Langgan

Wanita Arus Perubahan - Roshinee Mookaiah

Uprising woman bersama Roshinee Mookaiah
3 minit untuk membaca
Published: February 4, 2026

Roshinee Mookaiah giat memperjuang hak wanita serta cakna mengangkat ruang politik untuk lebih mudah diakses semua. 

ELLE: Definisi diri Roshinee sebagai aktivis politik dan pembina aktif komuniti hari ini?

Roshinee: Dalam menjalani hidup sekarang, saya lebih selesa mendefinisi diri sendiri sebagai aktivis politik yang aktif mencipta kandungan internet. Saya suka berkongsi ilmu tentang hak asasi, demokrasi, isu jantina dan teknologi.

E: Siapa yang membentuk diri Roshinee selama ini?

R: Kredit sewajarnya diberikan kepada mereka yang membentuk diri saya selama ini terutamanya arwah ibu bapa yang perjuangan mereka sentiasa menjadi ingatan berkekalan dalam usaha memperjuang komuniti rentan. Selain itu pasangan saya Kula yang sentiasa di sisi dengan nilai integriti serta kasih sayang diajarkan serta rakan-rakan aktivis saya (termasuklah pasukan Mekar Kami) yang sentiasa berpegang erti tabah, empati dan berani.

E: Lapangan politik sering dikaitkan gender dan elitisme. Cabaran terbesar mendekatkan politik kepada wanita?

R: Sepanjang pengalaman mengendali banyak program pendidikan berkisar politik khusus buat wanita, saya sedar ramai sebenarnya di luar sana yang ada rasa ingin tahu namun teragak-agak untuk terlibat. Mungkin takut dilabel tidak cukup pengetahuan atau malu-malu kerana merasakan mereka lewat memulai langkah berpolitik. Saya menegaskan di sini jangan biarkan apa sahaja hal remeh membataskan diri. 

Minda progresif penting dalam membangun masyarakat kita kerana realitinya politik memberi kesan besar dan kadangkala keputusan yang dibuat tidak adil kepada golongan seperti wanita, belia dan minoriti. Setiap hari pemerintah politik melakukan tindak-tanduk dan segalanya meninggalkan kesan. Justeru, kita perlu bermula pada suatu titik di mana kesedaran politik dapat mempertahankan diri sendiri serta komuniti masyarakat.

E: Sebarang kritikan pernah diterima dalam usaha memperkasa hak wanita? 

R: Saya dihujani pelbagai ujaran kebencian sepanjang terlibat dalam advokasi dan saya sedar identiti sebagai wanita muda berketurunan India sering dianggap antagonistik oleh sesetengah pihak. Amat membimbangkan masih ada segelintir rakyat kita sendiri merasakan saya tidak layak bersuara kerana berbeza jantina, kaum, agama, malah penampilan saya dipersoalkan. Tipu jika segala hal itu tidak menjejaskan saya. Saya juga manusia biasa dan saya pernah berehat sebentar kerana tekanan yang mendesak, namun saya sentiasa kembali dengan keberanian. Masa ke masa, saya lebih bersedia dan yakin menghadapi situasi sukar. Saya tahu saya tidak boleh mengawal ujaran kebencian yang datang tetapi saya boleh mengawal cara untuk mengambilnya secara positif.

E: Prinsip yang sentiasa dipegang. 

R: Saya melakukan advokasi politik sebagai bentuk tanggungjawab dan khidmat sosial yang bersungguh-sungguh. Jadi integriti, tanggungjawab dan ihsan sentiasa diselarikan dalam kerja.

E: Jika tidak lagi di bidang ini, apakah yang diharap akan diteruskan wanita di luar sana?

R: Tidak kira apa jua bidang diceburi, saya menegaskan wanita di luar sana untuk sentiasa terlibat dalam 'good trouble'. Sebagai wanita kita sering dibentuk untuk kadangkala mengalah, mengelak konflik dan menjadi titik kepada perdamaian. Namun hakikatnya wanita kini sudah lebih peka terhadap ketidakadilan yang berlaku di sekeliling kita. Atas kesedaran itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa bersuara bagi mereka yang ditindas terutamanya mereka yang tidak mampu bersuara atau berjuang bagi dirinya sendiri. Sekalipun gentar, kita perlu melangkah dan di situlah perubahan bermula.

E: Disiplin kerja Roshinee itu sendiri bagaimana?

R: Saya melihat etika kerja dan disiplin sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki diri dan ia selari dengan kepercayaan kepada yang Esa. Ia mendorong saya melakukan yang terbaik dalam apa jua urusan. Proses ini masih diusahakan tetapi setakat ini ia cukup mengajar saya nilai keseimbangan dan tanggungjawab.

E: Favourite book sekarang?

R: Buku berjudul ‘The Wretched of the Earth’ oleh Franz Fanon, sebuah karya tentang antikolonialisme. Saya mula mengenali teori politiknya semasa pengajian pascasiswazah dalam bidang Hak Asasi Manusia dan Politik tetapi tahun ini baru betul-betul meluangkan masa menelaah tulisannya. Ia agak berat dan bersifat akademik namun seronok membaca tulisannya.

E: Cara Roshinee unwind?

R: Sejak kebelakangan ini saya suka rehat di rumah sahaja. Baru adopt kucing kedua saya, jadi seronok meluangkan masa dengan pasangan saya dan dua ekor kucing itu. Kami namakan YB Ram dan YB-in-training Lux. Sangat gembira kerana dua-duanya rapat dan manja!

E: What’s coming this year?

R: Saya mahu membina komuniti gadis dan wanita yang giat berpolitik. Ia akan dimulakan dengan aktivisme digital serta usaha pengorganisasian komuniti bersemuka kerana pada pengamatan saya ramai mula mencari eksapisme dunia digital dan suka interaksi dunia nyata. Jadi saya mahu memanfaatkan peluang itu dengan mewujudkan ruang selamat bagi wanita berpolitik dan bersuara!

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down