Langgan

Bingkai Takdir Mira Filzah

Biar musim berganti dengan wajah pelapis yang semakin banyak cuba mengisi siaran, nama Mira Filzah masih utuh sebagai aktres yang semakin tinggi nilai dan permintaannya.
Published: June 4, 2026
Konsep dan Penyelaras: Sarah Hani Jamil Fotografi: Edmund Lee Arahan Seni: Iera Nadzlim Temu bual: Hafizan Mohd Penataan Gaya: Athirah Zahra

Sehari sebelum bertemu Mira Filzah di set penggambaran muka depan bulan ini, saya sempat menonton drama bersiri terbarunya ‘Aku Bukan Pelangi’ bersama Zahiril Adzim. Lapisan emosi yang dibawa Mira dalam siri tersebut ditangani begitu bersahaja. Ralit daripada satu episod ke satu episod, kadang tidak sedar yang dia sedang berlakon. Chemistry skrin bersama Zahiril juga benar-benar menjadikan setiap babak yang penuh emosi meninggalkan kesan buat yang menonton.

Ia membuat saya faham mengapa biar sudah lebih sedekad di bidang showbiz, Mira masih tinggi permintaannya. Malah fasa melahirkan bayi pertama juga tidak memperlahankan demand untuk Mira terus beraksi di layar kaca. Selepas ‘Curang Tanpa Niat’, ‘Mandul Bukan Pilihan’ dan ‘Akad Yang Hilang’ sehingga ‘Aku Pilih Pelangi’ – wajahnya tanpa putus menjadi pengisian setiap program drama stesen televisyen sebagai wajah utama pilihan produser.

Transisi panjang sebagai pelakon dikongsi bersama ELLE bulan ini. Teruja bercerita projek filem cereka terbarunya ‘Hajat Ali’, Mira optimis tentang naskhah ini. “Hajat Ali membawa tema kekeluargaan. Ceritanya tentang divorced couple yang kematian anak mereka dan pada masa yang sama harus menunaikan hajat terakhirnya.” Tambahnya lagi, “Mira sukakan idea cerita ini yang sangat tinggi nilai kasih sayang. Ia sangat dekat dengan Mira as mother too. Di lingkungan hidup yang semakin terisi, terbingkai takdir yang penuh cerita bahagia.

Jam tangan Vanguard Lady Slim Vintage daripada FRANCK MULLER. Jaket twil berkilat dengan tali pinggang dan seluar twil berkilat daripada BOSS. Aksesori kepala dan skaf milik penata gaya

ELLE: Okey kita mulakan bicara tentang ‘Aku Pilih Pelangi’. Lapisan emosi perwatakan Nayla itu sangat dalam. Sukar untuk Mira lakonkan atau ia hanya proses natural sebagai pelakon?

Mira Filzah: Sebagai pelakon Mira rasa hal ni dah jadi satu proses natural. Sebab lakonan dah jadi kerja hakiki Mira jadi ia jadi satu proses yang Mira dah program dalam kepala. Especially lepas Mira melahirkan anak pertama tawaran yang datang semua sangat dalam emosinya. Sebelum ni pun sama dalam drama ‘Mandul Bukan Pilihan’ banyak layer dalam emosi perwatakan yang Mira kena belajar dan adapt

E: Menerusi drama terbaru ini juga saya difahamkan Mira pertama kali bergandingan bersama Zahiril Adzim. Mudah dapat chemistry di set?

MF: Senang dan tak ada masalah sebab Mira rasa Zahiril ada personaliti yang cukup menyenangkan. Kalau berlakon drama memang pertama kali tapi sebelum ni Mira pernah undang Zahiril untuk berlakon dalam kempen jenama Mira Filzah punya raya campaign. He’s a very natural talent. 

E: Kita bercakap tentang method dalam lakonan itu sendiri, ia satu proses yang mudah untuk Mira atau kena ambil masa juga untuk develop sebelum masuk set?

MF: Mira sentiasa prep untuk setiap karakter. Daripada segi skrip akan ada proses yang dipanggil bedah skrip. Ia menjadi satu proses yang memerlukan Mira faham lebih dalam lagi tentang perwatakan, emosi dan penyampaian yang Mira perlu bawakan. I have to create something that does not exist in the script. 

Cara Mira untuk gali perwatakan itu menjadi lebih terperinci adalah dengan mengembangkan persoalan tentang satu-satu karakter. Contoh untuk watak Nayla, dia digambarkan tinggal dengan ibu sahaja. So,daripada sini Mira create persoalan, mana ayah dia? Mana adik-beradik yang lain. Ini proses yang Mira terapkan untuk lebih memahami emosi dan pemikiran watak yang ditulis. 

Jam tangan Vanguard Lady Slim Vintage daripada FRANCK MULLER. Jaket kulit dan blaus kolar tinggi daripada LONGCHAMP. Skaf dan kaca mata hitam milik penata gaya.

E: Pasangan dalam satu-satu projek membantu Mira menjiwai lagi perwatakan?

MF: Sangat membantu sebenarnya. Pabila kita dapat gandingan yang sangat membantu dalam set, secara tidak langsung ia bagi kita lebih drive untuk sama-sama bagi yang lebih baik. Selain daripada itu, Mira percaya juga peranan pengarah sangat membantu Mira dalam proses menghidupkan satu-satu babak yang kita lakonkan jadi lebih mudah prosesnya.

E: Setakat hari ini who’s your favourite pairing on set?

MF: Oh, susah kalau kena pilih. Tapi so far Mira happy sebab setakat hari ini Mira sudah dapat peluang digandingkan dengan hero-hero hebat tempatan. Selain Zahiril, Mira pernah bekerjasama dengan Hun Haqeem, Zul Ariffin, Adi Putra, Hisham Hamid dan Remy Ishak. Semuanya pelakon-pelakon yang berpengalaman yang kita ada di Malaysia dan sangat komited di set penggambaran. 

E: Sebagai penonton kita melihat personaliti Mira itu seorang yang lembut dan soft spoken kan. Menonton Nayla yang penuh amarah dalam dirinya itu membuat saya terfikir kalau Mira Filzah marah sebegitukah agaknya?

MF: Haha.. Mira as a person kalau marah Mira tak tinggikan suara. As the middle child dalam famili selalunya mak akan cakap kata-kata Angah (panggilan keluarga) ni pedas sikit. I didn’t say much kalau marah tapi kata-kata yang keluar tu akan buat orang terasa. Totally opposite sebenarnya dengan Nayla (tertawa). 


Jam tangan Vanguard Curvex Cut Flower daripada FRANCK MULLER. Blaus berperincian renda dengan corak polka dot dan seluar berpotongan lurus daripada SPORTMAX. Topi beret dan skaf milik penata gaya

E: Kalau dihitung kira Mira dah lebih sedekad bergelar pelakon. Setakat hari ni Mira dah capai apa yang Mira impikan ketika awal bermula dulu?

MF: Kalau diikutkan masa Mira start berlakon Mira tak ada apa-apa expectation. Semuanya bermula dengan cuba-cuba dan isi masa lapang tapi passion dalam lakonan develop along the way. Mira rasa pabila dah lama sikit baru Mira slowly develop Impian nak achieve something. Berlakon jadi satu proses yang Mira sangat enjoy lakukan.

E: Dalam lebih sedekad in juga, jika mungkin ada satu perubahan dalam diri yang Mira lihat hari ini sebagai pelakon dan individu.

MF: Kalau nak difikirkan Mira rasa Mira jadi seorang yang lebih ekspresif. Kalau dulu Mira jenis tak kisah. Susah untuk buat Mira marah ke menangis ke sebab Mira selalu untuk memilih untuk tidak involve dengan masalah atau drama. Mira jenis akan avoid semua tu tapi pabila dah mula berlakon Mira belajar banyak tentang emosi. Recently, pabila dah ada anak ni especially Mira rasa emosi tu lagi bermacam-macam dan kadang Mira seakan kena bawa watak lain untuk handle situation. Sekarang Mira jadi lebih faham tentang emosi dan cara mengawal emosi sendiri. 

E: Kalau Mira boleh tafsir dalam ayat paling ringkas, how do you see yourself now dan bagaimana Mira reflect on your success?

MF: Lebih matang, lebih tenang dan Mira rasa jelas dengan apa yang Mira mahu sekarang. A happy mom, a successful actress kalau tak keterlaluan untuk Mira label begitu. Dalam bekerja Mira tidak pernah ada niat untuk bersaing dengan orang lain dan Mira tak rasa ada keperluan pun untuk bersaing sebab kalau kita terlalu fikir sangat akan jadi penat. Setiap hari akan sentiasa ada pelakon baru, jadi fokus Mira adalah untuk jadi the best version of myself. I measure my success dengan pengalaman dan kemampuan yang Mira ada untuk jadi lebih baik.

E: Saya melihat graf kerjaya Mira itu konsisten. Tidak terlalu laju melejit tetapi tidak juga pernah kurang permintaannya. Untuk mengekalkan konsistensi itu sukar untuk Mira?

MF: Mira seorang yang merancang. Mira suka plan apa yang Mira nak buat atau nak fulfil. Tidaklah semestinya perlu menjadi seperti apa yang Mira rancang tapi setidaknya Mira dapat lihat struktur dan directionnak ke mana. Konsistensi yang ada Mira rasa datangnya daripada pengalaman dan Mira bersyukur juga dapat suami yang merestui Mira untuk teruskan karier dalam lakonan. Alhamdulillah tawaran sentiasa ada untuk Mira, even kalau diingatkan balik masa Mira melahirkan baby dulu pun Mira dah start dapat offer untuk masuk set lepas berpantang.

Jam tangan Vanguard Lady Slim Vintage daripada FRANCK MULLER. Dress tiub labuh berlabuci daripada TORY BURCH. Skaf, kemeja putih dan sarung tangan milik penata gaya

E: Kalau dilihatkan ramai yang mula berlakon seusia Mira dah hilang daripada radar dan Mira masih relevan. Ia tentang rezeki atau kerja keras?

MF: One thing tentang menjadi pelakon wanita Mira rasa pabila kita masuk satu fasa hidup yang berbeza terutama pabila dah berkahwin dan dah ada anak itu yang membuatkan sesetengah pelakon wanita hilang daripada radar macam you cakap tadi. For me ia bergantung pada individu, mungkin ada yang memilih untuk tidak berlakon lagi bukan sebab tiada tawaran tapi sebab peralihan komitmen dalam hidup. Mira mungkin bertuah ada suami dan famili yang support karier Mira mungkin yang lain tak sebertuah Mira dan harus lepaskan kerjaya dalam bidang ini. 

E: Dalam lakonan ada lagi yang Mira rasa belum capai?

MF: Mira seorang yang suka manifest. So far, Alhamdulillah banyak dah yang Mira dapat walaupun kadang datang dalam satu timeline yang panjang tapi pabila difikirkan balik, eh Mira pernah minta benda ni dulu. Kalau sekarang, Mira punya impian adalah untuk dapat pengiktirafan yang terbaik. Mira pernah dapat yang popular jadi sekarang Mira harapkan sesuatu yang dinilai oleh individu pakar dalam bidang lakonan. Tapi Mira selalu percaya ia soal masa dan rezeki naskhah yang kita dapat.

E: Kalau kita lihat portfolio lakonan Mira lebih banyak berlakon drama berbanding filem. Atas faktor tawaran atau Mira memang lebih senang dengan drama?

MF: Faktor tawaran itu memang betul. Mira faham setiap karya yang ditulis setiap pengarah itu dia sudah ada visual sendiri pelakon yang bagaimana, imejnya bagaimana. Kesesuaian pada watak itu menjadi faktor utama untuk tawaran datang pada pelakon yang berbeza. Mungkin produser rasa wajah dan karakter Mira lebih sesuai dan dekat dengan golongan penonton televisyen. 

Jam tangan Vanguard Lady Slim Vintage daripada FRANCK MULLER. Jiperak kain berlipat dan skirt kembang kain berlipat daripada GIORGIO ARMANI. Topi, skaf dan kemeja putih milik penata gaya

E: Mira pernah rasa hal tersebut menjadikan Mira sebagai pelakon yang stereotaip untuk watak tertentu sahaja?

MF: Pernah rasa sebegitu tapi Mira tak lihat hal itu sebagai satu masalah dan kekangan. Ia sebenarnya menjadi perkara yang push Mira to do more and to prove more on my ability dalam membawakan watak. Macam Mira cakap tadi berlakon ni bergantung pada rezeki naskhah yang kita dapat. Pabila ada naskhah yang mencabar kita melakukan sesuatu yang lebih di situ Mira akan mainkan peranan untuk tunjukkan sisi berbeza dalam lakonan Mira.

E: Ada watak yang Mira elak untuk dibawa?

MF: Ada pernah someone datang pada Mira dia kata Mira try lah watak penyondol (tertawa) tapi pabila difikirkan balik Mira rasa sebagai seorang selebriti yang ada pengikut Mira ada tanggungjawab untuk jadi contoh juga ikutan yang baik. Especially pabila dah berkeluarga kita kena lebih berhati-hati. Mira rasa penting untuk Mira terapkan apa yang baik dan positif. As much as I want to challenge myself untuk buat sesuatu yang berbeza Mira still rasa penting untuk Mira faham tentang pegangan dan prinsip hidup.

*Baca temu bual penuh menerusi ELLE edisi Jun 2026

SOLEKAN: BONG KF

HIJAB: YAYA IBRAHEM

PELATIH AMALI: AISHAH HAZIYAH DAN HIZRAL FAIZ ROZEMAN

LOKASI: M RESORT HOTEL

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down