Dari Los Angeles ke Shanghai, koleksi Cruise tahun ini menjadikan bandar-bandar ikonik dan mercu tanda kebudayaan sebagai pentas bagi permulaan baharu yang berani dalam dunia fesyen, sambil menyatukan warisan dengan tenaga kreatif yang segar.
Chanel

Jangan mengharapkan fenomena Chanelmania ini akan reda dalam masa terdekat. Matthieu Blazy mempersembahkan koleksi Cruise pertamanya untuk Chanel di Biarritz, di hadapan barisan tetamu yang merangkumi Nicole Kidman, A$AP Rocky, Michaela Coel dan Tilda Swinton. Pekan tepi laut ini mempunyai makna yang istimewa kerana di sinilah Gabrielle Chanel melancarkan rumah couture miliknya pada tahun 1915. Biarritz juga mempunyai makna peribadi buat Matthieu sendiri kerana dia sering mengunjungi tempat itu setiap tahun sewaktu kecil.


Koleksi ini menggabungkan identiti kreatif Matthieu yang pantas tular dengan kemahiran pertukangan yang sempurna, di samping menampilkan estetika santai yang diinspirasikan oleh suasana pantai. “Rekaan ini ditujukan kepada wanita yang aktif bergerak, berjalan, berlari, berenang dan bergerak bebas,” katanya. Antara rekaan yang menyerlah termasuk gaun berinspirasikan ikan duyung yang disulam dengan paillette berkilauan, skirt rafia bersaiz besar dan pakaian renang berjalur yang ceria, kesemuanya menampilkan perincian yang teliti. Sementara itu, beg tote bersaiz maksimum dan kasut berkilauan pastinya akan terus memanjangkan barisan pelanggan.
Louis Vuitton

Pertunjukan koleksi Cruise Nicolas Ghesquière menyerlah menerusi keberaniannya menampilkan elemen yang bercanggah. Berlatarkan era Gilded Age di Frick Collection, Manhattan, koleksi ini mengisahkan tentang dua sisi kota New York, disaksikan barisan hadapan termasuk Emma Stone, Zendaya, Cate Blanchett, Emily Blunt, Alicia Vikander, Hoyeon dan Anne Hathaway. “Sebagai orang luar, terdapat dualiti tersendiri tentang New York,” ujar Nicolas. “Pertentangan antara kawasan Downtown dan Uptown.”


Terinspirasi oleh muzium di Upper East Side, beg tangan mengambil ilham daripada bentuk tiang, manakala busana beralun dengan perincian ropol. Di sisi yang berbeza, denim, jaket kulit gaya penunggang motosikal dan helaian tailored berwarna-warni era tahun 1980-an menzahirkan penghormatan terhadap ‘casual sophistication' yang sinonim dengan Downtown, New York. Seni grafik Keith Haring pula menghiasi jaket dan blaus sutera origami, sementara sentuhan budaya pop yang lain turut diterjemahkan menerusi beg malam berbentuk kotak pembungkusan makanan dan piring hitam vinil.
Gucci

Disebalik cahaya neon Times Square, Demna mempersembahkan koleksi Cruise pertamanya di hadapan Mariah Carey, Kim Kardashian dan Lindsay Lohan. Pusat Manhattan yang sentiasa bergerak pantas ini ditransformasikan menjadi pentas peragaan dengan papan iklan digital gergasi yang memaparkan produk berjenama Gucci, termasuk beberapa rekaan yang tidak pernah wujud. “Membawa pertunjukan ini ke New York terasa seperti detik kepulangan buat jenama ini,” ujar Demna.


Seperti yang dijangka, Demna menterjemahkannya dengan caranya yang tersendiri menerusi ciri tipikal Big Apple, daripada jurubank Wall Street dengan jalur pinstripe bersama beg galas double-GG hinggalah ke pencinta logo menerusi skirt pensel monogram berkilat. Dinamakan GucciCore, koleksi ini tampil berani dengan daya tarikan yang cukup menggoda. Menurut Demna, koleksi kekal Gucci yang terbaharu ini berteraskan ‘helaian praktikal’. Ia bukanlah pendekatan klasik terhadap helaian asas almari pakaian. Namun, jika anda ingin mencabar estetika quiet luxury dengan berani, Gucci era baharu ini adalah untuk anda.
Dior

Lights, camera, Dior! Dengan latar seni bina konkrit di Los Angeles County Museum of Art, Jonathan Anderson mempersembahkan pertunjukan koleksi Cruise sulungnya di hadapan barisan tetamu ternama termasuk Mikey Madison, Anya Taylor-Joy, Greta Lee, Miley Cyrus, Sabrina Carpenter dan Jisoo. Pada tahun 1955, Christian Dior pernah menerima pencalonan Oscar bagi kategori reka bentuk kostum, selain menggayakan figura ikonik termasuk Marilyn Monroe dan Marlene Dietrich. “Dia memahami betapa pentingnya idea tentang ‘sebuah impian’,” ujar Jonathan.


Semangat idealisme yang sama turut mewarnai pertunjukan ini, meneroka kod ikonik rumah fesyen Dior dengan penuh kebebasan, sementara jaket Bar yang dikoyak dan seluar jean distressed dipaut bersama dengan rantai. Antara yang ditampilkan termasuk cermin mata hitam berhias labuci, beg Saddle bercetak akhbar yang dihidupkan semula daripada gaya Carrie Bradshaw, serta kemeja rekaan artis pop Ed Ruscha. Dengan pelbagai kemungkinan yang ditawarkan, Dior di bawah sentuhan Jonathan kini menggapai bintang.
Artikel asal diterjemah daripada ELLE UK oleh Avril Mair

