Menyedari hakikat bahawa kecerdasan buatan (AI) semakin menguasai industri fesyen, perkembangan ini mencetuskan persoalan tentang nilai sentimental serta keaslian sesebuah karya. Dalam arus pemodenan yang semakin pantas, jenama fesyen global Prada tampil dengan pendekatan berbeza menerusi kempen 'Holiday 2026' yang mengangkat keindahan ilustrasi lukisan tangan.
Dibintangi pelakon seperti Sadie Sink, Chen Haoyu, Luther Ford, Kelvin Harrison Jr. dan Maya Hawke sebagai wajah kempen. Kempen ini seolah-olah mengangkat sentuhan manusia dan nilai seni masih mempunyai tempat tersendiri. Ketika jenama lain memanfaatkan AI untuk menghasilkan visual kempen, model digital dan konsep kreatif, Prada memilih untuk menghidupkan kembali magis seni manual sebagai medium penceritaan.

Insan Di Sebalik Pemeliharaan Seni Prada
Mengangkat tema 'Drawing Prada: Animated by Hand', kempen ini memperlihatkan bagaimana seni lukisan tangan mampu mencipta sebuah dunia fantasi yang cukup mengagumkan. Di bawah arahan animator legenda John Pomeroy, setiap karakter dan latar animasi dihasilkan menerusi teknik lukisan tradisional menggunakan pensel dan kertas daripada fasa awal produksi.
Berpengalaman lebih lima dekad dalam industri animasi sinematik, Pomeroy bersama pasukan artisnya berjaya menghidupkan dunia imaginasi yang menggabungkan karakter manusia, haiwan fantasi serta persekitaran musim sejuk. Setiap ilustrasi bukan sekadar menjadi latar visual malah membawa penceritaan tersendiri yang memberikan identiti kepada keseluruhan kempen.

Tidak ketinggalan, sentuhan jurugambar dan pengarah kempen ini, Glen Luchford turut memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini. Setiap babak fotografi dirancang dengan teliti menerusi pencahayaan dan perspektif yang diselaraskan dengan ilustrasi lukisan tangan, sekali gus mewujudkan keharmonian antara dunia sebenar dan animasi.
Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan visual yang seolah-olah membawa penonton memasuki sebuah buku cerita dongeng klasik. Mengambil inspirasi daripada pesona Hollywood lama dan kisah dongeng turun-temurun, kempen ini mengangkat emosi, pengalaman serta imaginasi manusia sebagai asas kepada penceritaannya. Menjadikan kempen ini berkebolehan menarik penonton daripada semua lapisan umur.
Di Sebalik Pemasaran, Ada Seni dan Penceritaan
Bagi Prada, setiap wajah yang membintangi kempen ini menjadi sebahagian daripada sebuah naratif visual yang berbeza. Kreativiti ilustrasi dan animasi membawa penonton merentasi dunia fantasi yang dipenuhi karakter haiwan serta persekitaran imaginatif.
Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana Prada menggabungkan dua medium seni iaitu fesyen dan animasi bagi menghasilkan pengalaman visual yang lebih menyeluruh. Tidak sekadar mempamerkan koleksi, kempen ini turut membina hubungan antara karakter, suasana dan penceritaan yang menjadikan setiap babak lebih bermakna.

Bersempena koleksi 'Holiday 2026', Prada turut menggabungkan elemen fesyen musim dingin dengan latar fantasi yang menjadi identiti utama kempen. Daripada technical outerwear, knitwear berwarna-warni dan aksesori ikonik menampilkan koleksi ini dalam persekitaran ilustrasi yang penuh karakter.
Kehadiran haiwan-haiwan animasi yang berinteraksi dengan koleksi Prada memberikan dimensi baharu kepada cara fesyen dipersembahkan. Di sini, pakaian bukan sekadar menjadi subjek fotografi, sebaliknya sebahagian daripada sebuah penceritaan yang menggabungkan imaginasi, karakter dan estetika visual. Inilah nilai craftsmanship yang cuba diketengahkan Prada. Keindahan sesebuah karya bukan hanya terletak pada hasil akhir tetapi juga perjalanan kreatif yang membentuknya.
Masa Depan Fesyen Dalam Dunia AI
Beralih daripada pentas antarabangsa, Malaysia juga mempunyai bakat kreatif yang masih mengangkat seni ilustrasi sebagai sebahagian daripada identiti jenama. Antaranya menerusi kolaborasi UNIQLO bersama studio ilustrasi tempatan Bunga dan Bintang, diasaskan oleh ilustrator Kirin Sharom.

Menerusi koleksi yang mengetengahkan elemen makanan dan budaya tempatan, ilustrasi lukisan tangan diterjemahkan ke dalam rekaan pakaian serta aksesori harian. Ilustrasi ikonik ini diterjemahkan kepada rekaan pakaian. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana ilustrasi bukan sekadar elemen dekoratif, malah mampu menjadi medium untuk menyampaikan identiti dan cerita sesebuah jenama.
Namun begitu, persoalannya adalah sejauh manakah pendekatan seni ini terus diberikan ruang dalam pasaran tempatan? Dalam landskap pemasaran yang semakin kompetitif, penghasilan visual secara pantas mungkin menjadi keutamaan. Sedangkan, kerjasama bersama ilustrator dan artis tempatan mampu memberikan nilai tambah dari sudut keaslian, identiti serta penghargaan terhadap bakat kreatif. Seni lukis tangan bukanlah pendekatan yang ketinggalan zaman, sebaliknya sebuah kemahiran yang wajar terus dipelihara dan diberikan pengiktirafan.
Akhirnya, pendekatan Prada menerusi kempen Holiday 2026 membuka ruang untuk kita melihat semula hubungan antara teknologi dan kreativiti manusia. AI sememangnya menawarkan kemudahan serta mempercepatkan proses penghasilan kandungan, namun imaginasi, perspektif dan sentuhan manusia tetap mempunyai nilai tersendiri.
Keberanian Prada mengangkat animasi tradisional sebagai nadi utama kempen ini membuktikan bahawa seni konvensional masih mampu berdiri seiring dengan perkembangan teknologi moden. Andai nilai dan kemahiran ini tidak terus dipelihara, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada keunikan yang menjadikan setiap karya begitu istimewa. Kerana pada akhirnya, bukan sekadar hasil yang ingin kita nikmati tetapi juga cerita, usaha dan jiwa yang terkandung di sebaliknya.

