Langgan

Diskusi Tentang Kanser Payudara

Breast cancer 101! Ketahui perkara-perkara ini untuk pencegahan awal
2 minit untuk membaca
Published: October 23, 2025

Oktober sering menjadi bulan penuh warna merah jambu iaitu simbol solidariti dan kesedaran terhadap kanser payudara. Tetapi di sebalik kempen dan poster, ada satu persoalan yang sering bermain di fikiran kita, sejauh mana kita benar-benar faham tentang perkara ini?

Mengetahui asas tentang kanser payudara bukan sekadar untuk mereka yang berisiko tetapi untuk setiap individu kerana kesedaran adalah bentuk penjagaan diri yang paling utama tidak kira untuk wanita atau lelaki. 

Apa Sebenarnya Kanser Payudara Itu?

Secara mudahnya, kanser payudara berlaku apabila sel-sel di dalam tisu payudara mula membiak tanpa kawalan dan akhirnya membentuk ketulan atau tumor. Ia boleh bermula di bahagian lobul atau tisu lain di sekitar payudara.

Walaupun ia sering dikaitkan dengan wanita, lelaki juga boleh mengalaminya walaupun kesnya lebih jarang. Namun yang pasti, pengesanan awal adalah kunci utama dalam rawatan dan pemulihan.

Bagaimana Ia Boleh Berlaku?

Tiada satu sebab khusus mengapa kanser payudara terjadi tetapi ramai pakar mengenal pasti beberapa faktor yang boleh meningkatkan risikonya.

Antaranya, seperti sejarah keluarga, perubahan hormon semula jadi atau gaya hidup moden yang kurang aktif. Faktor seperti umur yang meningkat, berat badan berlebihan selepas menopause dan pendedahan kepada radiasi juga memainkan peranan.

Namun, penting untuk diingat, memiliki faktor risiko tidak bermakna seseorang pasti akan menghidap kanser payudara. Ia hanyalah satu peringatan untuk kita lebih berhati-hati dan peka terhadap perubahan tubuh.

Tanda-Tanda Awal yang Perlu Diperhatikan

Tubuh manusia bijak memberi isyarat apabila sesuatu tidak kena dan kita hanya perlu peka terhadapnya. Antara tanda-tanda awal kanser payudara termasuk:

  • Ketulan atau benjolan pada payudara atau bawah ketiak
  • Perubahan pada bentuk, saiz atau tekstur kulit payudara
  • Lelehan luar biasa dari puting, terutama jika berdarah
  • Puting yang tertarik ke dalam atau terasa sakit
  • Kemerahan, penebalan atau kedutan pada kulit payudara

Tidak semua ketulan bermaksud kanser. Ada yang mungkin berpunca daripada perubahan hormon atau cyst tetapi langkah selamat adalah dengan membuat pemeriksaan secepat mungkin.

Siapa yang Lebih Berisiko?

Hakikatnya, semua orang boleh mendapat kanser payudara. Namun, risikonya meningkat bagi:

  • Wanita berumur 40 tahun ke atas
  • Mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara
  • Individu yang pernah menjalani terapi hormon jangka panjang
  • Mereka dengan berat badan berlebihan selepas menopause

Bagi wanita muda pula, jangan anggap anda terkecuali. Walaupun jarang, kes dalam kalangan usia 20-an dan 30-an semakin meningkat. Sebab itu, pemeriksaan sendiri harus menjadi rutin, bukan pilihan.

Langkah Pencegahan: Kenali Diri, Periksa Secara Berkala

Mencegah mungkin tidak sepenuhnya menghapus risiko tetapi ia boleh membantu mengesan tanda awal. Jadikan pemeriksaan payudara sebagai sebahagian daripada rutin bulanan. Sama penting seperti menjaga kulit atau kesihatan mental anda.

  1. Lakukan pemeriksaan sendiri seminggu selepas haid berakhir.
  2. Jalani pemeriksaan klinikal di klinik atau hospital sekurang-kurangnya sekali setahun.
  3. Mammogram disarankan untuk wanita berusia 40 tahun ke atas bagi mengesan tanda-tanda awal.
  4. Amalkan gaya hidup sihat. Kekal aktif, kawal berat badan dan elakkan alkohol serta rokok.

Jika Anda Menemui Ketulan, Apa yang Perlu Dilakukan?

Pertama sekali bawa bertenang. Jangan panik atau terlalu cepat membuat kesimpulan. Untuk langkah pertama, lakukan temujanji bersama doktor di klinik kesihatan atau hospital berhampiran. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin mencadangkan ujian lanjut seperti ultrasound atau mammogram.

Yang paling penting, jangan tangguh. Rawatan awal memberi peluang sembuh yang jauh lebih tinggi. Jika anda berasa takut atau cemas, cari sokongan. Sokongan daripada keluarga, rakan atau kumpulan komuniti boleh membantu menenangkan emosi dan memberi kekuatan untuk terus berjuang.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down