Langgan

Tujuh Syarat, Satu Cinta yang Mustahil: Puteri Gunung Ledang The Musical Kembali

Daripada kisah cinta tragis hingga magis persembahan pentas, legenda Melayu ini kembali menghidupkan kisah klasiknya dengan nafas dan interpretasi baharu yang lebih segar.
3 minit untuk membaca
Published: October 29, 2026
Gambar : Instagram @pglthemusical

Ada kisah cinta yang tidak pernah benar-benar berakhir. Hampir dua dekad selepas memikat penonton, Puteri Gunung Ledang The Musical kembali menghidupkan salah satu legenda paling ikonik dalam budaya Melayu. Kali ini, kisah tentang cinta, kuasa dan pengorbanan dibawa semula ke pentas menerusi produksi baharu yang menggabungkan muzik, koreografi dan suasana istana yang penuh dramatik.

Dari 31 Oktober hingga 15 November 2026, The Grand Theatre di Sunway Square bakal menjadi pentas bagi menghidupkan semula legenda ini. Jika anda sedang mencari pengalaman budaya yang melangkaui kunjungan ke galeri atau pameran seni, berikut ialah beberapa sebab mengapa pementasan ini wajar berada dalam radar anda.

Kisah Cinta Yang Jauh Daripada Pengakhiran Bahagia

Lupakan kisah dongeng yang menjanjikan cinta dan pengakhiran sempurna. Di sebalik lagenda Puteri Gunung Ledang, terdapat kisah tentang dua hati yang terperangkap antara perasaan dan tanggungjawab. 

Gusti Puteri Retno Dumilah dan Hang Tuah menjadi pusat kepada percintaan yang berdepan pelbagai halangan. Namun, hasrat Sultan Mahmud Shah untuk memperisterikan sang puteri mencetuskan konflik yang mengubah segalanya. Permintaan tujuh syarat yang ikonik dalam lagenda ini turut menjadi sebahagian daripada kisah yang sarat dengan simbolisme. Inilah yang menjadikan cerita tersebut terus relevan. Kadangkala, cinta bukan tentang mendapatkan apa yang diinginkan, tetapi tentang perkara yang sanggup dikorbankan.

Wajah Baharu, Legenda yang Sama

Gambar : Instagram @pglthemusical

Untuk kebangkitan semula kali ini, Aisha Retno dan Mila Mohsin bergilir membawa watak Gusti Puteri Retno Dumilah, manakala Aqasha memegang watak Hang Tuah dan Luqman Hafidz sebagai Sultan Mahmud. Mimi Fly dan Nadia Aqilah pula berkongsi watak Bayan.

Barisan pelakon ini memberikan tarikan tersendiri kepada produksi 2026, khususnya bagi penonton yang ingin melihat bagaimana watak-watak lagenda tersebut diterjemahkan oleh generasi penghibur hari ini. Persoalannya, bagaimana setiap pelakon akan memberikan identiti tersendiri kepada watak yang sudah begitu dekat dengan imaginasi penonton Malaysia? Itulah antara perkara yang menjadikan persembahan langsung menarik, setiap interpretasi membawa nuansa yang berbeza.

Muzik, Koreografi dan Magis di Sebalik Tirai

Sebuah muzikal bukan sekadar cerita yang disampaikan melalui dialog. Muzik, pergerakan, pencahayaan dan kostum memainkan peranan penting dalam membina emosi dan membawa penonton ke dunia yang berbeza. 

Gambar : Instagram @behati.my

Dengan skor muzik oleh Dick Lee dan elemen gamelan yang menjadi sebahagian daripada identiti produksi ini, Puteri Gunung Ledang The Musical menggabungkan pengaruh muzik dengan penceritaan lagenda Melayu. 

Bayangkan suasana istana yang dramatik, gerakan berkumpulan yang menghidupkan babak dan muzik yang mengiringi detik-detik penting dalam cerita. Gabungan elemen inilah yang menjadikan teater muzikal pengalaman yang berbeza daripada menonton filem di skrin.

Warisan Melayu Dengan Sentuhan Kontemporari

Lagenda Puteri Gunung Ledang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya popular Malaysia. Namun, membawanya kembali ke pentas memberikan peluang untuk melihat kisah ini melalui perspektif yang berbeza. Di bawah arahan Tiara Jacquelina, produksi ini meneruskan legasi sebuah karya yang menggabungkan penceritaan tempatan dengan skala persembahan muzikal. 

Gambar : Instagram @behati.my

Hasilnya, sebuah kisah klasik mendapat ruang untuk dikenali semula oleh penonton yang mungkin belum pernah menyaksikannya secara langsung. Bagi peminat teater, ini peluang untuk menghayati karya ikonik dalam bentuk persembahan langsung. Bagi generasi baharu pula, ia menjadi pintu masuk untuk mengenali lagenda Melayu tanpa perlu bergantung pada buku sejarah semata-mata.

Apa yang Perlu Anda Tahu Tentang Pementasan Ini

Puteri Gunung Ledang The Musical berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square. Persembahan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, dengan tempoh sekitar 145 minit. Harga tiket yang disenaraikan bermula daripada RM98, bergantung pada kategori tempat duduk. Memandangkan tiket dilaporkan habis dijual tidak lama selepas jualan umum dibuka, pastikan anda mengikuti saluran rasmi penganjur untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai tiket dan pengumuman lanjut.

Sebuah Lagenda Yang Masih Memiliki Magisnya

Ada sebab mengapa sesetengah cerita terus diceritakan merentas generasi. Di sebalik kisah cinta dan konflik istana, Puteri Gunung Ledang mengangkat persoalan yang matig relevan dengan kehidupan hari ini. Antaranya termasuklah pilihan yang sukar, kesetiaan dan harga sebuah pengorbanan. Kali ini, lagenda tersebut kembali bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dialami semula melalui muzik dan persembahan langsung. Dan mungkin itulah daya tarikannya yang paling besar, walaupun kita sudah mengetahui kisahnya, ada sesuatu yang berbeza apabila menyaksikannya hidup di hadapan mata.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down