I put the spell on you! Apabila tiba musim Halloween, dunia filem sering menjadi sumber inspirasi untuk meraikan sisi gelap, misteri dan tiada yang lebih menarik daripada watak-watak wanita dalam filem seram yang kekal ikonik sehingga ke hari ini. Mereka mencerminkan sisi manusia yang kompleks tentang keinginan, kesakitan dan kebebasan. Check out senarai karakter wanita seram yang mendefinisikan semangat Halloween tahun ini.
Pearl – Pearl (2022)
Watak utama dalam filem Pearl, lakonan cemerlang Mia Goth ialah contoh sempurna tentang seorang gadis manis yang introvert yang tinggal di kampung bersama keluarganya. Di sebalik wajah polos dan keinginan untuk menjadi bintang, tersembunyi sisi gelap yang haus perhatian dan cinta. Pearl ialah figura wanita yang kompleks cantik, tragik dan menakutkan dalam satu masa.

Sue & Elisabeth Sparkle – The Substance (2024)
Filem The Substance menonjolkan obsesi wanita terhadap kecantikan dan usia muda. Watak Sue dan Elisabeth Sparkle melambangkan tekanan sosial terhadap wanita untuk kekal sempurna. Namun apabila formula rahsia ‘The Substance’ digunakan, ia membuka pintu kepada transformasi yang mengerikan. Mereka menjadi refleksi tajam terhadap dunia moden di mana kecantikan boleh menjadi kutukan.

Aunt Gladys – Weapons (2024)
Aunt Gladys membawa pendekatan berbeza dalam genre seram. Di sebalik wajah tenang seorang wanita tua, tersembunyi rahsia gelap yang penuh bahaya. Dalam Weapons, Gladys menunjukkan bahawa ketakutan tidak selalu datang daripada jelmaan yang menyeramkan kadang-kadang, ia datang daripada individu yang paling tidak disangka.

Ellen Hunter – Nosferatu (2024)
Dalam versi moden Nosferatu, Ellen Hunter membawa semula elemen klasik filem seram Jerman tetapi dengan kekuatan watak wanita yang lebih menyerlah. Dia bukan lagi sekadar korban kepada makhluk penghisap darah tetapi simbol pengorbanan dan keberanian dalam menghadapi kuasa kegelapan.

Madeline Ashton & Helen Sharp – Death Becomes Her (1992)
Gabungan dua wanita flamboyan dan ikonik, Madeline dan Helen, mempersembahkan sisi seram dalam dunia glamor. Mereka sanggup mengorbankan segalanya demi keabadian dan kecantikan termasuk nyawa sendiri. Death Becomes Her ialah parodi seram yang penuh gaya, menunjukkan obsesi wanita terhadap kecantikan abadi dengan humor gelap yang sinis.

Elaine – The Love Witch (2016)
Gadis cantik dan juga seorang ahli sihir Elaine juga lambang wanita yang berkuasa dan memikat dalam satu masa. Dengan solekan cat-eye, rambut berombak sempurna dan busana berinspirasikan era 60an, Elaine menjadikan cinta sebagai senjata utamanya. Namun, di sebalik persona glamor itu, dia ialah wanita yang terdesak mencari kasih sayang dengan menggunakan sihir untuk mendapatkannya.

Carrie – Carrie (1976)
Carrie White ialah simbol gadis yang ditolak dunia hingga akhirnya membakar semuanya. Dengan gaun prom yang berlumuran darah, dia menjelma sebagai lambang dendam, kesakitan dan kuasa yang bangkit dari trauma. Tragic, ikonik dan salah satu karakter perempuan yang masih seram dan relevan sehingga kini.


