLE Malaysia Memperkenalkan Mimi Lana Sebagai Wajah Muka Depan Edisi Pertama

ELLE menghembus angin segar dengan kemunculan perdana edisi berbahasa Melayu menampilkan bintang masa kini, Mimi Lana.
3 minit untuk membaca
Published: August 30, 2024
Oleh Hafizan Mohd Fotografi Weeyang Dibantu Oleh Brandan Saviour Arahan Seni Iera Nadzlim Penyelaras Sarah Hani Jamil Penataan Gaya Ardi Idewani Dibantu Oleh Athirah Zahra Solekan Khir Khalid Dandanan Ckay Liow

Percaya bahawa setiap insan sudah tertulis jalan ceritanya, Mimi Lana mahu berlapang dada dan berdamai dengan takdirnya. Babak baru yang dia lalui hari ini hanya akan berbunga cerita-cerita yang segar. Jika tidak seharum mawar pasti tumbuhnya semekar Dandelion.

Sepertinya baru tapi sudah sedekad usia perjalanan Mimi Roziana Zainal Abidin atau Mimi Lana sebagai seorang anak seni. Jalan yang dititi tidak terburu dan diatur sebaiknya seperti apa yang dia mahu. Lakonannya jarang tidak memberikan kesan terutama sekali siri ‘Perempuan Itu’ yang menjadi penanda aras keyakinan penonton akan mutu lakonannya.

Sehingga yang terkini, filem ‘The Experts’ ditayangkan Mei lalu menjadi bukti bahawa Mimi Lana seorang pelakon yang serius dan komited tanpa mahu terikat dengan watak serupa sahaja. Tahun ini dengan barisan beberapa lagi projek yang bakal bersiar, Mimi meyakinkan kita semua bahawa dia aktres yang versatil.

Biar kadang terpalit kisah peribadi yang mungkin mencelakan sedikit jalan ceritanya namun itu dianggap sebagai satu warna dalam persembahan cerita hidup yang cukup asam dan garamnya. Mahu jalan terus dan berdamai dengan takdirnya Mimi Lana memulai kembali sebagai wanita yang lebih kuat, membuka hatinya untuk perjalanan panjang yang terus mendatang. 

Mimi menggayakan kot Sixtine dalam wool tweed, baju berona krim, skirt mini trapeze berona krim, cincin dan gelang tangan semuanya daripada CELINE by Hedi Slimane; subang telinga milik penata gaya.

ELLE bertuah memiliki gadis ini sebagai wajah pertama yang menghiasi muka depan kami. Tidak hanya hebat di depan kamera, Mimi juga punya cerita menarik dan dia mahu orang luar tahu siapa dirinya sebenar. Mempunyai aspirasi juga kekuatan dan tidak sekali menunjukkan kelelahan.

“Sudah menuju ke penghujung 2024, how has it treated you so far?” Soal saya membuka perbualan. “Saya percaya ini tahun yang baik untuk saya. ‘The Experts’ yang ditayangkan Mei lalu mendapat respons yang sangat positif dan ada satu lagi filem yang saya harap dapat ditayangkan tahun ini berjudul ‘Mencari Ramli’ arahan Megat Sharizal.”

“Kalau keluar daripada skop kerja, Mimi rasa it’s been a good year for you?” “Semuanya baik. Sepanjang tempoh sepuluh tahun saya bekerja sebagai seorang pemain industri, ini adalah tahun pertama yang saya ambil masa untuk berehat paling lama. Dua tiga bulan jugalah sebelum kembali bekerja.” Optimis dengan jalan cerita hidup baru yang akan dijalaninya, Mimi Lana membuka babak barunya bersama ELLE Malaysia.

Mimi menggayakan kot trapeze bercorak harimau bintang, subang telinga, cincin dan beg tangan Teen Garance semuanya daripada CELINE by Hedi Slimane

ELLE: Sudah sedekad berlakon apa yang membuatkan Mimi bertahan sejauh ini?

MIMI LANA: Passion. I work so hard untuk berada di tahap ini. Saya jenis kalau buat satu-satu benda akan bersungguh. Jadi, motivasi untuk saya meneruskan perjalanan panjang ini satu-satunya adalah sebab minat yang sudah dipupuk sejak awal terhadap seni lakon.

E: Tapi Mimi tak pernah bermimpi untuk menjadi pelakon kan?

M: Tak pernah tapi one thing about me, kalau saya dah start get involved, I will give the best that I can. Andai kata dulu saya ditakdirkan jadi pekerja kilang sekalipun saya akan pastikan saya menjadi pekerja terbaik yang ada di kilang itu.

E: Pernah give up?

M: Of course, pernah. Tapi saya rasa itu perkara biasa as a human being kita akan ada downtime. Tapi apa yang saya buat setiap kali datangnya downtime adalah untuk ambil masa berehat. To stop is not an option. Dalam fasa berehat itu juga saya akan cuba untuk clear my mind and start over.

E: Dan sejauh ini how would you describe the journey?

M: Perjalanan yang membuatkan saya matang dan bertumbuh sebagai seorang pelakon. Sejujurnya saya tak sangka akan berada di tahap sekarang yang mana orang dalam industri sangat percaya dengan kemampuan yang saya ada. Especially macam sekarang, banyak tawaran berlakon filem yang saya dapat berbanding dulu, tawaran yang datang hanya drama TV sahaja. Nak dapatkan kepercayaan orang ambil kita berlakon filem bukan senang saya rasa tapi Alhamdulillah sepanjang 10 tahun ini saya nampak fasa peralihan yang baik dalam karier.

E: Untuk 10 tahun akan datang Mimi masih mahu berlakon?

M: Yes, of course I will. Saya tak pernah nampak diri saya untuk berhenti berlakon. Meskipun orang cakap kalau jadi selebriti di Malaysia perempuan khususnya bila sampai a certain level or age akan ada semacam tarikh luput. Tapi hopefully for me, saya takkan ada rasa mahu berhenti. Selagi boleh saya akan terus berlakon sebab banyak lagi yang saya belum achieve.

E: Can we talk about Syafiq now?

M: (Ketawa) Ok je, boleh.

*Ketahui cerita penuh Mimi Lana menerusi isu September majalah ELLE di pasaran.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down