Langgan

Rachel Ikemeh Dan Usaha Memelihara Warisan Alam

Sebagai salah seorang daripada lima penerima Rolex Awards 2026, Rachel Ikemeh meneruskan usaha melindungi biodiversiti Niger Delta.
3 minit untuk membaca
Published: October 18, 2026
Pakar pemuliharaan dari Nigeria, Rachel Ikemeh, telah dinamakan sebagai salah seorang daripada lima penerima Rolex Awards tahun ini. Gambar ihsan © Rolex/Thomas Laisné

Di Niger Delta, Nigeria, sungai-sungai berliku merentasi hutan bakau dan rimba paya membentuk sebuah landskap yang sejak turun-temurun menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat. Hari ini, usaha memulihkan khazanah alam tersebut digerakkan bersama oleh mereka yang paling dekat dengannya. Antara yang berdiri di barisan hadapan ialah Rachel Ikemeh, pakar pemuliharaan alam dari Nigeria yang telah mendedikasi lebih dua dekad hidupnya untuk melindungi hutan dan hidupan liar. Menerusi organisasi yang diasaskannya, South-West/Niger Delta Forest Project (SWNDFP), Rachel berganding bahu dengan masyarakat setempat dalam usaha memelihara sebuah landskap yang cukup istimewa namun pada masa yang sama amat rapuh. Usahanya kini mengangkat Rachel sebagai salah seorang daripada lima penerima Rolex Awards 2026, bersempena ulang tahun ke-50 anugerah tersebut yang mula diperkenalkan pada 1976. Pada awalnya, Rolex Awards diwujudkan bagi memperingati setengah abad sejak pelancaran Rolex Oyster, jam tangan kalis air pertama keluaran Rolex. Hari ini, sebagai sebahagian daripada Rolex Perpetual Planet Initiative, anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berusaha memperluas pengetahuan tentang bumi, melindungi alam sekitar serta memelihara habitat dan spesies yang mendiaminya.

Niger Delta merupakan sebahagian daripada Hutan Guinea di Afrika Barat, sebuah kawasan yang diiktiraf sebagai antara titik panas biodiversiti dunia. Di sinilah terletaknya hutan bakau ketiga terbesar di dunia serta ekosistem hutan paya kedua terbesar di Afrika. Ribuan spesies tumbuhan dan haiwan menjadikan kawasan ini habitat sementara tanah lembapnya memainkan peranan yang penting daripada mengawal banjir dan mengisi semula air bawah tanah hinggalah membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.

Anggota komuniti Foropa di Niger Delta mendengar penerangan daripada pakar pemuliharaan Rachel Ikemeh mengenai SWNDFP. ©Rolex/Taiwo Aina

Namun, keindahan alam ini hadir bersama sejarah kemusnahan alam sekitar yang panjang selain keadaan sosial dan politik yang rumit. Mengubah keadaan sedemikian bukanlah usaha yang boleh disegerakan. Setelah bertahun-tahun menyuarakan kepentingan pemuliharaan dan berunding dengan masyarakat setempat, Rachel berjaya membantu mewujudkan sebuah kawasan pemuliharaan seluas lebih 1,000 hektar pada 2021. Kini, kawasan tersebut dikawal dan dilindungi oleh masyarakat Apoi tempatan.

Sekurang-kurangnya 13 spesies terancam kini dilindungi di habitat berkenaan, termasuk monyet red colobus Niger Delta yang sukar ditemui dan berada pada tahap kritikal untuk terus hidup. Spesies ini turut dikaitkan dengan usaha Rachel menyelamatkannya daripada ambang kepupusan. Burung kakaktua kelabu, kura-kura Home’s hinge-back, buaya kerdil Afrika Barat, tenggiling perut putih, Anambra waxbill, red-capped mangabey, monyet tekak putih Nigeria dan sitatungaantara spesies lain yang turut mendapat manfaat daripada program tersebut.

Perubahan turut dirasai di sepanjang aliran air. Sumber perikanan di kawasan bakau kembali bertambah manakala kepelbagaian hidupan terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Bagi masyarakat Apoi, memelihara hutan tidak hanya bererti menyelamatkan hidupan liar. Ia turut membuka ruang kepada kehidupan yang lebih baik di tempat sendiri. Peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan prasarana, inisiatif kesihatan alam sekitar serta program mata pencarian alternatif kini menjadi sebahagian daripada usaha pemuliharaan, sekali gus memberi masyarakat kepentingan yang lebih besar untuk menjaga tanah yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Pendekatan itu kemudiannya berkembang jauh melangkaui Apoi. Hari ini, SWNDFP mengendalikan empat kawasan pemuliharaan yang meliputi lebih 10,000 hektar hutan selain membantu menambah baik mata pencarian sekurang-kurangnya 2,500 penduduk setempat. Lebih 18,000 orang pula telah mendapat pendedahan menerusi pendidikan pemuliharaan.

Dengan sokongan Rolex, Rachel kini bersedia mengembangkan usaha tersebut sekali lagi. Perancangannya merangkumi empat kawasan pemuliharaan baharu yang akan diuruskan bersama masyarakat setempat, selain sebuah pusat latihan dan program pendidikan bergerak untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran pemuliharaan dalam kalangan komuniti. Pembangunan projek, perancangan pemuliharaan, pengurusan habitat dan mata pencarian lestari akan menjadi antara bidang yang diterapkan.

Pakar Pemuliharaan dan Rolex Awards Laureate 2026, Rachel Ikemeh. Gambar daripada Instagram / @rolex

Buat pertama kalinya, usahanya juga akan melangkaui hutan dan menuju ke laut. Salah satu kawasan pemuliharaan baharu akan terletak di Foropa, di pesisir Niger Delta. Di sana, Rachel dan pasukannya sedang membangunkan sebuah kawasan marin yang diuruskan oleh masyarakat setempat. Jika berjaya direalisasikan, ia bakal menjadi kawasan perlindungan marin pertama di rantau tersebut.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down