Langgan

Syabas Zarra Zhaff! Dari Watak Pembantu ke Pengiktirafan Industri

Perjalanan Zarra Zhaff dalam dunia lakonan sehingga meraih pengiktirafan Pelakon Pembantu Terbaik.
2 minit untuk membaca
Published: November 23, 2026

Pengiktirafan tidak semestinya hadir selepas bertahun-tahun membina nama. Bagi pelakon muda seperti Zarra Zhaff, peluang membawakan watak Puteh dalam filem Khadam menjadi titik penting yang mengubah perjalanan seninya. Pada usia 14 tahun, Zarra berjaya meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), menewaskan barisan pelakon berpengalaman seperti Sofia Jane, Sara Ali, Pearly Chua dan Azira Shafinaz.

Cilik Berbakat

Di awal kariernya Zarra Zhaff berjaya menjadi antara 10 finalis terbaik dalam kategori Pengacara Cilik. Langkahnya diteruskan dengan The Lord Musang King pada 2023 serta filem pecah panggung Blood Brothers. Penglibatannya juga terlihat selaku kemunculan khas di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi persembahan Koi. Zarra atau nama sebenarnya Ezarra Nurzhaffira terus mengukuhkan kedudukannya sebagai bakat muda menerusi penglibatan dalam filem bergenre seram, Khadam. Malah turut mencatat kejayaan besar apabila membawa pulang 10 trofi di FFM35, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Gambar Instagram @zarra.zhaff

Menerusi Khadam, Zarra menghidupkan watak Puteh, seorang kanak-kanak bisu yang memerlukan penghayatan mendalam tanpa bergantung pada dialog. Zarra membuktikan bahawa kekuatan lakonan tidak semestinya terletak pada pertuturan, tetapi bergantung pada ekspresi wajah, bahasa tubuh dan penyampaian emosi. Keupayaannya menghidupkan karakter Puteh dengan penuh penghayatan menjadikan watak tersebut antara elemen yang menguatkan suasana seram dan keseluruhan penceritaan filem berkenaan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Zarra merupakan antara bakat muda yang wajar diberikan perhatian dalam industri perfileman tempatan.

Pengiktirafan yang Tidak Dijangka

"Saya sangat gembira kerana dapat membuka mata juri bahawa populariti bukan kunci kemenangan," ujar Zarra dalam sebuah temu bual. Memperlihatkan perspektifnya terhadap dunia lakonan, khususnya kepentingan bakat dan kemampuan dalam menghidupkan sesebuah karakter berbanding populariti semata-mata. Lebih menarik, Zarra turut berkongsi layar bersama adiknya, Karl' El, yang memegang watak Hitam dalam Khadam. Keserasian dua beradik itu berjaya mewujudkan dinamik lakonan yang tersendiri, sekali gus memberikan dimensi tambahan kepada penceritaan filem berkenaan. Pengiktirafan di FFM35 ini juga menjadi trofi pertama yang berjaya digenggamnya sepanjang perjalanan dalam dunia lakonan.

Gambar Instagram @zarra.zhaff

Kemenangan Zarra turut membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan memberikan peluang dan pengiktirafan kepada bakat muda dalam industri perfileman tempatan. Keupayaan seorang pelakon tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia atau pengalaman semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesungguhan dan kemampuan mereka meneroka karakter yang mencabar. Kehadiran pelakon muda seperti Zarra memperlihatkan potensi generasi baharu yang berani mencuba, belajar dan membina identiti tersendiri. Malah, pencapaiannya boleh menjadi inspirasi kepada kanak-kanak lain yang turut menyimpan impian untuk menceburi bidang lakonan.

Di Sebalik Kejayaan, Ada Impian Lebih Besar

Walaupun kejayaan menerusi Khadam menjadi pencapaian besar, Zarra melihat perjalanan seninya masih panjang untuk diterokai. Dalam sebuah temu bual, dia turut menyatakan hasrat untuk mencuba genre aksi selepas mempunyai pengalaman dalam karya seram dan drama. Menariknya, pengalaman berdepan kejadian mistik sepanjang penggambaran juga tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan memberikan komitmen profesional terhadap setiap watak yang dibawakan. Siapa sangka, pelakon cilik ini mampu melakar pencapaian sedemikian pada usia muda, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara bakat yang wajar diperhatikan dalam perkembangan industri hiburan tempatan.

Gambar Instagram @zarra.zhaff

Daripada membawakan watak di hadapan kamera hingga berdiri di pentas menerima pengiktirafan industri, perjalanan Zarra Zhaff menjadi bukti bahawa setiap peluang mempunyai nilai tersendiri. Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bukanlah noktah kepada perjalanan seninya, sebaliknya permulaan kepada lebih banyak karakter, cabaran dan pengalaman yang bakal membentuk dirinya sebagai pelakon pada masa hadapan.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down