Langgan

Di Sebalik Seni Palet Edisi Terhad Koleksi Hujung Tahun 2026 Hourglass Cosmetics

Dekati koleksi edisi terhad Hourglass bersempena hujung tahun 2026 hasil kolaborasi bersama Lauren Rubinski, Pereka Barang Kemas Perancis
3 minit untuk membaca
Published: October 26, 2026

Peminat kecantikan pastinya sudah mengetahui pelancaran koleksi edisi terhad Hourglass sempena musim percutian hujung tahun 2026. Tahun ini, jenama kecantikan tersebut bergandingan dengan pereka barang kemas kelahiran Perancis, Lauren Rubinski, untuk memberikan sentuhan istimewa pada koleksi ikonik Ambient Lighting Edit Palette.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, palet ini kembali menjadi sebahagian daripada koleksi percutian Hourglass, kali ini menampilkan motif ikonik Lauren yang diterjemahkan kepada empat rekaan eksklusif untuk dikumpul. Diberi nama Wish, Hope, Luck dan Love, setiap palet menampilkan gabungan rona tersendiri yang dihasilkan menerusi teknik miscelare, teknik bancuhan serbuk yang menjadi antara keistimewaan Hourglass. Ikuti temu bual eksklusif bersama Lauren Rubinski tentang inspirasi palet rekaannya.

Hourglass

1) Bagaimanakah anda menggambarkan hubungan anda dengan barang kemas sejak kecil?

Barang kemas sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Saya membesar dikelilingi barang kemas dan sejak dahulu, ia mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga serta kenangan. Ayah saya gemar menghadiahkan barang kemas kepada ibu, dan saya masih ingat bagaimana saya mengagumi setiap rekaan indah yang dipilihnya untuk ibu. Nenek saya juga sangat meminati barang kemas. Pada tahun 1980-an, dia mula mendapatkan batu permata dari India dan memadankannya dengan rekaan yang dihasilkan di Itali, sesuatu yang sangat jarang dilakukan pada ketika itu.

Apabila mengenang kembali zaman tersebut, saya menyedari bahawa barang kemas bukan sekadar sesuatu yang kami sarungkan. Ia merupakan sebahagian daripada budaya keluarga kami. Setiap satu membawa cerita, kenangan atau emosi tersendiri. Mungkin di situlah bermulanya keterujaan mendalam saya terhadap barang kemas.

2) Anda masih ingat barang kemas pertama yang anda pernah rekakan?

Ya, ia adalah diamond horn pendant yang saya reka pada tahun 2008. Itu merupakan antara pengalaman pertama saya menterjemahkan sebuah idea menjadi rekaan barang kemas yang nyata. Rekaan tersebut telah menjadi asas kepada jenama saya, Pristine.

3) Apa yang menarik minat anda untuk bekerjasama dengan Hourglass?

Peluang untuk mendekati sebuah produk kecantikan dengan cara yang sama seperti saya menghasilkan barang kemas. Saya tidak mahu palet ini kelihatan seperti sesuatu yang bersifat sementara atau sekadar hiasan. Sebaliknya, saya mahu ia menjadi sebuah objek yang ingin disimpan, dipamerkan, dihadiahkan malah dikumpul. Sebagai seorang pengumpul, saya mahu palet ini mempunyai nilai emosi yang melangkaui fungsinya semata-mata.

Perkara yang paling menarik minat saya tentang kolaborasi ini ialah kontras antara kedua-duanya, mengambil sesuatu yang sifatnya sementara seperti solekan, lalu mendekatinya dengan nilai emosi dan simbolik yang sama seperti barang kemas. Saya mahu melihat palet ini bukan sekadar sebagai produk solekan, tetapi sebagai sebuah objek yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Sesuatu yang boleh disentuh, dikumpul dan menyimpan nilai sentimental, yang ingin sentiasa dekat dengan diri kita, seperti seutas barang kemas atau personal lucky charm (eksklusif untuk pasaran Timur Tengah). Pada saya, solekan dan barang kemas sebenarnya berkongsi bahasa yang sama. Kedua-duanya membolehkan seseorang membentuk identiti, mencipta ritual tersendiri dan menzahirkan sesuatu yang sangat peribadi, sama ada secara lantang mahupun halus.

4) Apakah hubungan anda dengan solekan? Adakah anda melihatnya sebagai satu bentuk ekspresi diri?

Barang kemas sentiasa menjadi medium ekspresi diri yang paling semula jadi bagi saya. Ia terasa kekal dan intim, seolah-olah menjadi lapisan kulit kedua, selain menyimpan kenangan dengan cara yang sangat peribadi. Solekan pula memainkan peranan yang sedikit berbeza dalam kehidupan saya. Kesannya lebih segera, namun tetap menjadi medium ekspresi diri yang kuat. Solekan bukan sahaja berupaya mengubah penampilan, malah turut mempengaruhi perasaan seseorang. Dalam hal ini, saya melihat persamaan yang ketara antara solekan dan barang kemas. Kedua-duanya membolehkan seseorang menzahirkan identiti, mencipta ritual tersendiri dan menyampaikan kisah peribadi.

5) Barang kemas rekaan anda dan serbuk Ambient Lighting kedua-duanya dihasilkan di Itali. Mengapakah anda memilih kepakaran pertukangan dari Itali?

Itali sentiasa terasa seperti bahasa kreatif yang semula jadi bagi saya. Di sana, terdapat pemahaman yang mendalam tentang seni pertukangan, keseimbangan proportion, kualiti dan perincian. Itali ialah tempat keindahan dan ketepatan dapat digabungkan secara harmoni. Pendekatan dan nilai estetika ini sentiasa dekat dengan jiwa saya.

Hourglass

6) Mengapakah anda memilih simbol-simbol ini untuk palet Ambient Lighting Edit Unlocked?

Saya sentiasa tertarik dengan simbol kerana terdapat sesuatu yang bersifat purba dan universal pada simbol-simbol ini. Saya juga boleh dikatakan sedikit mempercayai perkara karut. Simbol hati, ladam kuda, semanggi dan kunci masing-masing membawa makna tersendiri, iaitu cinta, tuah, perlindungan dan permulaan baharu. Saya menyukai idea bahawa sesuatu simbol boleh membawa maksud dan niat tertentu, malah menjadi sesuatu yang boleh dibawa bersama, almost like a personal lucky charm.

7) Apakah yang anda harapkan agar orang ramai peroleh daripada koleksi ini?

Idea di sebalik koleksi ini adalah untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna, sama ada untuk diri sendiri atau seseorang yang disayangi. Saya berharap orang ramai akan menyimpan palet ini untuk tempoh yang lama. Lebih daripada sekadar produk solekan, saya mahu setiap palet terasa seperti objek peribadi yang mempunyai nilai tersendiri.

Saya menyukai idea membawa sesuatu yang indah dan bermakna di dalam beg saya, sesuatu yang memberikan rasa bertuah, ketenangan dan tidak lapuk ditelan zaman. Sama ada sebagai simbol harapan, impian, tuah atau cinta, setiap palet ini menjadi peringatan kecil bahawa sesuatu yang istimewa sentiasa menanti di hadapan.


ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down