
Pertemuan Zoom bersama Gisele Bündchen kali ini berlangsung tanpa kemunculan mengejut anak perempuannya, Vivian. “Biasanya dia akan muncul dan tanya, ‘Mama, makan malam apa?’” katanya sambil ketawa. “Saya fikir, itu yang paling penting sekarang?”
Jelas sekali, Gisele kini sepenuhnya dalam fasa “mom mode”, lebih-lebih lagi dengan seorang anak kecil berusia setahun di rumah. “Anak-anak adalah anugerah terbaik. Saya rasa sangat bertuah dapat menjadi ibu. Saya memang dilahirkan untuk itu. Kegembiraan saya sangat sederhana — cukup mereka senyum, hari saya terus sempurna.”
Hari ini, Gisele berbicara tentang kempen baharunya untuk jam J12 yang dirakam di selatan Perancis, terinspirasi daripada cintanya terhadap laut. Visual kempen menampilkan dirinya belayar dan menyatu dengan ombak. Dalam perbualan ini, Gisele menyentuh tentang advokasi alam sekitar, memori bersama Chanel dan dan kemungkinan kembali ke pentas peragaan.
Ketika saya menulis profil Gisele pada tahun 2019, kita ada berbincang mengenai advokasi alam sekitar yang anda perjuangkan. Saya difahamkan anda pernah tinggal bersama sebuah komuniti Orang Asli di Amazon untuk suatu tempoh masa.
Saya tinggal bersama komuniti Kisêdjê, iaitu suku kaum yang menetap di Sungai Xingu, di kawasan Amazon. Sejak kecil, saya memang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam kerana saya membesar di sebuah kampung kecil di selatan Brazil, memetik buah dari pokok dan berjalan tanpa alas kaki. Namun, hanya selepas perjalanan itu barulah saya benar-benar melihat kesan daripada aktiviti manusia seperti perlombongan, penggunaan racun perosak, serta penebangan hutan secara besar-besaran terhadap komuniti Orang Asli di sana. Saya sememangnya dekat dengan alam, tetapi bagi mereka, hubungan itu berada pada tahap yang berbeza. Sepuluh hari bersama mereka telah mengubah perspektif hidup saya.

Itulah saat kebangkitan kesedaran alam sekitar Gisele benar-benar bermula.
Saya menubuhkan Luz Foundation pada tahun 2007. Ia adalah cara saya untuk berkata, “Saya akan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan saya kepada pelbagai tujuan yang saya percayai.” Pada awalnya, saya hanya menderma kepada pelbagai organisasi. Kemudian akauntan saya berkata, “Gisele, awak perlu ada sebuah yayasan!” Pada mulanya, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu alam sekitar. Namun apabila saya menjadi seorang ibu, saya mula berfikir, “Saya perlu membantu wanita dan kanak-kanak.”
Saya juga menjadi ahli lembaga pengarah Lotus House, sebuah organisasi di Miami. Ia merupakan pusat perlindungan wanita terbesar di Amerika dan telah membantu lebih 15,000 wanita dan kanak-kanak keluar daripada kehidupan di jalanan dan membina semula kehidupan mereka. Kini, mereka juga telah membuka sebuah pusat khas untuk kanak-kanak.
Anda juga baru-baru ini menyertai Earthshot Prize sebagai ahli majlis penasihat.
Saya rasa sangat bertuah kerana berpeluang terlibat dalam projek seperti ini. Malah, saya kini jarang menonton televisyen kerana yang dipaparkan hanyalah berita suram dan negatif, semuanya menyedihkan. Anda akan rasa begitu tidak berdaya melihat segala kekacauan yang berlaku di dunia. Sangat mengagumkan dapat menjadi sebahagian daripada majlis penasihat ini, kerana berada di ruang yang sama dengan semua orang yang sedang mencari penyelesaian dan menumpukan seluruh tenaga mereka untuk mencipta perubahan positif di dunia. Ia memberikan saya begitu banyak harapan.

Anda mempunyai hubungan yang panjang dengan Chanel, bermula sejak era Karl Lagerfeld. Apakah antara kenangan kegemaran anda memandangkan anda mempunyai sejarah yang begitu erat dengan rumah fesyen ini?
[Pada tahun 2014], saya sebenarnya sudah jarang membuat pertunjukan fesyen. Kemudian Karl menghubungi saya dan berkata, “Gisele, saya akan mengadakan pertunjukan ini, ia berkaitan dengan pemberdayaan wanita. Saya akan beri anda megafon dan anda akan menjadi kejutan di tengah-tengah pertunjukan.” Dan saya cuma berkata, “Baiklah.”
Sebenarnya, saya berada di pertunjukan itu! Saya rasa itulah pertunjukan Chanel pertama saya.
Satu lagi kenangan yang sangat menyeronokkan bagi saya: Kami sedang merakam kempen Chanel di tengah-tengah Paris dan saya berjalan tanpa alas kaki. Bayangkan jalan-jalan di Paris dan saya berjalan tanpa kasut!
Bagaimana pengalaman anda ketika merakam kempen baharu ini?
Berada di alam semula jadi adalah satu nikmat bagi saya kerana alam adalah temple saya. Di sinilah saya boleh reconnect dengan diri sendiri. Jadi, ia langsung tidak terasa seperti bekerja. Saya hanya bermeditasi sepanjang hari, bersantai dan berada bersama elemen-elemen alam.

Rasanya ia sangat sesuai dengan personaliti anda.
Wanita dalam kempen ini sedang belayar sendirian di lautan dan suasananya begitu tenang. Ia mengingatkan tentang kepentingan untuk berhenti seketika, menyelami diri sendiri dan meluangkan masa untuk refleksi kembali. Ketika kecil, saya selalu menulis dalam diari setiap hari. Ia cara saya merenung apa yang telah saya lakukan sepanjang hari. Hampir seperti ukuran untuk melihat di mana saya berada pada waktu itu. Jadi, saya sangat sukakan bagaimana Chanel menjadikan pengalaman ini sebagai saat untuk refleksi. Dalam belayar, anda perlu sentiasa memberi perhatian kerana arah angin boleh berubah. Terdapat kekuatan dan kuasa, tetapi juga refleksi dan kelembutan pada masa yang sama.
Jam tangan yang anda pakai dari koleksi ini juga diinspirasikan oleh gaya sporty.
Saya dihadiahkan satu dan terus berkata, “Bolehkah saya mula memakainya sekarang atau adakah ia belum dilancarkan? Mungkin saya perlu tunggu sehingga ia keluar!”
Secara tradisinya, kita selalu membayangkan “lelaki” dengan “jam tangan” tetapi kebelakangan ini terdapat lonjakan pengumpul jam tangan wanita. Terdapat jam tangan yang direka khusus untuk wanita kerana diinspirasikan oleh perhiasan atau bersaiz lebih kecil dan halus. Namun, terdapat juga gaya bersaiz besar dan sporty yang benar-benar menarik minat wanita. Kini, pilihan untuk wanita jauh lebih banyak.
Sesuai juga anda kata begitu kerana saya menganggap diri saya sangat aktif. Saya bersenam hampir setiap hari. Saya sentiasa mencari cara untuk menggerakkan badan saya sama ada berbasikal atau bermain paddleboarding di laut. Saya berumur 45 tahun, jadi kini saya mula mengangkat berat. Jadi saya suka jam tangan yang lebih sporty dan besar. Saya memakainya sepanjang hari dan juga pada waktu malam bila keluar. Kerana saya rasa bila memakai jam tangan, anda masih boleh kelihatan lebih bergaya dan ia tetap nampak chic. Saya rasa tidak semestinya anda perlu menukar jam tangan. Tetapi saya juga rasa seronok untuk menukar. Tidak perlu hanya ada satu jam tangan sahaja. Saya rasa bagus untuk memiliki beberapa pilihan. Kenapa hanya lelaki boleh melakukan itu?

Anda menulis tentang perjalanan kesejahteraan diri anda dalam buku ‘Lessons’. Anda pernah sampai ke tahap menghadapi rokok, malam lewat dan semua cabaran yang datang bersama minggu fesyen. Bagaimana perjalanan itu bermula?
Apabila anda berada dalam lingkungan usia 20-an, anda rasa diri anda kebal. Saya mula bekerja pada usia 14 tahun. Apabila saya mencapai usia 20-an, saya sudah terlalu terbiasa kerana kita adalah makhluk yang berulang-ulang melakukan tabiat. Sebaik sahaja kita terbiasa melakukan sesuatu, kita teruskan sahaja. Tetapi apa yang anda lakukan ketika remaja atau 20-an akan mengejar anda kemudian. Pada ketika itu, saya bekerja setiap tiga hari di negara yang berbeza terus bergerak tanpa henti. Sistem saraf saya menjadi tertekan.Semua orang merokok, minum dan tidak tidur kerana itulah gaya hidup dunia fesyen. Saya mula mendapat isyarat: sedikit amaran daripada tubuh anda. Tetapi kadang-kadang kita tidak mahu mendengar dan fikir, “Okay, saya teruskan sahaja apa yang selalu saya lakukan.” Sehinggalah tubuh anda memberi amaran yang kuat. Tubuh anda bukan bercakap lagi, ia menjerit. Dan anda fikir, “Baiklah, saya perlu mendengar.”
Saya biasa minum mocha Frappuccino pada waktu pagi sambil merokok. Kini saya menggantikan tabiat itu. Saya mula melakukan latihan pernafasan setiap pagi, yoga, mula berlari, mengikuti diet. Tiada gula, hanya protein dan sayur-sayuran. Untuk menetapkan semula diri saya. Dan kemudian semuanya berubah. Saya menjadi lebih sedar tentang tubuh saya dengan cara yang tidak pernah saya rasai sebelum ini kerana saya seperti berada di roda hamster, sentiasa bergerak tanpa henti.
Kali terakhir anda berjalan di pentas peragaan ialah semasa Upacara Pembukaan Olimpik di Rio pada 2016. Adakah anda merancang untuk kembali ke runway?
Setiap tahun saya menerima panggilan sebegitu. Tetapi saya tiada rancangan. Olimpik itu adalah detik yang begitu istimewa; ia seperti pengalaman rohani bagi saya, berjalan di runway itu seorang diri. Ia sangat berkuasa. Saya rasa saya tidak akan pernah merasai perasaan itu lagi. Saya merasakan ini cara yang sempurna untuk menutup bab itu. Saya tidak akan berkata “tidak pernah”, tetapi saya berasa sangat puas hati.
Dan Olimpik adalah cara yang baik untuk menutup segala-galanya.
Ia sungguh indah. Saya berasa amat dihormati kerana dapat melakukan itu untuk negara saya dan berada di detik itu. Dan saya rasa tiada apa pun yang akan menandingi pengalaman itu.
*Temu bual ini telah disunting dan diringkaskan untuk kejelasan.
