
Setiap kali musim panas menjelma di Paris, kota ini terasa seperti pentas sempurna buat dunia high jewellery. Ada sesuatu tentang cahayanya yang menjadikan setiap permata bersinar dengan cara yang sukar digambarkan. Awal bulan ini, saya sekali lagi melangkah ke ruang pameran Maison FRED, kali ini di 76 Rue du Faubourg Saint-Honoré bagi menyaksikan pelancaran 'Monsieur Fred Golden Light', bab terakhir trilogi High Jewellery yang meraikan keindahan cahaya.
Kunjungan kali ini terasa cukup istimewa. Tahun lalu, saya berada di Paris untuk melihat bab kedua koleksi ini dan berpeluang bertemu sendiri dengan Valérie Samuel, Pengarah Artistik dan cucu kepada pengasas Maison FRED. Kini, saya kembali menyaksikan bagaimana kisah yang bermula daripada visi Fred Samuel akhirnya menemui penutup yang cukup indah.
Sempena ulang tahun ke-90 Maison FRED, Monsieur Fred Golden Light menjadi penghormatan kepada pengasasnya yang sepanjang hidupnya terpesona dengan cahaya matahari. Seperti ungkapannya yang terkenal, "Saya sering berfikir bahawa hidup di bawah sinaran cahaya yang begitu terang, dengan hubungan yang begitu dekat dengan matahari setiap hari, pasti menyemarakkan keinginan yang lebih mendalam terhadap cahaya."
Falsafah itu diterjemahkan melalui 15 karya High Jewellery yang diinspirasikan oleh French Riviera, destinasi yang begitu dekat di hati Fred Samuel. Setiap himpunan merakam perubahan cahaya sepanjang hari melalui batu permata luar biasa dan ketelitian seni pertukangan yang menjadi identiti Maison FRED.
Moonlight Reflection

Diilhamkan oleh keindahan malam di French Riviera, Moonlight Reflection menampilkan kombinasi berlian dan tanzanit yang membangkitkan rona biru dan ungu Laut Mediterranean di bawah langit berbintang. Empat rekaan transformasi ini menyerlahkan sisi romantis musim panas Riviera dengan sentuhan moden.
Promising Dawn

Promising Dawn mengambil inspirasi daripada cahaya pertama yang menyinari perkampungan Èze. Opal Australia dan zamrud Colombia dipilih sebagai simbol harapan dan permulaan baharu, sementara teknik doublet yang mengambil masa enam bulan menghasilkan kesan kaleidoskopik yang bagi menyerlahkan kepakaran Maison FRED dalam batu permata berwarna.
Crystalline Joy

Keindahan laut Saint-Jean-Cap-Ferrat ketika matahari terbit diterjemahkan melalui gradasi tourmaline, berlian dan mother-of-pearl. Rantai, gelang dan cincin koktel dalam himpunan ini menggambarkan gerakan ombak yang tenang, dengan tourmaline lebih 12 karat menjadi titik fokus utama.
Blooming Senses

Di Grasse, bunga mimosa menjadi simbol kegembiraan dan inspirasi buat Blooming Senses. Batu nilam kuning, berlian dan perincian emas membentuk tiga rekaan High Jewelery, termasuk rantai yang boleh diubah menjadi kerongsang. Setiap helaian bunga dihasilkan dengan ketelitian luar biasa, mengambil sehingga 890 jam untuk disempurnakan.
Soleil d'Or Golden Light

Kemuncak koleksi ini sudah tentu ialah Soleil d'Or Golden Light. Buat pertama kali dalam sejarah Maison FRED, berlian kuning ikonik Soleil d'Or seberat 101.57 karat dipasang pada sebuah karya High Jewellery. Melihat batu permata legenda ini di hadapan mata merupakan satu pengalaman yang cukup mengagumkan. Dipadankan pada kalung transformasi bersama kerongsang boleh tanggal, ia menjadi simbol kemuncak kepakaran Maison FRED dalam seni batu permata berwarna serta identitinya sebagai The Sunshine Jeweler.
Tonton sorotan eksklusif kami dari Paris menerusi video di bawah.

