Di tengah-tengah hamparan laut biru Langkawi, berdiri satu ciptaan yang luar biasa, Coco Nest, sebuah penginapan terapung yang menawan pandangan dan membangkitkan rasa tenang. Dengan bentuk yang memukau ramai pengunjung, Coco Nest bukan sekadar tempat menginap tetapi satu karya seni bina yang menggabungkan keindahan alam, kreativiti dan ketenangan dalam satu ruang harmoni.

Permulaan Sebuah Tempat Penginapan Moden
Segalanya bermula pada tahun 2022, apabila projek Coco Nest menjadi sebahagian daripada pertandingan Airbnb OMG Fund. Cabaran utama ketika itu adalah untuk menghasilkan rekaan penginapan yang bukan sahaja unik tetapi juga mempunyai identiti yang mudah dikenali.
Hakim, pengasas bersama projek ini, berkongsi detik awal tercetusnya idea tersebut. “Kami tahu kami perlu mencipta sesuatu yang istimewa, sesuatu yang meraikan identiti Langkawi. Ketika berjalan di tepi pantai suatu hari, kami ternampak sebiji kelapa terapung di permukaan laut. Dari situ, kami terfikir, bagaimana kalau kami bina satu stay yang kelihatan seperti kelapa?” ujar Hakim.

Inspirasi ringkas itu akhirnya membawa kepada pembinaan Coco Nest di atas bekas tapak sangkar ikan. Hasilnya, lahirlah penginapan berbentuk kelapa terapung yang kini menjadi simbol keunikan seni bina moden di Langkawi.
Dekorasi Berinspirasikan Alam Tropika
Dari segi dekorasi dan gaya, Coco Nest mengambil inspirasi penuh daripada alam semula jadi khususnya buah kelapa dan suasana tropika pulau Langkawi. Menurut Reena, isteri Hakim dan juga rakan reka bentuknya, mereka meneliti setiap perincian warna dan tekstur.
“Warna putih yang melambangkan isi kelapa, coklat daripada sabut dan batangnya, serta tekstur semula jadi kayu menjadi asas kepada palet warna kami. Kami mahu ruang ini terasa tenang, segar dan organik,” jelas Reena.

Ruang Minimalis yang Memikat Jiwa
Untuk menyerlahkan karakter tropika, perabot yang digunakan kebanyakannya diperbuat daripada kayu semula jadi, digabungkan dengan fabrik lembut berwarna putih atau beige. Beberapa elemen perabot berwarna gelap digunakan secara strategik untuk mencipta kontras yang menarik.
“Bagi kami, kunci kepada keindahan Coco Nest ialah keseimbangan antara sederhana dan mewah. Kami mahu tetamu merasa seperti berada di rumah sendiri, tetapi dalam versi tropika yang eksklusif,” kata Hakim.

Gabungan Identiti Tempatan
Walaupun reka bentuknya moden dan minimalis, Coco Nest tetap mengangkat elemen budaya tempatan Langkawi. Bahan utama seperti atap rumbia (thatched roofing) digunakan bagi memberi sentuhan tradisional yang sering ditemui dalam seni bina pulau-pulau tropika.
Hakim memberitahu lagi bahawa mereka sengaja mengelak daripada penggunaan hiasan berlebihan. Sebaliknya, tumpuan diberi pada bahan-bahan semula jadi itu sendiri. “Kami mahu keindahan datang daripada bahan yang digunakan. Misalnya seperti atap rumbia yang bukan sekadar hiasan tetapi juga sebahagian daripada identiti reka bentuk yang memberi rasa tropika sejati.”

Cabaran di Lautan
Membina penginapan terapung bukanlah tugas mudah. Antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukan Coco Nest adalah memastikan struktur binaan dapat terapung dengan stabil dan tahan lama. Selain itu, faktor logistik juga menjadi cabaran utama.
“Setiap bahan binaan perlu dihantar menggunakan bot. Jadi, kami perlu merancang dengan teliti agar semua bahan sampai tepat pada waktunya. Kelewatan sedikit sahaja boleh menjejaskan keseluruhan proses,” kata Hakim sambil mengimbas kembali perjalanan mencabar itu.

Kualiti dan Eksklusiviti Sebagai Keutamaan
Bagi Hakim dan Reena, Coco Nest bukan sekadar projek pelancongan, ia adalah refleksi gaya hidup dan nilai yang mereka pegang. “Kami tidak berkompromi dengan kualiti. Tilam, kayu, cat, semuanya kami pilih seolah-olah kami sendiri akan tinggal di sini,” jelas Reena.
Menariknya, walaupun kawasan tersebut boleh menampung sehingga tujuh unit, pasangan ini memilih untuk hanya membina tiga unit sahaja bagi mengekalkan privasi dan eksklusiviti kepada tetamu. Setiap pengunjung akan menikmati pengalaman menginap yang tenang, jauh dari kesibukan, seolah-olah mereka memiliki seluruh pulau itu untuk diri sendiri.

Rencana Masa Depan
Kini, Coco Nest sedang dalam fasa membina unit ketiga. Coco Nest ONE direka untuk dua orang dewasa, Coco Nest TWO untuk empat orang, manakala Coco Nest THREE bakal menampung sehingga enam orang tetamu.
Selepas siap, fokus utama mereka ialah menyatukan keseluruhan kawasan dengan menambah elemen semula jadi seperti atap rumbia di pelantar utama, serta tanaman hijau untuk menyatu dengan landskap Bukit King Kong yang bersebelahan.Selain itu, mereka turut merancang untuk memperkukuh operasi Coco Nest dengan memperkenalkan pakej ‘all-inclusive’ termasuk penginapan, aktiviti dan hidangan penuh bagi memberikan pengalaman percutian tropika yang lebih lengkap kepada para tetamu.


