Langgan

Ombak KLCC: Destinasi Baharu Yang Memulakan Langkah Dengan Jiwa Malaysia

Setiap permulaan memerlukan sebuah cerita. Bagi Ombak KLCC, cerita itu bermula dengan Malaysia.
2 minit untuk membaca
Published: August 31, 2026

Muncul sebagai destinasi gaya hidup berteraskan seni dan budaya terbaharu di tengah-tengah Kuala Lumpur, Ombak KLCC memilih bulan kemerdekaan untuk memperkenalkan identitinya kepada khalayak. Dan mungkin tiada waktu yang lebih tepat untuk sebuah ruang yang meraikan kreativiti, komuniti dan budaya tempatan memulakan langkah selain ketika seluruh negara sedang menyelami semula makna menjadi Malaysia.

Menerusi Jiwa Merdeka, Ombak KLCC menghimpunkan pelbagai ekspresi yang membentuk identiti negara hari ini daripada warisan yang diwarisi turun-temurun hingga kreativiti kontemporari yang sedang membentuk wajah baharu budaya Malaysia.

Berlangsung selama empat hari dari 28 hingga 31 Ogos 2026, sambutan ini menampilkan 69 aktivasi merangkumi seni, muzik, kraftangan, makanan dan komuniti, bersempena tahun ke-69 kemerdekaan negara.

Menjelajah Malaysia Tanpa Meninggalkan Kuala Lumpur

Antara pengalaman paling menarik sepanjang Jiwa Merdeka ialah bagaimana tiga kawasan budaya ikonik Kuala Lumpur dibawa masuk ke dalam Ombak KLCC.

Little India menawarkan pengalaman seperti seni melilit sari, penghasilan kolam, pembuatan kalungan bunga dan persembahan tarian yang diiringi tabla. Chinatown pula menampilkan paluan dram Cina, seni menghasilkan kipas, kaligrafi serta lukisan dakwat.

Sementara Kampung Baru membawa nostalgia budaya Melayu menerusi demonstrasi tenunan songket, mencanting batik serta permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.

Apabila Suara Berbeza Berkongsi Pentas

Jiwa Merdeka menghimpunkan nama-nama yang mewakili pelbagai generasi muzik Malaysia, bermula dengan legenda tanah air Datuk Sheila Majid, diikuti Yuna, Dayang Nurfaizah, Reshmonu, Atilia, Vince Chong dan DJ Santan.

Barisan ini sendiri mencerminkan kepelbagaian bunyi Malaysia. Ada suara yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tempatan dan ada pula yang terus membawa identiti Malaysia ke pentas lebih luas.

Dari Kopi ke Kraf Tempatan

Semangat komuniti turut menjadi sebahagian daripada pengalaman di Ombak KLCC. Sepanjang hujung minggu, Pesta Kopi Merdeka berlangsung di Rooftop Garden, sementara Pasar Seloka mengambil alih Concourse Level dengan himpunan artisan dan penggiat kraf tempatan.

Kehadiran kedua-dua platform ini memberi ruang kepada satu sisi Malaysia yang semakin berkembang. Komuniti kreatif tempatan yang menjadikan budaya, reka bentuk dan hasil tangan sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden.

Pada 30 Ogos pula, sambutan diteruskan menerusi Semarak Jiwa Merdeka di KLCC di KLCC Park, menghimpunkan muzik, cahaya dan komuniti menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Sebuah Destinasi Baharu Dengan Jiwa Malaysia

Nama Ombak sendiri membawa makna yang cukup simbolik. Seperti ombak yang sentiasa bergerak dan berubah, budaya juga tidak pernah berhenti berkembang.

Terletak di bahagian timur KLCC Park dan berhubung terus dengan Stesen MRT Persiaran KLCC, Ombak KLCC memperkenalkan sebuah dimensi baharu kepada kawasan KLCC Precinct. Merentasi tujuh aras, destinasi ini menghimpunkan seni, budaya, gastronomi dan pilihan runcit terkurasi, termasuk Rooftop Sky Garden serta ruang terbuka untuk komuniti berkumpul.

Di tengah-tengah pengalaman tersebut ialah Galeri PETRONAS, yang bakal menjadi nadi penting kepada identiti budaya Ombak KLCC. Pengunjung kini boleh melihat sekilas kediaman baharu galeri tersebut sebelum ia beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Lebih daripada sekadar sebuah lokasi baharu di tengah kota, Ombak KLCC hadir dengan cita-cita untuk menjadi ruang penemuan, tempat seni bertemu gaya hidup, tradisi bertemu perspektif baharu dan komuniti bertemu antara satu sama lain.

Dan memilih bulan kemerdekaan sebagai titik permulaan terasa seperti sebuah pernyataan yang tepat.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down