Langgan

Kebangkitan Semula Sebuah Ikon - FENDI Baguette® 26424 Re-Edition

FENDI Fall/Winter 2026
2 minit untuk membaca
Published: September 29, 2026

Maria Grazia Chiuri membuka langkah selaku Pengarah Kreatif FENDI dengan mempersembahkan koleksi Musim Luruh/Dingin 2026 yang menampilkan Baguette® 26424 Re-Edition sebagai aksesori utama. 

Fendi Baguette

Buat pertama kali, saya berpeluang menghadiri Minggu Fesyen Milan awal tahun ini. Lebih istimewa, pertunjukan pertama dalam kalender fesyen saya untuk Musim Luruh/Dingin 2026 ini membawa saya ke satu detik penting dalam sejarah FENDI iaitu debut Maria Grazia Chiuri sebagai Pengarah Kreatif baharu maison Itali tersebut. Selepas hampir sedekad menerajui Dior, Maria kembali ke titik mula yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal kerjayanya.

Kali ini, beliau hadir bukan untuk memadam apa yang telah dibina FENDI, tetapi untuk menyelami warisan sejarahnya. Dia mahu menghidupkan semula kod-kod maison dan membayangkan ke mana ia boleh pergi seterusnya. Dan mungkin tiada objek yang lebih tepat untuk memahami visi baharu itu selain koleksi beg tangan iaitu Baguette® 26424 Re-Edition.

Tas Tangan Yang Banyak Menyimpan Cerita

Saya selalu percaya bahawa beg tangan adalah antara objek paling peribadi dalam gerobok seseorang. Kita membawa di dalamnya barang-barang yang kita perlukan, malah kadangkala barang-barang yang langsung tidak diperlukan tetapi terlalu sentimental untuk ditinggalkan. Dalam naratif Maria Grazia Chiuri untuk Baguette® 26424 Re-Edition, idea itu menjadi titik permulaan.

Bang Chan Fendi
Bang Chan (Stray Kids)

Kisah Marilyn Monroe bersama Truman Capote menjadi metafora menarik. Dalam ‘A Beautiful Child’, Marilyn digambarkan berjalan tanpa solekan, rambut dililit selendang sifon, hampir tidak dikenali sebagai bintang filem yang begitu popular. Di tangannya ada sebuah beg yang dipenuhi biskut yang dicurinya dari restoran. Beg itu menjadi sesuatu yang lebih daripada hanya aksesori. Ia mendedahkan siapa Marilyn di belakang kamera, di luar pentas dan tanpa persona bintang. Beg tangan ialah refleksi personaliti si pemakai.

Hampir tiga dekad selepas kelahiran Baguette pada 1997, Maria Grazia Chiuri memilih untuk tidak sekadar menghidupkan semula sebuah ikon. Beliau seolah-olah mahu membongkarkan semula konsep beg itu sendiri. Baguette® 26424 Re-Edition hadir dalam pelbagai variasi, membuka ruang kepada interpretasi yang tidak terhad kepada satu definisi tentang kecantikan atau gaya wanita semata-mata. Ini bukan tentang mencari tas tangan yang sempurna, ia tentang mencari beg yang terasa seperti diri sendiri.

Dalam koleksi debut ini, kepelbagaian yang dipentaskan bukan sekadar strategi visual. Ia menjadi pernyataan bahawa seorang wanita tidak perlu memilih hanya satu identiti untuk dirinya. Dia boleh menjadi elegan atau flamboyan, rigid atau playful, minimal atau maximalist. Wanita boleh menjadi apa yang dia mahu. Pada saya, inilah yang menjadikan Baguette begitu relevan walaupun selepas hampir 30 tahun. Ikon sebenar tidak semestinya kekal sama. Ia bertahan kerana mampu berubah bersama generasi wanita yang membawanya.

Koleksi Musim Luruh/Dingin 2026/27 FENDI secara keseluruhannya terasa seperti sebuah peta geografi peribadi. Pakaian dan aksesori menjadi rekod kepada pertemuan, perjalanan, minat, pengalaman serta pertukaran idea. Pakaian bukan lagi sekadar sesuatu yang hanya dipakai, tetapi ia adalah sesuatu yang dilalui. Oleh sebab itu, Baguette® 26424 Re-Edition terasa begitu penting dalam koleksi ini. Ia membawa sejarah, tetapi pada masa yang sama memberikan petunjuk untuk masa depan. Ia mempunyai DNA Baguette yang dikenali, namun hadir dengan kepelbagaian serta kemungkinan yang lebih luas.

Beg ini muncul dalam pelbagai bentuk, material dan warna untuk mengiringi koleksi yang banyak bermain dengan warna hitam sebagai asas. Malah, pada penampilan pembukaan, jaket dan gaun paten berlisu dilengkapkan dengan dua Baguette berbeza saiz dan material. Ini sebagai sebuah peringatan bahawa aksesori tidak semestinya menjadi pelengkap. Kadangkala, ia adalah watak utama.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down