Selama 27 tahun, Prada di pusat beli belah mewah Paragon telah menjadi antara butik yang cukup dikenali dalam landskap fesyen Singapura. Lokasinya di Orchard Road menjadikannya salah satu alamat yang sering menjadi persinggahan bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia fesyen. Atas sebab itu, kunjungan saya ke Singapura untuk menyaksikan pembukaan semula Prada Paragon terasa menarik. Saya pernah mengenali butik ini sebagai salah satu destinasi Prada di rantau ini tetapi kali ini saya melihatnya selepas melalui transformasi yang cukup ketara.
Dibuka buat pertama kali pada tahun 1999, butik ini kini melalui naik taraf dengan keluasan lebih 1,200 meter persegi merentasi dua tingkat. Perluasan ini memperkenalkan tingkat atas buat pertama kalinya, sekali gus mewujudkan pengalaman yang lebih luas dan menyeluruh untuk koleksi wanita dan lelaki Prada daripada pakaian sedia pakai dan barangan kulit, hinggalah kasut, aksesori serta koleksi barang kemas Prada.
Sebaik sahaja melangkah masuk, perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah rona mint green yang begitu dominan. Warna ini memberikan karakter yang kuat kepada keseluruhan ruang, namun tidak terasa berlebihan. Sebaliknya, ia menjadikan butik ini terasa segar, kontemporari dan unmistakably Prada.
Bahasa seni bina Prada juga begitu jelas diterjemahkan di setiap sudut. Di tingkat bawah, lantai marmar berpetak hitam dan putih membawa kita kembali kepada warisan rumah fesyen ini, diinspirasikan daripada butik asal Prada di Galleria Vittorio Emanuele II di Milan.
Di tingkat atas pula, suasananya terasa lebih lembut dan intim. Permaidani berpetak rona beige lembut digabungkan dengan dinding baldu hijau, mencipta suasana yang lebih tenang dan eksklusif. Empat bilik peribadi yang diperkenalkan di tingkat ini menjadi antara ciri yang paling menarik. Ia direka khusus untuk pengalaman pelanggan yang lebih personal, termasuk ruang untuk meneroka pilihan eksklusif seperti koleksi barang kemas mewah Prada. Dari ruang ini, pelanggan turut dapat menikmati pemandangan panoramik ke seluruh butik.
Dan tentu sekali, pembukaan semula ini tidak lengkap tanpa sambutan yang sepadan dengan status Prada Paragon sebagai salah satu alamat fesyen ikonik di Singapura. Lebih 300 tetamu daripada dunia fesyen dan hiburan hadir untuk meraikan detik istimewa ini. Antara yang paling mencuri perhatian ialah Prada Ambassador Karina dan Hwang In-Youp dari Korea Selatan, yang turut meluangkan masa menjelajah ruang baharu butik serta beramah mesra dengan para tetamu.
Dari Singapura, kehadiran Raisa Andriana dan Tatjana Saphira turut menambahkan lagi kemeriahan acara, sementara dari Malaysia, kita berbangga melihat figura fesyen yang semakin menyerlah, Meerqeen, turut menjadi antara tetamu yang hadir.

