Langgan

Wanita Arus Perubahan - Sara Rashid

Uprising woman bersama Sara Rashid
4 minit untuk membaca
Published: February 9, 2026

Sara Rashid berani mencari inspirasi dan idea baharu untuk diketengahkan dalam terus menggerakkan perniagaannya dengan visi tersendiri. Dia mengimbangi kreativiti, kepimpinan dan rentak kerja yang diselarikan.

ELLE: Bagaimana Sara mengatur masa seharian?
Sara Rashid: Sangat penting untuk membahagikan kesibukan kerja seharian. Saya banyak bergantung kepada pengurusan tugasan di samping kekal fleksibel sekiranya berlaku perubahan. Saya cuba untuk tidak memadatkan semua jenama yang saya kerjakan dalam satu hari. Biasanya, saya akan memilih dua jenama sahaja untuk diberi tumpuan seharian.

Selain itu, saya juga akan memfokuskan setiap tugasan secara terperincil. Daripada cuba menyiapkan tugasan besar sekaligus, saya lebih fokus untuk melaksanakan setiap tugas kecil dengan sempurna supaya dapat bergerak ke arah matlamat utama dengan lebih berkesan.

E: Individu yang membentuk cara kerja.
SR: Rakan kongsi perniagaan saya. Kami sering memberi motivasi dan mendorong antara satu sama lain untuk mencapai potensi terbaik. Kami juga kerap bertukar idea secara konstruktif untuk penambahbaikan berterusan. Pada peringkat awal ia tidak mudah, namun fokus kami sentiasa pada perniagaan dan bergerak ke arah yang sama. Dia mengajar saya untuk melihat cabaran sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan bukan sekadar sebagai masalah. Selain itu dia juga menunjukkan kepada saya hasil yang boleh dicapai apabila kita memimpin melalui teladan. Dialah juga mengiktiraf keupayaan saya dan kami menerokanya bersama di samping melatih saya membina tabiat serta minda yang sihat.

Kalau perlu pilih satu individu sahaja pula sudah tentu ibu saya sendiri. Dia mengajar saya erti kesungguhan dan empati dan ia membentuk gaya kepimpinan saya. Dia juga kawan baik saya. 

E: Industri makanan dan hospitaliti mencabar dan sering didominasi tekanan. Apakah cabaran terbesar sebagai wanita yang memegang peranan kepimpinan?

SR: Dalam situasi saya, cabarannya tidak terlalu tertumpu kepada perbezaan jantina tetapi lebih kepada jurang usia. Saya bekerja rapat dengan pasukan yang bertekad tinggi dan terdiri daripada individu yang kebanyakannya lebih berusia serta berpengalaman daripada saya.

Saya perlu memimpin dan bekerja dengan mereka yang berpengalaman itu bersama-sama namun ada juga yang masih memerlukan bimbingan, penambahbaikan dan idea baharu. Cabaran utamanya ialah untuk memimpin serta menyuarakan pandangan saya dengan yakin memandangkan mereka sendiri mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam industri ini.

E: Sepanjang membina jenama dan perniagaan, apakah kritikan yang pernah diterima? 

SR: Saya rasa sangat perlu untuk anda sendiri yakin kepada diri pada permulaan. Kita sendiri yang perlu menjadi pendorong dan pembakar semangat. Kita perlu benar-benar mencintai jenama yang dibina sebelum meyakinkan orang lain untuk turut mengenalinya.

Antara kritikan yang sering diterima ialah pandangan bahawa kami tidak akan berjaya kerana pasaran sasaran kami terlalu khusus atau bersifat niche. Ada juga yang merasakan kami melakukan perkara yang hanya kami sendiri fahami. Namun bagi saya, itu adalah sebahagian daripada proses belajar dan membuka perspektif lebih luas.

E: Pendapat tentang peranan wanita dalam membentuk landskap kreatif dan makanan?

SR: Saya percaya wanita dan lelaki saling memerlukan untuk membangun kerana setiap jantina membawa perspektif dan pandangan berbeza. Perbezaan inilah yang boleh menghasilkan sesuatu yang lebih impak dan bermakna, asalkan kita terbuka mendengar, toleransi dan sentiasa fokus kepada matlamat akhir.

Jika dilihat dengan lebih mendalam kepada peranan saya sebagai seorang wanita dalam syarikat, saya biasanya yang memulakan dan memperhalusi aspek-aspek terperinci. Sama ada dari segi reka bentuk, proses membuat keputusan dan perkara-perkara lain, saya cenderung memberi perhatian kepada butiran yang membentuk keseluruhan visi.

E: Proses Sara dalam berkreatif? 

SR: Kadang-kadang prosesnya sangat ringkas, terutamanya ketika saya sedang jogging di waktu petang. Namun secara ringkasnya, saya memang suka meneroka pelbagai perkara kerana daripada situlah pelbagai idea akan berkembang. Saya sangat sukakan visual.

Saya suka melanggan pelbagai portal berita, membaca Substack yang pendek-pendek dan meneroka laman Medium pada waktu lapang. Untuk mengisi masa, saya juga akan melayari Behance. Saya mengumpul banyak majalah seperti Monocle dan Apartamento dan saya membacanya baris demi baris. Apa sahaja yang menarik perhatian saya, saya akan terus mencarinya di Google. Selain itu, saya juga suka dengan apa sahaja perbincangan dan diskusi sihat kerana ia membolehkan saya melihat sesuatu daripada pelbagai sudut pandang. Dalam masa yang sama saya mempelajari perkara baharu secara spontan.

E: Perkara yang memberi keterujaan bekerja. 

SR: Sudah tentu kerja-kerja kreatif tetapi secara jujurnya bidang yang saya ceburi ini lebih daripada itu, saya harus kuasai banyak benda. Saya suka menjalani menjadi lead penggambaran produk makanan dan kedai, teruja untuk apa jua kolaborasi dan program besar atau kecil termasuklah berjumpa ramai individu berbakat di luar sana. Kerja harian saya sibuk tetapi menyeronokkan. Saya puas dapat berkongsi apa jua idea kepada orang ramai. 

E: Dengan pelbagai peranan digalas, apa lagi yang belum Sara cuba?

SR: Salah satu impian saya untuk menjadi lead editorial shoot. Bermula daripada mencari idea, jalan cerita sehingga menguruskan semuanya dalam shoot itu sendiri termasuklah call sheets. 

E: Buku terkini dibaca. 

SR: Saya lebih suka podcasts dan audio books. Baru sahaja lepas dengarkan episod tentang kisah jenama Red Bull di Podcast Founders. Episod kegemaran saya “The Stubborn Genius of James Dyson”. Go listen!

E: Kesukaan waktu lapang. 

SR: Saya suka bersukan. Running, skuasy dan tenis. Ada masanya saya akan staycation dan waktu itu saya akan membiarkan Phillip memasak. Kadangkala bila sangat sibuk dengan kerja saya akan mengambil cuti separuh hari ke kafe, mulakan hari sedikit lewat dan menenangkan diri.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down