
Penyanyi ROSÉ bergandingan dengan Levi’s untuk melancarkan koleksi kolaborasi pertama mereka, Levi’s x ROSÉ. Mengambil inspirasi daripada denim kegemarannya dan rekaan vintaj, koleksi ini menggabungkan gaya yang menarik dengan keselesaan untuk dipakai setiap hari. Ketika berada di Tokyo bagi menghadiri acara pelancaran di Shibuya, ROSÉ berkongsi cerita di sebalik koleksi ini, daripada inspirasi peribadinya hinggalah perincian yang menjadikannya begitu istimewa.
Apakah yang ingin anda serlahkan menerusi kolaborasi bersama Levi’s ini?
“Untuk koleksi pertama saya bersama Levi’s, saya mahu menghasilkan sesuatu yang tampak lebih sofistikated tetapi tetap selesa. Keselesaan sangat penting bagi saya. Dalam soal penggayaan, fabrik yang kita sarungkan dan bagaimana pakaian itu terletak pada tubuh boleh mengubah cara kita menjalani hari. Kita tentu tidak mahu berasa terkongkong dengan pakaian sendiri.
Memilih apa yang ingin dipakai bermakna kita menentukan sendiri apa yang membuatkan kita yakin dan bagaimana kita mahu berasa ketika memakainya. Jadi, keselesaan dan keanggunan kedua-duanya penting. Saya berharap peminat tersayang yang mendapatkan helaian daripada koleksi ini akan berasa selesa, melangkah keluar dengan penuh keyakinan serta menikmati keseronokan dalam kehidupan seharian, sama ada ketika bekerja mahupun bersantai.”

Adakah terdapat perincian atau elemen tertentu yang anda tekankan kerana paling mencerminkan gaya anda?
“Kebelakangan ini, saya semakin tertarik dengan denim berwarna gelap. Dahulu, mungkin saya lebih memilih denim dengan rona yang lebih cerah tetapi kini saya menyukai denim gelap kerana tampil klasik sepanjang zaman dan memberikan aura keyakinan. Saya juga sangat menyukai perincian zip pada jaket Trucker. Saya pernah melihat jaket vintaj Levi’s yang menggunakan zip dan merasakan perincian itu sangat bergaya, memandangkan kebanyakan jaket klasik menggunakan butang. Penampilan juga boleh diubah mengikut sejauh mana zip itu dibuka atau ditutup.

Selain itu, sejak kebelakangan ini saya sangat menggemari seluar berpotongan loose bootcut dan kerap memakainya. Jadi, saya memang mahu memasukkannya ke dalam koleksi ini. Potongan ini sesuai untuk pelbagai acara sama ada formal mahupun kasual. Selain pakaian, angka ‘11’ pada aksesori loket juga merupakan satu lagi elemen yang mewakili diri saya. Hari lahir saya jatuh pada 11 haribulan, jadi angka itu cukup istimewa bagi saya.”


Tema kolaborasi ini ialah ‘The Original Girl’. Adakah keaslian diri sesuatu yang kita miliki sejak lahir atau terbentuk melalui pengalaman?
“Intuisi saya mengatakan bahawa setiap orang dilahirkan dengan jati diri yang tersendiri. Secara peribadi, sejak lahir lagi mungkin sudah ada perkara yang saya sukai atau yang secara semula jadi menarik perhatian saya, mungkin berdasarkan naluri. Namun apabila semakin membesar, saya rasa kita turut dipengaruhi oleh pelbagai perkara.”

Apakah yang paling banyak mempengaruhi diri anda?
“Rakan-rakan, internet, media sosial... Hari ini, kita sentiasa dikelilingi begitu banyak maklumat. Walaupun begitu, saya percaya pengalamanlah yang membantu kita menemui jati diri yang sebenar. Melalui pengalaman, kita perlahan-lahan memahami perkara yang benar-benar kita sukai dan apa yang menjadi inti pati diri kita. Apabila menoleh ke belakang, saya rasa sepanjang usia 20-an, saya menghabiskan banyak masa mencari apa yang benar-benar saya inginkan. Dalam satu sudut, ia terasa seperti sebuah perjalanan untuk menyelami diri sendiri.
Kita mungkin beranggapan bahawa mempelajari perkara baharu akan memperluas pandangan dunia kita tetapi saya rasa proses sebaliknya juga berlaku. Dalam diri saya, sentiasa ada perasaan yang jelas tentang “inilah yang saya mahukan”, cuma kadangkala sukar untuk memahaminya dengan tepat. Jadi, saya cuba menyingkap lapisan demi lapisan yang menyelubungi diri untuk menemukan diri saya yang sebenar. Saya rasa keaslian diri saya terbentuk daripada gabungan pengalaman hidup dan perkara yang sememangnya sudah ada dalam diri sejak awal.”

Adakah anda sudah menemui jati diri anda yang sebenar?
“Saya masih dalam perjalanan itu. Saya masih mencari siapa diri saya sebenarnya dan saya rasa proses ini akan berterusan sepanjang hayat. Mungkin apabila semakin berusia nanti, saya akan dapat berkata, ‘Saya sudah memahami diri sendiri.’ Saya jauh lebih mengenali diri berbanding dahulu, tetapi perjalanan ini masih belum selesai. Saya rasa saya baru sahaja bermula.”

Bagaimana dan dalam suasana apakah anda ingin menggayakan helaian daripada koleksi ini?
“Koleksi ini boleh digayakan di mana-mana sahaja. Untuk menghadiri parti, saya akan memadankannya dengan kasut tumit tinggi kerana ia membuatkan saya berasa sangat bergaya. Pakaian ini juga begitu selesa sehingga saya akan memakainya ketika menaiki penerbangan. Seperti yang saya katakan, keselesaan ialah keutamaan saya. Saya akan memakainya ke tempat kerja, ketika berulang-alik atau ke mana-mana sahaja. Kebolehan untuk digayakan dalam pelbagai situasi itulah yang mentakrifkan koleksi ini.”
Apakah perasaan anda ketika pertama kali melihat koleksi yang telah siap?
“Saya sangat teruja! Saya sudah memakai seluar jeans ini selama beberapa bulan, jadi saya benar-benar sudah biasa dengan seluar jeans loose bootcut tersebut. Namun, ketika melihat jaket yang telah siap, hati saya berdegup kencang. Saya menyukai setiap perinciannya daripada siluet berstruktur yang sedikit berkotak hinggalah cara zip dan kolar itu berpadu secara semula jadi, seolah-olah kedua-duanya memang dicipta untuk bersama. Saya sangat gembira apabila melihat hasil akhirnya. Saya tidak sabar untuk melihat semua orang menggayakannya!”
Tonton sekarang!
/

