Langgan

Temu Bual Eksklusif ELLE Bersama Anya Taylor-Joy Tentang Koleksi Dior Addict 2026

Dior Addict 2026 menampilkan Lip Glow Oil serta haruman memikat. ELLE menemu bual Anya Taylor-Joy secara eksklusif tentang koleksi terbaru ini. 
3 minit untuk membaca
Published: January 26, 2026

Dior Addict 2026 menampilkan Lip Glow Oil serta haruman memikat. ELLE menemu bual Anya Taylor-Joy secara eksklusif tentang koleksi terbaru ini. 

Tiga komposisi sepadan di antara Lip Glow Oil juga haruman menggunakan nota manis lazat dan hangat sesuai digayakan buat semua wanita. Gabungan Pengarah Penciptaan Haruman Dior, Francis Kurkdjian juga Pengarah Kreatif dan Imej Dior Makeup, Peter Philips dalam mencipta koleksi ini tidak dapat disangkal lagi. 

Foto belakang tabir Anya Taylor-Joy bersama Peter Philips sewaktu merakam kempen Dior Addict 2026

“Saya mencipta haruman Rosy, Peachy dan Purple Glow dengan dimensi gourmand yang benar-benar memikat serta sentuhan je-ne-sais-quoi Perancis yang dicirikan oleh sikap berani, digabungkan dengan semangat muda yang bebas dan sensual. Aura Glow Dior Addict hadir dalam ketiga-tiga haruman muda ini yang diserikan dengan elemen keghairahan, kemewahan dan keinginan. Ia menyampaikan tenaga unik di mana gaya, solekan dan minyak wangi bertemu dan bersatu,” kata Francis Kurkdjian, Pengarah Penciptaan Haruman Dior.

“Dior Addict Lip Glow Oil serta-merta memikat, feminin dan menawan. Kilauan lut sinarnya yang ikonik mudah dikenali berbanding yang lain, bagaikan hidangan gourmand yang menggoda dalam warna gula-gula yang terang dan mewah. Ia juga mempunyai tekstur minyak yang sangat berkesan serta melembapkan. Menyeronokkan namun autentik, ia menyerlahkan sisi gadis dalam setiap wanita sambil memenuhi keinginan mereka terhadap hasil penjagaan bibir,” Peter Philips, Pengarah Kreatif dan Imej Dior Makeup.

Eksklusif Bicara Cantik ELLE Bersama Anya Taylor-Joy

Bagaimanakah pendapat anda tentang perubahan idea kecantikan bagi generasi wanita anda, dan apakah yang anda fikir Dior lakukan dengan tepat dalam memahami perubahan tersebut?

Pada saya, kita kini sedang belajar bahawa kecantikan bukan lagi tentang menutup kekurangan atau berusaha menepati satu standard ideal yang ditetapkan. Sebaliknya, kecantikan adalah tentang menonjolkan apa yang sudah sedia ada dalam diri kita. Dalam dunia yang ideal, kecantikan seharusnya membuatkan seseorang berasa lebih dekat dengan dirinya sendiri atau memberi ruang untuk meneroka sisi-sisi diri yang baharu bukan untuk bersembunyi, apatah lagi cuba menyerupai orang lain.

Saya berasa paling yakin apabila saya menekankan ciri-ciri semula jadi yang saya miliki. Pernah suatu ketika dahulu, beberapa jurusolek merias wajah saya dengan tujuan “membetulkan” rupa saya. Setiap kali saya memandang cermin, saya terfikir, siapakah orang ini? Saya langsung tidak mengenali diri saya sendiri. Ia terasa janggal seolah-olah saya sedang melihat orang lain.

Kini, saya bersyukur kerana telah memahami apa yang benar-benar sesuai dengan diri saya. Dan saya berharap wanita-wanita daripada generasi saya juga merasai perkara yang sama, keyakinan yang lahir daripada menerima diri sendiri bukan daripada mengubahnya.

Anya Taylor-Joy

Orang ramai sering bercakap tentang bagaimana produk kecantikan membuatkan mereka kelihatan berbeza. Bagi anda, produk Dior atau ritual kecantikan peribadi manakah yang membuatkan anda berasa berbeza?

Bagi saya, ini lebih kepada ritual kecantikan berbanding satu produk tertentu. Saya benar-benar taksub dengan waktu mandi saya. Saya akan berendam setiap malam, tidak kira di negara mana saya berada, tidak kira betapa lewatnya waktu. Saya sangat gemarkannya. Itulah masa peribadi saya.

Secara semula jadi, saya seorang yang sosial. Melalui kerjaya saya, saya hampir sentiasa dikelilingi oleh insan-insan hebat. Namun, apabila saya melangkah masuk ke dalam tab mandi, semua orang tahu. Tiada siapa akan bercakap dengan saya sekurang-kurangnya satu setengah hingga dua jam.

Itulah waktu saya bersama podcast dan muzik kegemaran saya. Saya juga mencampurkan sendiri garam mandian dan ramuan mandi saya, satu ritual kecil yang terasa seperti ahli kimia, sedikit magis dan akhirnya membawa ketenangan yang mendalam.

Anda dikenali kerana membawa kedalaman emosi dalam setiap perkara yang anda lakukan. Emosi apakah yang anda harap dapat ditangkap dan dizahirkan menerusi bab baharu anda bersama Dior Addict? 

Saya berharap ia terasa menyeronokkan, seperti satu bentuk permainan, kerana begitulah ia  sepatutnya. Ia sangat menarik kerana apabila kita mengambil sesuatu dengan terlalu serius, pada satu tahap ia sebenarnya akan terasa lebih ringan, jika itu masuk akal. Seolah-olah kita tidak boleh sekadar berhenti bersikap serius. Kita perlu melalui keseluruhan proses itu sehingga akhirnya tiba ke fasa bermain. Dan itulah keadaan kegemaran saya apabila sesuatu itu sangat bermakna, sehingga kerana ia begitu penting, saya memilih untuk memperlakukannya dengan rasa seperti sedang bermain. Jadi saya berharap orang ramai akan bergembira dan bermain dengan produk-produk ini serta membuatkan mereka berasa lebih bersinar serta lebih yakin diri.

Adakah haruman mempengaruhi mood anda atau adakah anda menggunakannya untuk menetapkan mood anda?

Oh, sudah tentu. Penglihatan saya agak lemah, jadi deria-deria lain seperti pendengaran dan deria bau saya menjadi sangat tajam. Deria bau saya khususnya sangat sensitif. Saya biasanya memilih satu haruman untuk setiap watak yang saya bawakan, kerana ia adalah cara yang indah untuk mencipta kapsul masa, sesuatu yang boleh membawa saya kembali ke satu fasa tertentu apabila saya berhenti memakainya dan saya serta watak itu berpisah haluan.

Namun bagi saya, haruman ialah sesuatu yang sangat peribadi seolah-olah sebagai pasangan kepada diri sendiri. Saya memakainya walaupun pada hari-hari saya tidak akan berjumpa sesiapa. Ia bukan tentang orang lain, ia tentang diri anda sendiri. Ia seperti satu hadiah kecil untuk diri sendiri. Sudah tentu, orang lain turut menikmati kesannya, tetapi bagi saya, haruman ialah sesuatu yang anda lakukan untuk diri sendiri terlebih dahulu.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down