
Pada bulan Mac yang lalu di kota Milan, saya berpeluang menyaksikan pertunjukan Prada Musim Luruh/Dingin 2025 di ibu pejabat jenama itu sendiri, Fondazione Prada. Ruang pertunjukan kali ini benar-benar unik: direka dengan tiga tingkat bagaikan sebuah teater bergerak, para model berjalan dari tingkat teratas hingga ke bawah, mencipta ilusi pergerakan dan kesinambungan yang seiring dengan aliran koleksi tersebut.

Namun di sebalik konsep pentas peragaan itu, satu rekaan benar-benar menarik perhatian. Sebuah dress yang merangkumkan kehebatan Prada dalam menggabungkan sejarah dan kemodenan. Dress ini mengambil inspirasi daripada bentuk-bentuk klasik tahun 1950-an. Pinggang ramping serta lengkung lembut dan potongan dada yang terbentuk melalui lipatan halus tetapi diolah semula dengan sentuhan yang cukup moden.
Diperbuat daripada kain bulu Shetland kelabu, fabrik yang hangat dan bertekstur, dress ini kelihatan ringkas pada pandangan pertama. Namun setiap perinciannya menyembunyikan berjam-jam kerja tangan yang teliti.

Proses pembuatannya bermula dengan penyempurnaan corak: melaras garis, membentuk siluet dan menguji cara fabrik jatuh serta bergerak. Setelah sempurna, tukang jahit Prada memulakan proses pemotongan dan jahitan. Di sinilah lipatan dan dart ditambah untuk membentuk tubuh. Lipatan ini bukan biasa-biasa. Ia dihasilkan dengan melapiskan fabrik kontras dan disiapkan dengan jahitan zig zag yang memberikan sentuhan buatan tangan yang raw namun artistik.

Untuk menghasilkan tekstur uniknya, tepi fabrik dipotong dan digeripkan secara manual kemudian diberus bagi mencipta permukaan yang sedikit kasar dan kelihatan lusuh. Sesuatu yang Prada gelar sebagai savage finish. Ketidaksempurnaan yang disengajakan ini menjadikan dress tersebut terasa “hidup”.
Seterusnya, dress ini ditekan dan dibentuk dengan ketelitian, memastikan setiap lengkung dan lipatan bergerak seiring dengan tubuh pemakainya. Sentuhan terakhir? Dua lubang butang di bahagian hadapan yang menahan reben dua tona diikat menjadi bow yang cukup feminin. Secara keseluruhan, gaun ini mengambil masa lebih daripada 24 jam untuk disiapkan, termasuk 10 jam bagi proses pemasangan dan tiga jam hanya untuk kemasan tekstur buatan tangan.


