Langgan

SUBLIMIC Lancar Rangkaian Baru, TIMETIC, Rawat Rambut Lebih Sihat

SUBLIMIC sekali lagi melangkah ke hadapan dalam dunia kecantikan rambut dengan memperkenalkan rangkaian premium terbaharu mereka, TIMETIC.
6 minit untuk membaca
Published: November 3, 2025

Shiseido Professional SUBLIMIC sekali lagi melangkah ke hadapan dalam dunia kecantikan rambut dengan memperkenalkan rangkaian premium terbaharu mereka, TIMETIC. Dihasilkan dengan intipati berkuasa dan dirumus penuh kemewahan, rangkaian ini menawarkan pengalaman sensorial yang bukan sekadar memanjakan, tetapi turut membangkitkan tenaga baharu buat rambut dan kulit kepala.

Keunikan TIMETIC terletak pada inspirasinya yang luar biasa yang dipanggil irama sirkadian, iaitu ritma biologi semula jadi tubuh manusia yang mengawal pelbagai fungsi penting dalam kitaran 24 jam. Daripada ilham inilah TIMETIC dicipta untuk membangunkan semula potensi kesihatan rambut dan kulit kepala dari dalam, berfungsi seiring dengan perjalanan masa agar keseimbangan semula jadi sentiasa terpelihara. Pada waktu malam, fungsi regeneratif menjadi aktif manakala pada siang hari, mekanisme perlindungan mula bekerja melindungi kulit kepala dan rambut daripada tekanan persekitaran.

Memahami kitaran ini, SUBLIMIC TIMETIC dicipta untuk bertindak selaras dengan detik masa. Formulasi canggihnya melindungi dan memperbaharui kulit kepala sepanjang hari, sambil memperbaiki rambut secara intensif untuk mengekalkan kilauan sihat yang tahan lama. Melalui gabungan sains, deria dan kemewahan, SUBLIMIC TIMETIC mentakrifkan semula rutin penjagaan rambut langsung menawarkan keseimbangan sempurna antara perlindungan dan pembaharuan juga antara kekuatan dan kelembutan.

Teknologi TIMETIC COMPLEX, Gabungan Sains dan Keanggunan

Di hati rangkaian ini terletaknya teknologi inovatif TIMETIC COMPLEX iaitu Circadian Rhythm-Focused Scalp Care dan Intensive Hair Care.

Circadian Rhythm-Focused Scalp Care bertindak seiring dengan ritma sirkadian, membantu melembapkan, memperkukuh fungsi perlindungan kulit kepala pada waktu malam serta melindungi daripada tekanan dan kerosakan pada siang hari. Hasilnya, kulit kepala menjadi lebih sihat dan kuat. Ia asas kepada pertumbuhan rambut yang subur dan berseri.

Sementara itu, Intensive Hair Care Technology berfungsi secara mendalam untuk memulih rambut yang rosak, mengekalkan kelembapan, protein juga lipid penting sambil melindungi rambut daripada faktor luaran. Setiap helaian terasa lebih lembut, lebih kuat dan bersinar menawan dengan serta-merta.

Menambahkan lagi keistimewaannya, TIMETIC COMPLEX turut diperkaya dengan Chrono Chardy, ramuan berasaskan tumbuhan yang menyokong ritma sirkadian kulit kepala, meningkatkan kelembapan serta memperkukuh perlindungan semula jadi. PhytoCuticle pula berperanan memulihkan kerosakan, melembutkan permukaan rambut dan melindungi daripada pencemaran harian. Gabungan Punica Granatum Seed Oil, Hydrolyzed Rice bersama Protein Dipropylene Glycol turut memberikan lembapan mendalam menjadikan rambut dan kulit kepala tampil sihat, segar serta bertenaga dari dalam.

Kemewahan TIMETIC bukan sekadar dirasai melalui sentuhan, tetapi turut dihayati melalui aromanya yang memukau. Jambakan lembut jasmine, lily of the valley dan orange blossom menghadirkan keharuman yang halus dan feminin, disempurnakan dengan kehangatan musk dan soft amber yang membaluti deria dengan rasa tenang dan elegan. Setiap helaian rambut seakan diselimuti keharuman mewah yang menenangkan jiwa dan menyerlahkan keanggunan diri.

Jemputan Eksklusif ke Pelancaran Sublimic TIMETIC di Park Hyatt, Kuala Lumpur

Bulan lalu, ELLE berpeluang menghadiri satu acara eksklusif bersama beberapa wakil media dan pempengaruh digital bagi meraikan pelancaran Sublimic TIMETIC di Malaysia. Momen istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran selebriti popular, Azira Shafinaz, yang bersama-sama memeriahkan suasana penuh glamor tersebut.

Acara bertempat di Menara 118, mercu tanda baharu yang menjadi antara bangunan tertinggi di dunia, di mana para tetamu dijemput untuk menikmati pengalaman bermalam yang istimewa. Hari pertama dimulakan dengan sesi pengenalan produk yang dikendalikan oleh Ryoko Onodera, Pengurus Pembangunan Produk Baharu Global Shiseido Professional, yang diterbangkan khas dari Jepun untuk memperkenalkan falsafah dan inovasi di sebalik Sublimic TIMETIC.

Acara diteruskan dengan bengkel upacara teh Jepun (Japanese Tea Ceremony) yang dipimpin oleh barisan pakar dari Jepun. Para tetamu berpeluang mempelajari seni penyediaan teh hijau sambil menikmati pemanis mulut tradisional Jepun, satu pengalaman budaya yang tenang dan memikat.

Menutup hari penuh inspirasi itu, majlis makan malam bertema Japanese-inspired fine dining diadakan sebagai kemuncak acara, melambangkan keanggunan dan kemewahan yang sinonim dengan pelancaran Sublimic TIMETIC.

Temubual Eksklusif Bersama Ryoko Onodera, Pengurus Pembangunan Produk Baharu Global (Penjagaan Rambut)

1) Dengan peningkatan permintaan terhadap pengalaman kecantikan mewah, bagaimana SUBLIMIC TIMETIC mentakrifkan semula makna “penjagaan rambut premium” berbanding produk salon eksklusif yang lain?

Kami mentakrifkan produk ini sebagai penjagaan premium, bukan sekadar melalui pendekatan visual tetapi melalui pendekatan yang lebih asas untuk memaksimumkan keindahan semula jadi dan keunikan setiap individu. Dengan menggunakan produk kami, TIMETIC, pelanggan dijanjikan bukan sahaja rambut dan kulit kepala yang cantik, tetapi juga kecantikan yang berkekalan pada masa hadapan. Ia direka bukan sekadar untuk menyuburkan rambut, tetapi juga hati mereka memberikan rasa yakin yang mendalam serta-merta.

Pendekatan utama kami ialah konsep bahawa rambut adalah sama penting seperti kulit. Kulit kepala merupakan asas kepada kecantikan rambut. Dengan Sublimic TIMETIC, penjagaan kulit kepala adalah seumpama penjagaan kulit wajah.

2) SUBLIMIC TIMETIC diinspirasikan oleh ritma sirkadian tubuh manusia. Bolehkah anda kongsikan bagaimana pendekatan saintifik ini diterjemahkan ke dalam formulasi praktikal untuk penjagaan kulit kepala dan rambut?

Tubuh manusia secara semula jadi berfungsi mengikut ritma biologi 24 jam yang dikenali sebagai ritma sirkadian. Ritma ini mengawal pelbagai fungsi tubuh sepanjang siang dan malam  termasuk pada kulit kepala. Pada waktu malam, proses regeneratif menjadi aktif, manakala pada siang hari, fungsi perlindungan bekerja untuk mempertahankan keseimbangan kulit kepala.

TIMETIC dicipta dengan inspirasi daripada ritma sirkadian, memberikan penjagaan menyeluruh untuk kesihatan kulit kepala sepanjang masa. Ia menawarkan penjagaan holistik yang menyegarkan kulit kepala dan rambut, menjadikannya tampak sihat dan berseri sepanjang hari.

Berteraskan penjagaan berasaskan ritma sirkadian, formulasi ini membantu meningkatkan kelembapan, memperkukuh penghalang kulit serta melindungi daripada kerosakan pada waktu siang. Dengan teknologi kutikel yang memperbaiki dan menyalurkan kelembapan lipid, ia memulihkan rambut secara intensif, melindunginya daripada tekanan luaran sambil memberikan kilauan semula jadi, kini dan untuk masa depan.

3) Selain daripada hasil yang diberikan, aspek sensorial produk juga memainkan peranan penting dalam dunia kecantikan mewah. Apakah antara pertimbangan utama ketika membangunkan tekstur dan pengalaman aplikasi bagi rangkaian ini?

Bagi Sublimic, ia bukan sekadar pengalaman dan bukan hanya tentang produk yang menyentuh kulit kepala, tetapi tentang hubungan yang lebih dekat dengan hati pelanggan kami. Inilah sebabnya kami memberi penekanan tinggi kepada pengalaman lima deria, menjadikannya satu perjalanan yang menyentuh emosi dan deria.

Ambil contoh haruman, keenam-enam rangkaian kami, termasuk TIMETIC, diperkaya dengan aroma fungsional yang direka untuk memberikan rasa tenang, positif serta hasil yang ketara setiap kali digunakan. Melalui syampu kami, anda bukan sahaja merasai buih yang mewah dan lembut, tetapi juga keselesaan dalam setiap sentuhan daripada membuka penutup botol hingga menikmati tekstur yang kaya, semuanya sebahagian daripada perjalanan sensorial Sublimic.

Untuk TIMETIC, perhatian khusus diberikan kepada tekstur. Syampunya yang berkrim dan mewah digabungkan dengan haruman istimewa, menjadikan rutin mencuci rambut satu ritual penuh ketenangan. Pupur rambutnya pula mempunyai kilauan lembut, memancarkan aroma menenangkan sebelum digunakan dan menyebar dengan sempurna pada setiap helaian rambut. Hasilnya, rambut terasa licin, lembut dan utuh selepas setiap bilasan.

Harumannya pula ibarat taman mekar bunga putih, gabungan Jasmine, Lily of The Valley dan Orange Blossom, diserikan dengan kehangatan kasturi dan amber lembut. Wangian yang kaya dan mewah ini membangkitkan rasa keyakinan, ketenangan, serta semangat positif terhadap masa depan.

Bagi kami, kepuasan dan ketenangan yang dirasai pelanggan adalah sebahagian penting daripada hasil kecantikan sebenar kerana kecantikan tidak hanya dilihat, tetapi juga dirasai dengan sepenuh deria.

4) Bagaimana Shiseido Professional menyesuaikan Sublimic TIMETIC untuk memenuhi keperluan pengguna di pelbagai rantau berbeza, sambil mengekalkan satu pengalaman jenama mewah yang konsisten di seluruh dunia?

Sudah tentu, setiap negara mempunyai perbezaan cuaca dan persekitaran. Namun, salah satu nilai teras Sublimic ialah pendekatan holistik terhadap kecantikan. Kami bukan sahaja menonjolkan keindahan rambut, tetapi juga memperkaya hati, jiwa serta pengalaman mewah di salon dan disampaikan melalui sentuhan profesional para penggaya rambut.

Setiap produk Sublimic direka dengan teliti untuk memberikan hasil yang nyata dan boleh dipercayai, berasaskan pendekatan saintifik bagi memenuhi keperluan unik setiap jenis rambut. Pada masa yang sama, kami amat menghargai aspek sensorial yang dibawa oleh setiap penggunaan produk kami, memastikan setiap rutin penjagaan kecantikan menjadi satu pengalaman yang menyentuh emosi dan menenangkan jiwa.

Selain itu, kami turut menekankan kepentingan pendidikan khas kepada rakan profesional kami iaitu para penggaya rambut agar nilai dan falsafah ini dapat disampaikan kepada pelanggan. Melalui pendekatan ini, pelanggan akan benar-benar memahami erti premium dan kemewahan yang menjadi identiti rangkaian Sublimic.

5) Kini kita melihat semakin banyak pelancaran produk penjagaan kulit kepala di pasaran penjagaan rambut. Adakah anda percaya bahawa penjagaan kulit kepala akan menjadi seutama dan semestinya diperlukan seperti penjagaan kulit wajah? 

Sudah tentu! Kami juga percaya begitu. Untuk memiliki rambut yang indah, kesihatan kulit kepala adalah asas utama. Kini, semakin banyak perhatian diberikan kepada industri kecantikan dan penjagaan rambut, menjadikannya semakin seiring dan menyeluruh.

Apabila lebih ramai individu menyedari bahawa kecantikan sebenar tidak hanya terletak pada penampilan luaran, tetapi juga pada penjagaan dari akar hingga ke helaian rambut, maka jelaslah bahawa penjagaan kulit kepala menjadi keperluan penting, kini dan untuk masa hadapan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down